Thursday, March 24, 2022

Jangan Percaya, Semuanya Tipu Belaka

 Malam tadi punya cerita, jangan percaya, ini semua tipu belaka...

1. Dah hampir sebulan satu kes menjadi tular dalam kalangan netizen medsos khususnya dalam aplikasi TikTok yang berkaitan dengan bantuan kebajikan. Kesimpulannya, kita lebih mudah meletakkan kesalahan dan menuding jari kepada agensi kerajaan kerana sedikit sahaja kesilapan. Perkara ini begitu senang dilakukan dan seolah-olah menjadi halal kepada warganet untuk menghentam tanpa mengambil perkiraan dan penilaian lain, akhirnya tindakan mengecam, mengeji dan membuli penjawat awam dalam medsos menjadi-jadi.
2. Telah menjadi kebiasaan kepada netizen untuk menjatuhkan hukum berdosa dan meletakkan kesalahan sebagai hukuman yang tidak boleh dirunding, keputusan mereka adalah muktamad. Mereka lebih seronok ketawa dengan menuduh perkara yang tidak baik kepada kakitangan awam berbanding untuk bertabayyun sebelum berkata dalam menerima perkara yang blm pasti kebenarannya. Tambahan pula adanya selingan drama airmata dan tangis, membuatkan netizen turut menyimpan dendam dan meluahkan perasaan marah melalui penulisan, sementelah itu membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk berkongsi cerita yang terus meningkat sekali lipat dalam sekelip mata.
3. Itu adalah perkara yg telah berlaku. Aku bukan nak menulis berkenaan TikTok yang telah tular tetapi cuma nak berkongsi pandangan kepada perkara asas yang paling utama, yang menjadi persoalan dan alasan apabila sesuatu perkhidmatan bantuan kebajikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
4. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan sekiranya kita mengaitkan alasan kepada benda yang tidak bernyawa seperti mesin, peralatan elektronik dan kesalahan kepada sistem yang ada, sebenarnya kita telah meletakkan kesalahan kepada manusia itu sendiri. Pusing-pusing, pi mai-pi mai tang tu, akhirnya kesalahan kembali kepada diri kita juga.
5. Jom kita pusing-pusing tengok kepada sistem eBantuan yang selalu dilabelkan sebagai sistem yang sangat bermasalah. Perkara ini menjadi igauan apabila ada pihak yang mempertikaikan keupayaan dan kesediaan sistem sedia ada, manakala menjadi alasan kepada kita untuk meletakkan kesilapan tersebut kepada kelemahan sistem apabila berlakunya kes-kes yang ditularkan melalui medsos. Senangkan!? sebab ada kambing hitam yg bole dipersalahkan.
6. Baik, pada pandangan aku, sistem sedia ada di JKM adalah yang terbaik pernah disediakan oleh pihak Jabatan. Dahulu, sekitar sebelum tahun 2004/2006, kita tidak meletakkan 100% pergantungan kepada satu sistem yang membantu kita melancarkan kerja-kerja seharian. Semua kerja dibuat secara manual dengan pengisian borang JKM17 dan rekod senarai penerima dibuat mengikut kreativiti sendiri menggunakan format spreadsheet atau excel sebagai satu kaedah mengumpul data dan senarai.
7. Sebahagian besar agensi kerajaan juga telah menumpukan kepada penggunaan teknologi maklumat bermula pada awal tahun 90an apabila ianya mula dipolopori dengan penggunaan sistem berkomputer oleh kebanyakan bank di Malaysia. Kebanyakan sistem perbankan menggunakan sistem yang lebih komprehensif dengan bahasa pengaturcaraan komputer pada masa tersebut adalah DOS. Tetapi aplikasi DOS dalam semua sistem ini terlalu cepat berubah kepada aplikasi Windows yang diperkenalkan oleh Microsoft dan Apple melalui MacOs serta pelbagai lagi pengaturcaraan komputer lain seperti di bawah IBM dsbgnya.
8. Sistem perbankan terpaksa berbelanja hampir puluhan juta utk menyediakan prasarana dan membangunkan sistem baharu pada ketika itu dan aku terlibat secara langsung dengan peralihan sistem kepada aplikasi semasa yang dibangunkan oleh Malayan Borneo Finance (MBF Finance dan MBF Advance) dalam perkembangan perniagaan melalui MBF MasterCard dan MBF NewBiz pada pertengahan tahun 1995. Tidak dinafikan pelbagai masalah dihadapi oleh pihak syarikat dalam memperkembang dan menyediakan platfrom baharu dalam sistem sedia ada bagi menggantikan teknologi lama.
