Saturday, October 22, 2022

Kartel Syurga

Petang tadi sempat berbual dgn seorang sahabat berkenaan dengan kartel syurga (jgn salah sangka dlm aku memberi istilah kartel syurga) kerana utk mendapatkan syurga, kita sebagai hamba hanya perlu lakukan 2 perkara utama yg dijanjikan Allah. Ramai org dah tahu berkaitan dengan janji Allah ni, cumanya...bole buat atau tak bole buat...tepuk dada tanya iman.
Malam ni, aku review semula perjanjian dan persetujuan kartel syurga aku ni, maka terpaksalah mula mencari jurnal2 dan penulisan lama utk dirujuk yg pernah aku simpan seperti ini...
1. Di antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW yang mendapat perhatian dan pengkajian di kalangan ahli ilmu ialah tentang kemampuan baginda menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al Hafiz al Suyuti, al Qustallani dan al Zurqani dalam syarahnya bagi kitab al Mawahib al Ladunniyyah. Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi dan Allahlah Pengurnia."
2. Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda? Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan diketahui sesiapapun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.
3. Ia merupakan ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu. Jika ia dinisbahkan kepada nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi dan menyokong baginda.
4. Untuk mendapat kartel syurga pula, kita berpeluang memanfaatkan kurniaan Allah kepada semua hambaNya, melihat kelebihan anugerah Allah dan kesempatan usia kita yg tak lama didunia. Jelasnya, perlu ada keredhaan dan kepatuhan sesama manusia iaitu kepatuhan dan ketaatan isteri dan keredhaan suami dlm mengharapkan rahmatNya dan syurgaNya.

Sekian sahabat, semoga dirimu jua Allah kurniakan kartel2 syurga yg diidamkan. 

Thursday, June 30, 2022

Menghormati Makanan

Islam menganjurkan umatnya untuk menghormati makanan kerana ia merupakan antara nikmat dan anugerah daripada Allah kepada setiap makhlukNya. Malah, Imam al-Ghazali RA berkata melalui kitabnya Ihya’ Ulumuddin, seorang muslim itu seharusnya reda dengan rezeki dan makanan yang ada.

Jika sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, kurang menyelerakan atau tidak sedap, maka perkara yang betul yang boleh dilakukan adalah dengan berdiam diri dan menahan diri daripada mencela makanan tersebut. Abu Hurairah RA juga meriwayatkan mengenai bagaimana perbuatan Nabi SAW ketika dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai yang boleh dijadikan teladan:
Maksud: “Nabi SAW tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya maka Baginda akan memakannya dan jika Baginda tidak menyukainya, maka Baginda akan meninggalkannya.”
Menurut pendapat daripada Imam An-Nawawi pula mengatakan bahawa, larangan mencela makanan ini juga untuk mengelakkan daripada tergurisnya hati tukang masak tersebut. Jika ingin menolak pemberian atau makanan tersebut disebabkan tidak sedap atau kurang rasanya, maka adalah lebih baik untuk mengatakan “saya tidak menyukai makanan ini” atau “saya tidak boleh memakannya.”
copy n paste: pejabat mufti WPKL

Thursday, March 24, 2022

Jangan Percaya, Semuanya Tipu Belaka

 Malam tadi punya cerita, jangan percaya, ini semua tipu belaka...

1. Dah hampir sebulan satu kes menjadi tular dalam kalangan netizen medsos khususnya dalam aplikasi TikTok yang berkaitan dengan bantuan kebajikan. Kesimpulannya, kita lebih mudah meletakkan kesalahan dan menuding jari kepada agensi kerajaan kerana sedikit sahaja kesilapan. Perkara ini begitu senang dilakukan dan seolah-olah menjadi halal kepada warganet untuk menghentam tanpa mengambil perkiraan dan penilaian lain, akhirnya tindakan mengecam, mengeji dan membuli penjawat awam dalam medsos menjadi-jadi.
2. Telah menjadi kebiasaan kepada netizen untuk menjatuhkan hukum berdosa dan meletakkan kesalahan sebagai hukuman yang tidak boleh dirunding, keputusan mereka adalah muktamad. Mereka lebih seronok ketawa dengan menuduh perkara yang tidak baik kepada kakitangan awam berbanding untuk bertabayyun sebelum berkata dalam menerima perkara yang blm pasti kebenarannya. Tambahan pula adanya selingan drama airmata dan tangis, membuatkan netizen turut menyimpan dendam dan meluahkan perasaan marah melalui penulisan, sementelah itu membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk berkongsi cerita yang terus meningkat sekali lipat dalam sekelip mata.
3. Itu adalah perkara yg telah berlaku. Aku bukan nak menulis berkenaan TikTok yang telah tular tetapi cuma nak berkongsi pandangan kepada perkara asas yang paling utama, yang menjadi persoalan dan alasan apabila sesuatu perkhidmatan bantuan kebajikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
4. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan sekiranya kita mengaitkan alasan kepada benda yang tidak bernyawa seperti mesin, peralatan elektronik dan kesalahan kepada sistem yang ada, sebenarnya kita telah meletakkan kesalahan kepada manusia itu sendiri. Pusing-pusing, pi mai-pi mai tang tu, akhirnya kesalahan kembali kepada diri kita juga.
5. Jom kita pusing-pusing tengok kepada sistem eBantuan yang selalu dilabelkan sebagai sistem yang sangat bermasalah. Perkara ini menjadi igauan apabila ada pihak yang mempertikaikan keupayaan dan kesediaan sistem sedia ada, manakala menjadi alasan kepada kita untuk meletakkan kesilapan tersebut kepada kelemahan sistem apabila berlakunya kes-kes yang ditularkan melalui medsos. Senangkan!? sebab ada kambing hitam yg bole dipersalahkan.
6. Baik, pada pandangan aku, sistem sedia ada di JKM adalah yang terbaik pernah disediakan oleh pihak Jabatan. Dahulu, sekitar sebelum tahun 2004/2006, kita tidak meletakkan 100% pergantungan kepada satu sistem yang membantu kita melancarkan kerja-kerja seharian. Semua kerja dibuat secara manual dengan pengisian borang JKM17 dan rekod senarai penerima dibuat mengikut kreativiti sendiri menggunakan format spreadsheet atau excel sebagai satu kaedah mengumpul data dan senarai.
7. Sebahagian besar agensi kerajaan juga telah menumpukan kepada penggunaan teknologi maklumat bermula pada awal tahun 90an apabila ianya mula dipolopori dengan penggunaan sistem berkomputer oleh kebanyakan bank di Malaysia. Kebanyakan sistem perbankan menggunakan sistem yang lebih komprehensif dengan bahasa pengaturcaraan komputer pada masa tersebut adalah DOS. Tetapi aplikasi DOS dalam semua sistem ini terlalu cepat berubah kepada aplikasi Windows yang diperkenalkan oleh Microsoft dan Apple melalui MacOs serta pelbagai lagi pengaturcaraan komputer lain seperti di bawah IBM dsbgnya.
8. Sistem perbankan terpaksa berbelanja hampir puluhan juta utk menyediakan prasarana dan membangunkan sistem baharu pada ketika itu dan aku terlibat secara langsung dengan peralihan sistem kepada aplikasi semasa yang dibangunkan oleh Malayan Borneo Finance (MBF Finance dan MBF Advance) dalam perkembangan perniagaan melalui MBF MasterCard dan MBF NewBiz pada pertengahan tahun 1995. Tidak dinafikan pelbagai masalah dihadapi oleh pihak syarikat dalam memperkembang dan menyediakan platfrom baharu dalam sistem sedia ada bagi menggantikan teknologi lama.
9. Begitu jugalah yang berlaku kepada projek eJKM yang dimulakan oleh Jabatan, termasuklah pembangunan sistem eBantuan pada sekitar tahun 2004-2006. Selepas lima (5) atau enam (6) tahun, mungkin pada tahun 2011/2012, kita masih dalam proses pelaksanaan secara berperingkat dan ketika ini pembangunan sistem sibuk dengan tindakan migrasi data bagi menjayakan fungsi sistem eBantuan sepenuhnya seperti yang kita gunakan pada hari ini. Pelbagai masalah telah dihadapi dan dapat diselesaikan dengan semampu yang boleh. Akhirnya pada pertengahan tahun 2012/2013 sistem eBantuan diaplikasi sepenuhnya di semua peringkat negeri dan daerah.
10. Apa yang aku faham, pada peringkat permulaan, sistem ini menggunakan Inisiatif Sumber Terbuka Terhad atau lebih dikenali dalam bahasa omputeh Limited Open Source Initiative (LOSI). Konsep yang diamalkan oleh LOSI adalah menyediakan sumber maklumat seperti kod, gambar, data individu, tahap penggunaan sistem dan semua yang berkaitan yang diperlukan oleh klien, tetapi hanya boleh diubahsuai oleh penyedia perkhidmatan (penjual perisian), dengan pengendali (JKM) mempunyai limitasi untuk mengawal. Konsep ini menyatakan bahawa perisian adalah bebas atau percuma tetapi pada masa yang sama pihak pembekal perisian masih mengekalkan kawalan sistem secara keseluruhan.