9. Begitu jugalah yang berlaku kepada projek eJKM yang dimulakan oleh Jabatan, termasuklah pembangunan sistem eBantuan pada sekitar tahun 2004-2006. Selepas lima (5) atau enam (6) tahun, mungkin pada tahun 2011/2012, kita masih dalam proses pelaksanaan secara berperingkat dan ketika ini pembangunan sistem sibuk dengan tindakan migrasi data bagi menjayakan fungsi sistem eBantuan sepenuhnya seperti yang kita gunakan pada hari ini. Pelbagai masalah telah dihadapi dan dapat diselesaikan dengan semampu yang boleh. Akhirnya pada pertengahan tahun 2012/2013 sistem eBantuan diaplikasi sepenuhnya di semua peringkat negeri dan daerah.
10. Apa yang aku faham, pada peringkat permulaan, sistem ini menggunakan Inisiatif Sumber Terbuka Terhad atau lebih dikenali dalam bahasa omputeh Limited Open Source Initiative (LOSI). Konsep yang diamalkan oleh LOSI adalah menyediakan sumber maklumat seperti kod, gambar, data individu, tahap penggunaan sistem dan semua yang berkaitan yang diperlukan oleh klien, tetapi hanya boleh diubahsuai oleh penyedia perkhidmatan (penjual perisian), dengan pengendali (JKM) mempunyai limitasi untuk mengawal. Konsep ini menyatakan bahawa perisian adalah bebas atau percuma tetapi pada masa yang sama pihak pembekal perisian masih mengekalkan kawalan sistem secara keseluruhan.
11. Kita menjadi mangsa keadaan untuk kali kedua apabila perubahan teknologi maklumat begitu pantas berlaku sehingga kita tidak dapat mengejar dan menyokong platform (sistem) sedia ada untuk bertapak dalam pasaran. Pada masa ini, kos meningkat dengan sangat drastik dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi. Tambahan pula kepakaran kakitangan kita agak terbatas dan bergantung penuh kepada ‘’kepercayaan’’ pembekal perisian melalui ikatan perjanjian (MOU la ni..) yang meletakkan ‘upah’ atau ‘bayaran’ secara berkala. (Mengikut prosedur kewangan la yea, bukan main hentam bayar)
12. Akhirnya kita menjadi mangsa dengan pendekatan LOSI yang nampak seperti mulia tetapi hakikatnya sangat kejam. Banyak syarikat yang berteraskan teknologi maklumat dan sistem perbankan mengalami masalah yang lebih buruk. Bukan JKM sahaje yea! Tu sebab kita tengok berapa banyak sistem bank pada waktu ini kelam kelibut dalam menggunapakai teknologi baharu yang pelbagai yang ditawarkan. Ini tak termasuk sistem Forex yang baru nak berjinak-jinak melalui online tetapi lembab sebab pakai modem yg kena dail pakai talian telefon....hahaha.
13. Akhirnya, kita terpaksa menyimpan saka si LOSI dan sistem sedia ada kerana pihak pembekal telah meletakkan syarat melalui perjanjian dalam menggunapakai ‘lesen’ yang diperlukan apabila kita ingin berurusan atau membuat perubahan yang melibatkan sistem seperti pengkoding, perubahan dan penambahan antaramuka dan sebagainya. Perkara ini nampak mudah tetapi penuh rahsia. Kita masih tidak diberikan lesen untuk mengawal kerana pihak pembekal sendiri mengguna platform diluar kawalan mereka. Walaupun akses level mencapai tahap 9 (paling otai la ni) tetapi untuk mengawal keseluruhan sistem tidak berlaku.
14. Sepatutnya ‘lesen’ tersebut tidak boleh meletakkan pengehadan atau batas kepada perisian lain yang boleh digunakan secara bersama bagi penambahbaikan dan pembangunan sistem. Sebagai contoh, lesen tersebut tidak boleh mendesak pengaturcara lain yang ada pada medium yang sama. Ia seharusnya mestilah berbentuk teknologi-neutral untuk memudahkan kita menambahbaik semua keperluan yang difikirkan bersesuaian dengan keadaan semasa. Dan sepatutnya juga, tiada peruntukan bagi ‘lesen’ tersebut dipredikatkan kepada mana-mana teknologi bagi membangunkan sesuatu antaramuka atau keperluan lain yang baharu seperti kita inginkan.
15. Ini hanyalah pandangan peribadi aku, bahawa syarat inilah yang telah menjerat leher sendiri dengan kos yang tidak dapat ditarik semula. Bukan salah kita tetapi ekploitasi pembekal yang mengambil kesempatan atas kepayahan dan kurang kemahiran pegawai kebajikan yang tidak sepatutnya berlaku (lack of knowledge, skills and interest in using ICT) dan pihak pembekal telah mengaut keuntungan melalui kawalan kepada sistem yang disediakan.