11. Kita menjadi mangsa keadaan untuk kali kedua apabila perubahan teknologi maklumat begitu pantas berlaku sehingga kita tidak dapat mengejar dan menyokong platform (sistem) sedia ada untuk bertapak dalam pasaran. Pada masa ini, kos meningkat dengan sangat drastik dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi. Tambahan pula kepakaran kakitangan kita agak terbatas dan bergantung penuh kepada ‘’kepercayaan’’ pembekal perisian melalui ikatan perjanjian (MOU la ni..) yang meletakkan ‘upah’ atau ‘bayaran’ secara berkala. (Mengikut prosedur kewangan la yea, bukan main hentam bayar)
12. Akhirnya kita menjadi mangsa dengan pendekatan LOSI yang nampak seperti mulia tetapi hakikatnya sangat kejam. Banyak syarikat yang berteraskan teknologi maklumat dan sistem perbankan mengalami masalah yang lebih buruk. Bukan JKM sahaje yea! Tu sebab kita tengok berapa banyak sistem bank pada waktu ini kelam kelibut dalam menggunapakai teknologi baharu yang pelbagai yang ditawarkan. Ini tak termasuk sistem Forex yang baru nak berjinak-jinak melalui online tetapi lembab sebab pakai modem yg kena dail pakai talian telefon....hahaha.
13. Akhirnya, kita terpaksa menyimpan saka si LOSI dan sistem sedia ada kerana pihak pembekal telah meletakkan syarat melalui perjanjian dalam menggunapakai ‘lesen’ yang diperlukan apabila kita ingin berurusan atau membuat perubahan yang melibatkan sistem seperti pengkoding, perubahan dan penambahan antaramuka dan sebagainya. Perkara ini nampak mudah tetapi penuh rahsia. Kita masih tidak diberikan lesen untuk mengawal kerana pihak pembekal sendiri mengguna platform diluar kawalan mereka. Walaupun akses level mencapai tahap 9 (paling otai la ni) tetapi untuk mengawal keseluruhan sistem tidak berlaku.
14. Sepatutnya ‘lesen’ tersebut tidak boleh meletakkan pengehadan atau batas kepada perisian lain yang boleh digunakan secara bersama bagi penambahbaikan dan pembangunan sistem. Sebagai contoh, lesen tersebut tidak boleh mendesak pengaturcara lain yang ada pada medium yang sama. Ia seharusnya mestilah berbentuk teknologi-neutral untuk memudahkan kita menambahbaik semua keperluan yang difikirkan bersesuaian dengan keadaan semasa. Dan sepatutnya juga, tiada peruntukan bagi ‘lesen’ tersebut dipredikatkan kepada mana-mana teknologi bagi membangunkan sesuatu antaramuka atau keperluan lain yang baharu seperti kita inginkan.
15. Ini hanyalah pandangan peribadi aku, bahawa syarat inilah yang telah menjerat leher sendiri dengan kos yang tidak dapat ditarik semula. Bukan salah kita tetapi ekploitasi pembekal yang mengambil kesempatan atas kepayahan dan kurang kemahiran pegawai kebajikan yang tidak sepatutnya berlaku (lack of knowledge, skills and interest in using ICT) dan pihak pembekal telah mengaut keuntungan melalui kawalan kepada sistem yang disediakan.
16. Aku pun musykil jugak dengan pembekal sistem sama ada diaorang ni betul-betul pakar dalam pengaturcaraan (programmer) atau pura-pura pakar? atau telah dipergunakan oleh syarikat lain? atau mereka sebetulnya pakar dalam business?...hehehe.
17. Hinggalah pada satu tahap, keadaan menjadi lebih sukar apabila kemampuan sistem sedia ada memerlukan perubahan yang ketara dan menjadi masalah kepada pembekal apabila tidak lagi berkemampuan untuk bersaing dalam perkembangan semasa, akhirnya mereka tewas dan ‘menyerah diri’ selepas mengaut keuntungan. (haa..nampak kan takde kepakaran tapi pakar dalam business)
18. Yang menjadi kepayahan dan kesukaran kepada pihak Jabatan adalah untuk menyusun semula dan mengambil kira semua perkara yang perlu ditambahbaik dengan pembekal yang baharu tetapi masih menggunakan platform sedia ada. Dalam masa yang sama, proses migrasi data dan maklumat setiap penerima bantuan dan klien dilaksanakan dan dimuat turun ke dalam sistem. Maka berlakulah pertindihan data, maklumat sama yang berulang, kehilangan sebahagian info dan pelbagai kesilapan serta pertindihan yang memerlukan masa yang lama untuk penyelesaian. Pegawai kes di peringkat negeri dan daerah menjadi mangsa keadaan untuk melihat semua file kes mengikut tugas masing-masing. Tapi, sekurang-kurangnya pegawai kes dapat mengemaskini file masing-masing, kan?
19. Hampir 18 tahun telah berlalu, sehingga kini dan seadanya JKM telah mempunyai satu sistem pengurusan bantuan yang telah banyak berjasa kepada lebih 500 ribu penerima bantuan. Kalau ikut umur teknologi, sistem ni dah terlalu tua tapi belum uzur. Kita akui bahawa sistem ini dapat membekalkan maklumat dengan cepat melalui papan kekunci yang disediakan. Maklumat seperti statistik, senarai klien, kategori bantuan dan pelbagai kemudahan secara dalam talian telah dibuat dan telah menterjemahkan hasil yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
20. Kekurangan dan kelemahan yang ada sentiasa ditambahbaik dan ianya bukan menandakan sistem tidak kompeten. Sistem ini telah lama membantu dan memandu kita kehadapan, namun andai ada sedikit kelemahan, ianya boleh ditingkatkan keberkesanannya. Mengambil kira juga beberapa kali penambahbaikan yang telah dibuat kepada sistem dalam menguruskan penerima dan pengagihan peruntukan yang melebihi RM 1.4 bilion setiap tahun.
21. Kita kena bersabar dan bertindak lebih adil sebelum kita mengambil pendekatan untuk menghukum sistem tanpa kita mengetahui sejarah dan beberapa tindakan dan pembaharuan yang telah dilaksanakan. Adalah lebih adil jika kita menilai sistem yang dibangunkan sejak 18 tahun lepas ini yang telah memberikan kebaikan kepada pengurusan kerja seharian selama ini, daripada kita membandingkan dengan sistem baharu yang up-to-date dengan kehendak semasa. Manakan sama sebuah van Toyota LiteAce tahun 2005 nak dibandingkan dengan sportcar M3 Beemer tahun 2022…kemonlah!!.
22. OK, apa penyelesaiannya?. Kita sebenarnya berkehendakkan dan sangat memerlukan sebuah sistem yang lebih cepat, mudah dan dapat memberikan keselesaan penggunaan berasaskan kehendak semasa. Tetapi kita juga memerlukan pengendali yang faham dan berintegriti dalam menguruskan sistem tersebut. Kita memerlukan sebuah kereta sport yg mempunyai prestasi dan kelajuan yg tinggi dengan pemandu yang kompeten. Sebagai contoh satu sistem jual beli dalam platform maya iaitu Shopee. Ya, sistem yg seumpamanya kerana kita menganggap sistem tersebut dapat memenuhi kehendak dan kemahuan kita.
23. OK, pertanyaannya. Berapakah jumlah yang telah dibelanjakan oleh Shopee untuk membangunkan sistem tersebut? Apakah pihak pemegang taruh dapat memperuntukkan sejumlah peruntukan dalam perkara ini? Apakah perisian yang digunapakai ini sesuai dengan kaedah kerahsiaan dan kepentingan klien dan penerima bantuan? Apakah ianya juga menjaga data dan maklumat pengguna, dan adakah kita pasti maklumat yang diberikan dalam website tersebut tidak dijual kepada mana-mana pihak secara rahsia? Dan apakah kita juga boleh menjual maklumat klien kita, jika dibenarkan dalam sistem terbuka seperti itu? dan banyak lagi apakah dan apakah...
24. Baiklah, kita perlukan sistem yang cekap dan boleh berfungsi dengan lancar dan laju tanpa gangguan sekatan penggunaan data internet dan sebagainya, serta jgn lupa, seorang pemandu yang kompeten. Sebenarnya peluang untuk kita menggunakan platform bebas melalui enjin pencari (search engine) telah terbuka tetapi adakah kita boleh dengan semudah itu meletakkan platform atau tapak website kita dalam enjin pencari tanpa melibatkan mana-mana peruntukan akta atau etika kerahsiaan yang diperuntukan dalam kerja sosial dan tuntutan tanggungjawab kita?
25. Perkara yang perlu dipertimbangkan adalah kerahsiaan dan peruntukan akta yang berkaitan dengan data dan maklumat pengguna. Untuk kita mendapatkan khidmat pantas dalam pasaran terbuka, maka kita perlu tinggalkan syarat yang berkaitan dengan kerahsiaan sebaliknya kita perlu membuka arah kepada perkongsian maklumat dan data kerana perkara ini akan menjadi sebagai sumber kewangan dalam perkara jual beli maklumat dan data pengguna. Semuanya bebas dan boleh dikongsi tetapi kita telah menggadaikan maklumat peribadi kita sendiri kepada pembekal aplikasi.
26. Tanpa kita sedar, kita sebenarnya telah membuka peluang dan membenarkan pihak luar mengakses maklumat peribadi dan rahsia agensi kepada engin pencari dengan menggunakan aplikasi mereka. Sebagai contoh, penggunaan Google WorkSpace yang membenarkan penggunaan emel rasmi secara terbuka dalam melunaskan kerja-kerja seharian. Tapi ada alasan mengatakan bahawa kita hanya menggunapakai WorkSpace sahaja dengan limitasi perlindungan dan kawalan kerahsiaan pengguna yang sangat ketat. Bole percaya ke?
27. Tidak 100% boleh dipercayai. Tanyalah siapapun dan pakar teknologi maklumat manapun, selagi hak kepunyaan dan pengendalian adalah dibawah enjin pencari dan syarikat luar serta bukan secara langsung dikendalikan oleh pihak kerajaan, maka perkara ini sedikit sebanyak telah mendedahkan perkongisan atau kecurian maklumat yang tidak boleh dikatakan sebagai ''rahsia'' lagi.
28. Akhir sekali, untuk mendapatkan satu sistem yang ideal dengan tidak mengabaikan kerahsiaan dan peraturan kerja, dan pada masa yang sama dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan, sejumlah peruntukan yang tidak sedikit seharusnya disediakan dalam pembangunan sistem yang diidamkan. Adakah pemegang taruh berani untuk melabur dalam sebuah sistem seperti sistem perbankan atau sistem jualan Shopee yang dapat memberikan kepuasan kepada semua orang? Atau adakah kita dan pemegang taruh mampu memberikan kepercayaan kepada diri sendiri untuk menggunakan peranti dan perisian bebas dalam pasaran terbuka seperti Google yang dapat menyediakan tapak perkhidmatan internet dan muat turun dengan begitu pantas tanpa mengira berapa besar data yang digunakan?
29. Adakah kita dan pemegang taruh juga bersedia menggunakan aplikasi seumpamanya tetapi dalam masa yang sama, masih tidak dapat ‘move on’ dan ingin mengekalkan status quo untuk tidak mahu berubah kepada kaedah pengendalian sistem yang baharu?. Jika kita masih jumud dengan tindakan lama dan tidak membenarkan perkongsian dalam pasaran terbuka, serta pemegang taruh masih ragu-ragu untuk menyediakan peruntukan dalam pembangunan sistem yang baik, sampai bila pun kita tak akan ke mana-mana dan kelamaan kita akan ketinggalan. Kita kena lepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu.
30. Jadi, jangan nak bercakap tentang kelajuan sistem dan kecepatan kerja dalam talian sekiranya kita dan pihak-pihak terlibat masih tidak mahu berubah dengan apa yang ada dan dengan apa yang telah dipertanggungjawabkan. Tepuk dada tanya iman, adakah kita benar-benar melaksanakan tanggungjawab kerja dan tetap patuh kepada suruhan-Nya?
31. Sebenarnya, semua org telah diberikan pilihan dan boleh membuat penilaian dgn waras. Pelik jugaklah andainya segala macam pilihan buah-buahan yg dihidangkan, täpi akhirnya kita dpt merasa buah pisang yg sama dr pokok yg sama.
Sekian.
Disclaimer:
Ini adalah pandangan peribadi dan semuanya tipu belaka. Ianya tiada kaitan dengan mana-mana pihak sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. suka-suka je yea..