16. Aku pun musykil jugak dengan pembekal sistem sama ada diaorang ni betul-betul pakar dalam pengaturcaraan (programmer) atau pura-pura pakar? atau telah dipergunakan oleh syarikat lain? atau mereka sebetulnya pakar dalam business?...hehehe.
17. Hinggalah pada satu tahap, keadaan menjadi lebih sukar apabila kemampuan sistem sedia ada memerlukan perubahan yang ketara dan menjadi masalah kepada pembekal apabila tidak lagi berkemampuan untuk bersaing dalam perkembangan semasa, akhirnya mereka tewas dan ‘menyerah diri’ selepas mengaut keuntungan. (haa..nampak kan takde kepakaran tapi pakar dalam business)
18. Yang menjadi kepayahan dan kesukaran kepada pihak Jabatan adalah untuk menyusun semula dan mengambil kira semua perkara yang perlu ditambahbaik dengan pembekal yang baharu tetapi masih menggunakan platform sedia ada. Dalam masa yang sama, proses migrasi data dan maklumat setiap penerima bantuan dan klien dilaksanakan dan dimuat turun ke dalam sistem. Maka berlakulah pertindihan data, maklumat sama yang berulang, kehilangan sebahagian info dan pelbagai kesilapan serta pertindihan yang memerlukan masa yang lama untuk penyelesaian. Pegawai kes di peringkat negeri dan daerah menjadi mangsa keadaan untuk melihat semua file kes mengikut tugas masing-masing. Tapi, sekurang-kurangnya pegawai kes dapat mengemaskini file masing-masing, kan?
19. Hampir 18 tahun telah berlalu, sehingga kini dan seadanya JKM telah mempunyai satu sistem pengurusan bantuan yang telah banyak berjasa kepada lebih 500 ribu penerima bantuan. Kalau ikut umur teknologi, sistem ni dah terlalu tua tapi belum uzur. Kita akui bahawa sistem ini dapat membekalkan maklumat dengan cepat melalui papan kekunci yang disediakan. Maklumat seperti statistik, senarai klien, kategori bantuan dan pelbagai kemudahan secara dalam talian telah dibuat dan telah menterjemahkan hasil yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
20. Kekurangan dan kelemahan yang ada sentiasa ditambahbaik dan ianya bukan menandakan sistem tidak kompeten. Sistem ini telah lama membantu dan memandu kita kehadapan, namun andai ada sedikit kelemahan, ianya boleh ditingkatkan keberkesanannya. Mengambil kira juga beberapa kali penambahbaikan yang telah dibuat kepada sistem dalam menguruskan penerima dan pengagihan peruntukan yang melebihi RM 1.4 bilion setiap tahun.
21. Kita kena bersabar dan bertindak lebih adil sebelum kita mengambil pendekatan untuk menghukum sistem tanpa kita mengetahui sejarah dan beberapa tindakan dan pembaharuan yang telah dilaksanakan. Adalah lebih adil jika kita menilai sistem yang dibangunkan sejak 18 tahun lepas ini yang telah memberikan kebaikan kepada pengurusan kerja seharian selama ini, daripada kita membandingkan dengan sistem baharu yang up-to-date dengan kehendak semasa. Manakan sama sebuah van Toyota LiteAce tahun 2005 nak dibandingkan dengan sportcar M3 Beemer tahun 2022…kemonlah!!.
22. OK, apa penyelesaiannya?. Kita sebenarnya berkehendakkan dan sangat memerlukan sebuah sistem yang lebih cepat, mudah dan dapat memberikan keselesaan penggunaan berasaskan kehendak semasa. Tetapi kita juga memerlukan pengendali yang faham dan berintegriti dalam menguruskan sistem tersebut. Kita memerlukan sebuah kereta sport yg mempunyai prestasi dan kelajuan yg tinggi dengan pemandu yang kompeten. Sebagai contoh satu sistem jual beli dalam platform maya iaitu Shopee. Ya, sistem yg seumpamanya kerana kita menganggap sistem tersebut dapat memenuhi kehendak dan kemahuan kita.
23. OK, pertanyaannya. Berapakah jumlah yang telah dibelanjakan oleh Shopee untuk membangunkan sistem tersebut? Apakah pihak pemegang taruh dapat memperuntukkan sejumlah peruntukan dalam perkara ini? Apakah perisian yang digunapakai ini sesuai dengan kaedah kerahsiaan dan kepentingan klien dan penerima bantuan? Apakah ianya juga menjaga data dan maklumat pengguna, dan adakah kita pasti maklumat yang diberikan dalam website tersebut tidak dijual kepada mana-mana pihak secara rahsia? Dan apakah kita juga boleh menjual maklumat klien kita, jika dibenarkan dalam sistem terbuka seperti itu? dan banyak lagi apakah dan apakah...