Monday, January 31, 2022

Letih Menunggu

Dah masuk tahun ke-2 aku menguruskan pendaftaran lewat kad pengenalan kepada seorang anak yang berstatus kelahiran tanpa bapa (dicatatkan dalam sijil beranak dengan hanya mempunyai maklumat ibu sahaja). Ringkas cerita, anak diluar nikah.
Ibunya pula seorang penagih dadah dan sering masuk keluar pusat pemulihan dan penjara. Anak ini tinggal bersama nenek sebelah ''bapanya'' sejak dari bayi sehinggalah berumur 17 tahun. Pada penghujung bulan Oktober 2021, neneknya telah meninggal dunia disebabkan COVID-19 dan sekarang anak ini tinggal dengan Pak Su, bapa saudara sebelah ''bapanya''.
Jangan tanya kenapa aku tak ceritakan berkenaan bapa dan ibu kandungnya. (panjang cerita dan mungkin di kesempatan lain)
Proses permohonan pendaftaran lewat IC di JPN terlampau mengada-ngada dan memakan masa. Sehingga kini, status permohonan anak ini masih lagi tergantung selepas melalui beberapa siri temuduga dan pelbagai permintaan dari JPN dalam pengurusan dokumen yang tidak sepatutnya berlaku.
Walaupun semua dokumen telah memenuhi syarat tetapi permintaan pihak JPN kepada dokumen-dokumen lain yang tidak dinyatakan dalam syarat. JPN seolah-olah tak percaya kepada dokumen yang dikeluarkan olehnya (sijil beranak) dan Syarat utama bahawa keperluan ibu kandung perlu hadir semasa temuduga. Seolah-olah kesukaran itu seperti disengajakan kepada pemohon.
Wahai JPN...bubuhlah sedikit jiwa dalam diri dan akal semasa mengendalikan kes-kes melibatkan manusia, bukan menghukum hanya dengan melihat pada kulit dan kertas sahaja. Orang susah yang datang penuh dengan harapan, jangan kecewakan mereka dan bantulah sebolehnya.
Tapi yang peliknya, satu kes yang menjadi tular beberapa minggu lepas, kisah seorang remaja (anak indonesia) yang dibesarkan oleh seorang nenek berbangsa cina, telah diluluskan kad pengenalan oleh JPN, ye ke???
Kalaulah perbandingan dibuat kepada permohonan pendaftaran lewat IC yang aku uruskan (anak warga negara hanya berstatus tanpa bapa dan mempunyai sijil beranak) berbanding dengan anak bukan warga negara... katakanlah kes ini adalah sama statusnya, kenapa terdapat 2 jawapan dan keputusan yang sangat berbeza?
Kecewa kali kedua dengan sikap pilih bulu JPN kerana aku bukan orang politik dan tak pula pandai bercerita.

letih menunggu 

Wednesday, October 20, 2021

WhatsApp

 Persoalannya adakah WhatsApp ini sesuai dan sah untuk diguna pakai sebagai medium komunikasi rasmi terutamanya kepada organisasi?

"...terdapat juga rungutan daripada penjawat awam yang mendakwa penggunaan aplikasi media sosial ini (WhatsApp) menjejaskan kualiti masa bersama keluarga serta waktu rehat mereka, dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa untuk menjelaskan adakah aplikasi WhatsApp telah diwartakan sebagai alat komunikasi rasmi komunikasi antara penjawat awam (Sinar Harian 2016). Penggunaan media sosial seperti WhatsApp telah digunakan secara meluas, bukan sekadar untuk aktiviti sosial semata-mata, tetapi telah menjadi alat untuk pengurus menyampaikan maklumat dan arahan kepada pekerja"
[Jurnal: Proceeding of the 5th International Conference on Management and Muamalah 2018 (ICoMM 2018) e-ISBN: 978-967-2122-52-4)]

Wednesday, October 6, 2021

Pak Din, Aku Rindu

 Benda dah 2 tahun simpan, kita up malam ni sebab aku rindu kat Pak Din.

Catatan Umrah Jelajah Kasih 2.0
Pak Din
“rabbana aatina fiddun ya hasanah wafil aa khirati hasanah waqina azabannar”
Sayu dan penuh keikhlasan. Doa ini tidak pernah lekang dari bibir Pak Din sepanjang aku memapah dirinya melakukan tawaf di Baitullah. Setiap kali berdoa, Pak Din menangis dan mengeluh pegal atas dosa-dosanya yang lampau. Pengaduan kepada al-Khalik dengan tangisan yang penuh keinsafan dalam usia yang semakin dimamah waktu.
Pak Din atau nama sebenarnya Shamsuddin bin Juri, berasal dari Pulau Pinang dan dalam jangka usia melebihi 75 tahun. Seingat aku melalui rujukan data asnaf yang diterima, Pak Din hidup sebatang kara dan keluarga pak din hanyalah jiran terdekat dan kawan-kawan rapat yang tinggal sekampung.
Semasa usia remaja, Pak Din bekerja sebagai pembantu jurumudi kapal yang berpengkalan di beberapa buah pelabuhan dalam dan luar negara seperti di Johor dan Pulau Pinang, pelabuhan di Singapura, Taiwan, India dan akhir sekali bersama sebuah syarikat milik Kerajaan Brazil yang berpengkalan di perairan lautan pasifik.
Pekerjaan ini jugalah yang telah membawa Pak Din mengelilingi dunia dalam usia yang masih bertatang remaja. Bagi aku, Pak Din seorang yang sangat
hebat
dalam pengembaraannya sebagai pelaut yang berpengalaman.
Setiap kali Pak Din bercerita tentang kerja dan kapal, Pak Din sangat teruja dan ceria, penuh bersemangat dengan perkongsian pengalamannya, tetapi ada ketikanya Pak Din tiba-tiba diam membisu, seakan apa yang terucap itu sebagai titik noktah penutur kata. Mungkin banyak rahsia yang Pak Din pendam dalam sesetengah perkara yang tidak ingin beliau kongsikan.
Walaupun Pak Din berkelulusan tamat sekolah rendah, tetapi aku kagum dengan kemampuan Pak Din yang mampu bertutur dalam enam bahasa iaitu bahasa Cina, Inggeris, Portugis, Arab, Tamil dan Siam. Inilah kelebihan dan keistimewaan Pak Din selain mempunyai watak ceria dan selalu mengukir senyuman.
Pak Din pernah bercerita bagaimana kehidupan beliau semasa mudanya. “Hidup aku dulu penuh dengan keseronokan, aku tak pernah ingat nak sembahyang... apa lagi puasa...semua aku langgar masa tu, dalam diri ada rasa sesal tapi nafsu dan duit buat aku lalai dan tak ingat tuhan”
Itulah kata-kata Pak Din dengan nada penyesalan dan aku melihat genangan air mata seusai Pak Din berbicara. Itu kisah lama Pak Din. Pak Din pada ketika ini sangat jauh berbeza, Pak Din yang aku kenal kini bukan lagi Pak Din yang dahulu.
Di tanah haramain ini, hubungan aku dan Pak Din seperti sahabat, anak dan ayah, seperti juga kawan rapat sepasukan. Maklumlah Pak Din telah diamanahkan kepada aku sebagai penjaganya sepanjang tempoh kami dalam program ini. Bilik Pak Din juga bersebelahan dengan bilik aku setiap kali kami menginap di Madinah dan Mekah, jadi tiada masalah untuk kami bersama-sama pada setiap masa.