24. Baiklah, kita perlukan sistem yang cekap dan boleh berfungsi dengan lancar dan laju tanpa gangguan sekatan penggunaan data internet dan sebagainya, serta jgn lupa, seorang pemandu yang kompeten. Sebenarnya peluang untuk kita menggunakan platform bebas melalui enjin pencari (search engine) telah terbuka tetapi adakah kita boleh dengan semudah itu meletakkan platform atau tapak website kita dalam enjin pencari tanpa melibatkan mana-mana peruntukan akta atau etika kerahsiaan yang diperuntukan dalam kerja sosial dan tuntutan tanggungjawab kita?
25. Perkara yang perlu dipertimbangkan adalah kerahsiaan dan peruntukan akta yang berkaitan dengan data dan maklumat pengguna. Untuk kita mendapatkan khidmat pantas dalam pasaran terbuka, maka kita perlu tinggalkan syarat yang berkaitan dengan kerahsiaan sebaliknya kita perlu membuka arah kepada perkongsian maklumat dan data kerana perkara ini akan menjadi sebagai sumber kewangan dalam perkara jual beli maklumat dan data pengguna. Semuanya bebas dan boleh dikongsi tetapi kita telah menggadaikan maklumat peribadi kita sendiri kepada pembekal aplikasi.
26. Tanpa kita sedar, kita sebenarnya telah membuka peluang dan membenarkan pihak luar mengakses maklumat peribadi dan rahsia agensi kepada engin pencari dengan menggunakan aplikasi mereka. Sebagai contoh, penggunaan Google WorkSpace yang membenarkan penggunaan emel rasmi secara terbuka dalam melunaskan kerja-kerja seharian. Tapi ada alasan mengatakan bahawa kita hanya menggunapakai WorkSpace sahaja dengan limitasi perlindungan dan kawalan kerahsiaan pengguna yang sangat ketat. Bole percaya ke?
27. Tidak 100% boleh dipercayai. Tanyalah siapapun dan pakar teknologi maklumat manapun, selagi hak kepunyaan dan pengendalian adalah dibawah enjin pencari dan syarikat luar serta bukan secara langsung dikendalikan oleh pihak kerajaan, maka perkara ini sedikit sebanyak telah mendedahkan perkongisan atau kecurian maklumat yang tidak boleh dikatakan sebagai ''rahsia'' lagi.
28. Akhir sekali, untuk mendapatkan satu sistem yang ideal dengan tidak mengabaikan kerahsiaan dan peraturan kerja, dan pada masa yang sama dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan, sejumlah peruntukan yang tidak sedikit seharusnya disediakan dalam pembangunan sistem yang diidamkan. Adakah pemegang taruh berani untuk melabur dalam sebuah sistem seperti sistem perbankan atau sistem jualan Shopee yang dapat memberikan kepuasan kepada semua orang? Atau adakah kita dan pemegang taruh mampu memberikan kepercayaan kepada diri sendiri untuk menggunakan peranti dan perisian bebas dalam pasaran terbuka seperti Google yang dapat menyediakan tapak perkhidmatan internet dan muat turun dengan begitu pantas tanpa mengira berapa besar data yang digunakan?
29. Adakah kita dan pemegang taruh juga bersedia menggunakan aplikasi seumpamanya tetapi dalam masa yang sama, masih tidak dapat ‘move on’ dan ingin mengekalkan status quo untuk tidak mahu berubah kepada kaedah pengendalian sistem yang baharu?. Jika kita masih jumud dengan tindakan lama dan tidak membenarkan perkongsian dalam pasaran terbuka, serta pemegang taruh masih ragu-ragu untuk menyediakan peruntukan dalam pembangunan sistem yang baik, sampai bila pun kita tak akan ke mana-mana dan kelamaan kita akan ketinggalan. Kita kena lepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu.
30. Jadi, jangan nak bercakap tentang kelajuan sistem dan kecepatan kerja dalam talian sekiranya kita dan pihak-pihak terlibat masih tidak mahu berubah dengan apa yang ada dan dengan apa yang telah dipertanggungjawabkan. Tepuk dada tanya iman, adakah kita benar-benar melaksanakan tanggungjawab kerja dan tetap patuh kepada suruhan-Nya?
31. Sebenarnya, semua org telah diberikan pilihan dan boleh membuat penilaian dgn waras. Pelik jugaklah andainya segala macam pilihan buah-buahan yg dihidangkan, täpi akhirnya kita dpt merasa buah pisang yg sama dr pokok yg sama.
Sekian.
Disclaimer:
Ini adalah pandangan peribadi dan semuanya tipu belaka. Ianya tiada kaitan dengan mana-mana pihak sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. suka-suka je yea..