Sebagai petugas, menjadi tanggungjawab aku untuk pastikan semua keperluan asnaf dalam program ini mencukupi dan memberi keselesaan kepada mereka. Ya lah, Pak Din tidak pernah bersuara akan apa yang dia perlukan kerana sifatnya yang tidak suka menyusahkan orang lain.
Pak Din tak pernah minta untuk dipapah berjalan. Sedaya boleh, Pak Din akan cuba melangkah dengan sendiri. Pak Din juga tak banyak kerenah berkaitan makan, minum, tempat tidur dan sebagainya. Apa yang disediakan, Pak Din terima dengan seadanya.
Pak Din tidak pernah culas menunaikan solat di Masjidil Haram. Ada kalanya Pak Din berjalan bersendirian seawal jam 3 pagi untuk menunaikan solat subuh berjemaah dan seboleh-bolehnya dia akan beriktikaf selama waktu yang ada.
Semasa mula-mula tiba di Kota Mekah, Pak Din telah menunjukkan kesukaran untuk berjalan disebabkan pembekakan kelenjar dibahagian lipatan pahanya. Bengkak kelenjar Pak Din semakin membesar dari sehari ke sehari dan kesan ini menjadi semakin teruk sehingga hari terakhir kami di sini.
Walaupun dalam keadaan yang uzur, kecekalan dan kedegilan Pak Din tetap memberinya kekuatan untuk terus berusaha melangkah kaki dan menunaikan tuntutan umrah pada kali pertama. Pak Din juga mampu mengulangi umrah untuk kali kedua dan ketiga. Pak Din tidak pernah sekali pun merungut dan berkira-kira dengan kepayahan dan kesakitan yang dialaminya.
Agak lama Pak Din meluangkan masa untuk berdoa selepas solat subuh sebelum kami melakukan tawaf wida pada hari terakhir di sini. Raut wajah Pak Din menampakkan kesedihan dan pasrah, penuh harapan dalam mendapatkan pengampunan Allah.
Aku menyapu lembut air mata Pak Din yang menitis di pipi tuanya, tangan Pak Din aku genggam erat kerana kemampuan Pak Din untuk melangkah pada hari ini agak terbatas. Pada ketika ini, Pak Din diam dan tidak banyak bercakap seperti hari-hari biasa.
Sepanjang tawaf akhir ini, Pak Din tenang dalam bisikan doanya diiringi esakan dalam tangisan yang penuh emosi. Aku tersentuh dengan luahan bicara Pak Din kepada Ilahi yang merayu keampunan dan kemaafan, merintih rasa dan hiba.
Berbicara dalam bahasa Tuhan yang ringkas dan menusuk perasaan tetapi membawa kita kepada detik penyesalan dan keinsafan yang sangat bermakna. Terima kasih Pak Din kerana telah membawa aku dalam doa mu itu.
Selesai tawaf, Pak Din mengadu sakit di bahagian celah paha dan perut. Pak Din akhirnya meminta untuk ditolak dengan menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan sebelum kami berangkat pulang.
Kota Mekah kami tinggalkan dengan penuh pengharapan.
Pak Din demam selama seminggu selepas pulang ke Pulau Pinang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di salah sebuah hospital. Rawatan Pak Din berlanjutan selama 10 hari dengan keadaan kesihatan yang sangat kritikal.
Berita kematian Pak Din amat berat untuk aku terima, perasaan sedih dan tagisan mengiringi pemergian Pak Din pada ketika itu. Tiada lagi sahabat, ayah dan rakan sepasukan, semuanya menjadi kenangan yang tidak mampu dilupakan.
Semoga Allah menerima doa-doa yang Pak Din bisikkan dahulu, semoga Allah juga menerima taubat Pak Din dan menempatkan Pak Din dalam kalangan mereka yang beriman.
Pastinya penghujung hidup Pak Din yang penuh dengan kebaikan dan penyesalan dalam mencari redha-Nya serta taubat sebagai kunci penamatan dalam husnul khatimah. insyaAllah.
Pak Din, aku rindu...
Mohd Fizhan Mohd Soib, Haslinda Abdul Rahman and 39 others
6 comments
Like
Comment

Saturday, October 2, 2021

Dah Tak Minat

Ada org tanya, kenapa?

"sebenarnya dah tak minat. Lagipun ni dah masuk yang ke-3 kali... Dah malas nak pikir pasal tempat ni 24 jam sehari sebab aku pun ada kehidupan sendiri, itupun tak habis lagi nk cari. Kalau yg ada semangat tu, pegila...aku tak kacau"
Pandangan org ni beza, ada yg suka pangkat, ada yg gila duit dan ada yg nak cari akhirat. Yang pasti umur kita bukan lama...nk menjawab depan hari nanti bukan mudah.

Sunday, August 22, 2021

Nyawa Kedua (Catatan Sahabat)

Nyawa Kedua

Alhamdulillah, semuanya telah selesai dalam tempoh 11 hari dengan suasana yang sangat menekan, menduga fizikal dan mental untuk memenuhi ujianNya. Terima kasih kepada semua sahabat yang tidak putus-putus mengirim doa dan semangat, hanya Allah yang dapat membalas semua kebaikan.
Mulanya, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi sebahagian dari hitungan data statistik negara. Seperti juga dengan kawan-kawan lain, berasa sangat yakin tak kena, sangat yakin tak sakit, kita dah patuh SOP, kita dah pakai facemask, cuci tangan, jaga jarak dan tak pegi makan kedai mamak ramai-ramai, apatah lagi nak berkempen politik time2 pandemik, jauh sekali. Begitulah, rupanya Allah tutup fikiran kita supaya kita mangli dan tidak dapat meneka apa yang datang seperti kata pribahasa…‘geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau’.
Akhirnya kalah terduduk, sendu, gentar dan takut kerana berada dalam dua persimpangan, sedangkan bekalan amal tidak menentu tetapi dosa makin menebal. Jumlah kematian pun semakin meningkat dan setiap hari kita mendapat berita perginya orang-orang yang dekat dengan kita, persis hampirnya kematian itu kepada kita jua.
Selepas empat hari demam dan pada hari pertama di hospital, saya dikelaskan dalam stage 4 dengan tahap pernafasan ‘mintak nyawa’, sesak dan perit tetapi bukan ‘ditidurkan’, masih lagi bertahan dengan menggunakan bantuan peralatan pernafasan untuk beberapa hari. Badan dedar dan demam masih tidak kebah, ditambah dengan perkara wajib iaitu diarrhea dan sakit tekak yang melampau semacam dihiris-hiris, nak berwasap pun malas apatah lagi nak bercakap. Kalau bab hilang deria rasa dan bau, ianya tetap bermasalah walaupun bukan masalah besar kalau kita fikirkan untuk makan dan minum walaupun dengan hanya air suam sahaja. Bekalan Vitamin C, D, Zinc dan lain-lain dadah yang halal dan seumpamanya disediakan secara berterusan oleh KKM, cuma saya alah dengan vitamin C dan jadi masalah pula kepada badan untuk menerimanya. Air ketum? jangan berangan nak bawak masuk kerana ianya diharamkan…(peringatan utk semua, boleh didakwa di bawah Akta Racun 1952).
Apapun, pakej percutian COVID-19 ini menjadi rukun dan wajib diterima kalau dah masuk dalam kategori siri 4 dan 5, cuma kadarnya sahaja yang berlainan mengikut kemampuan masing-masing. Sebagai contoh, dengan mengambil kira tahap radang paru-paru antara mantan perokok tegar dan bukan perokok, perbezaannya adalah sangat ketara, seumpama membuat pilihan untuk hidup atau mati (Allah jua yang menentukan), tepuk dada tanya selera…
Sebelum ini saya telah lengkap mendapatkan 2 dos vaksin pada bulan Jun 2021, kalaulah kena atau tak kena penyakit, itu cerita lain, semuanya Allah dah tulis. Ambillah 16 dos atau seberapa banyak dos2 sekalipun, kalau dah ditakdirkan kena…terima ajelah. Bukan nak kata ‘beriman kepada vaksin’ tetapi mengambil vaksin atau ubat ini merupakan tindakan kepada pemahaman sebenar melalui perkhabaran hadis-hadis nabi yang sahih dan benar dengan memegang kuat tawakkal kepada Allah. Ya, tawakkal kepada Allah, bukan hanya berserah bulat-bulat tetapi perlu diiringi dengan usaha, kerana kaedah bertawakkal tidak membenarkan jalan mudah untuk melepaskan diri (escapism), tetapi tawakkal yang sebenarnya adalah tempat kembalinya segala usaha.
Percayalah, vaksin juga telah banyak membantu meredakan tahap siksa sakitnya azab COVID-19 dan dapat mengurangkan kes-kes kematian. Perkara ini bukan saya cakap tapi beberapa orang sahabat dalam bidang perubatan yang kata.
Walaupun hanya 11 hari tetapi masa yang dilalui begitu menginsafkan kerana saya disedarkan kembali betapa dahsyatnya nikmat kesihatan yang diberi. Saat beginilah kita diberikan peluang merasakan bagaimana kasad sebenar penyerahan hidup mati kepada al-Khalik. Saat inilah baru kita faham betapa ampuhnya doa-doa yang kita bisikan. Pada saat inilah, saya berasa sungguh bertuah kerana dikurniakan dengan nikmat yang tidak ada tolok bandingnya yang telah kita dapat iaitu kehidupan dalam beragama, satu nikmat yang paling besar dalam hidup kita di dunia dan akhirat, iaitu Islam.
Akhirnya… duduk menunggu dan seolah-olah diberikan nyawa kedua sebaik sahaja gelang dipotong.
Ikhtisarnya begitulah. Wassalam
12-22 Ogos 2021