Wednesday, October 20, 2021

WhatsApp

 Persoalannya adakah WhatsApp ini sesuai dan sah untuk diguna pakai sebagai medium komunikasi rasmi terutamanya kepada organisasi?

"...terdapat juga rungutan daripada penjawat awam yang mendakwa penggunaan aplikasi media sosial ini (WhatsApp) menjejaskan kualiti masa bersama keluarga serta waktu rehat mereka, dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa untuk menjelaskan adakah aplikasi WhatsApp telah diwartakan sebagai alat komunikasi rasmi komunikasi antara penjawat awam (Sinar Harian 2016). Penggunaan media sosial seperti WhatsApp telah digunakan secara meluas, bukan sekadar untuk aktiviti sosial semata-mata, tetapi telah menjadi alat untuk pengurus menyampaikan maklumat dan arahan kepada pekerja"
[Jurnal: Proceeding of the 5th International Conference on Management and Muamalah 2018 (ICoMM 2018) e-ISBN: 978-967-2122-52-4)]

Wednesday, October 6, 2021

Pak Din, Aku Rindu

 Benda dah 2 tahun simpan, kita up malam ni sebab aku rindu kat Pak Din.

Catatan Umrah Jelajah Kasih 2.0
Pak Din
“rabbana aatina fiddun ya hasanah wafil aa khirati hasanah waqina azabannar”
Sayu dan penuh keikhlasan. Doa ini tidak pernah lekang dari bibir Pak Din sepanjang aku memapah dirinya melakukan tawaf di Baitullah. Setiap kali berdoa, Pak Din menangis dan mengeluh pegal atas dosa-dosanya yang lampau. Pengaduan kepada al-Khalik dengan tangisan yang penuh keinsafan dalam usia yang semakin dimamah waktu.
Pak Din atau nama sebenarnya Shamsuddin bin Juri, berasal dari Pulau Pinang dan dalam jangka usia melebihi 75 tahun. Seingat aku melalui rujukan data asnaf yang diterima, Pak Din hidup sebatang kara dan keluarga pak din hanyalah jiran terdekat dan kawan-kawan rapat yang tinggal sekampung.
Semasa usia remaja, Pak Din bekerja sebagai pembantu jurumudi kapal yang berpengkalan di beberapa buah pelabuhan dalam dan luar negara seperti di Johor dan Pulau Pinang, pelabuhan di Singapura, Taiwan, India dan akhir sekali bersama sebuah syarikat milik Kerajaan Brazil yang berpengkalan di perairan lautan pasifik.
Pekerjaan ini jugalah yang telah membawa Pak Din mengelilingi dunia dalam usia yang masih bertatang remaja. Bagi aku, Pak Din seorang yang sangat
hebat
dalam pengembaraannya sebagai pelaut yang berpengalaman.
Setiap kali Pak Din bercerita tentang kerja dan kapal, Pak Din sangat teruja dan ceria, penuh bersemangat dengan perkongsian pengalamannya, tetapi ada ketikanya Pak Din tiba-tiba diam membisu, seakan apa yang terucap itu sebagai titik noktah penutur kata. Mungkin banyak rahsia yang Pak Din pendam dalam sesetengah perkara yang tidak ingin beliau kongsikan.
Walaupun Pak Din berkelulusan tamat sekolah rendah, tetapi aku kagum dengan kemampuan Pak Din yang mampu bertutur dalam enam bahasa iaitu bahasa Cina, Inggeris, Portugis, Arab, Tamil dan Siam. Inilah kelebihan dan keistimewaan Pak Din selain mempunyai watak ceria dan selalu mengukir senyuman.
Pak Din pernah bercerita bagaimana kehidupan beliau semasa mudanya. “Hidup aku dulu penuh dengan keseronokan, aku tak pernah ingat nak sembahyang... apa lagi puasa...semua aku langgar masa tu, dalam diri ada rasa sesal tapi nafsu dan duit buat aku lalai dan tak ingat tuhan”
Itulah kata-kata Pak Din dengan nada penyesalan dan aku melihat genangan air mata seusai Pak Din berbicara. Itu kisah lama Pak Din. Pak Din pada ketika ini sangat jauh berbeza, Pak Din yang aku kenal kini bukan lagi Pak Din yang dahulu.
Di tanah haramain ini, hubungan aku dan Pak Din seperti sahabat, anak dan ayah, seperti juga kawan rapat sepasukan. Maklumlah Pak Din telah diamanahkan kepada aku sebagai penjaganya sepanjang tempoh kami dalam program ini. Bilik Pak Din juga bersebelahan dengan bilik aku setiap kali kami menginap di Madinah dan Mekah, jadi tiada masalah untuk kami bersama-sama pada setiap masa.
Sebagai petugas, menjadi tanggungjawab aku untuk pastikan semua keperluan asnaf dalam program ini mencukupi dan memberi keselesaan kepada mereka. Ya lah, Pak Din tidak pernah bersuara akan apa yang dia perlukan kerana sifatnya yang tidak suka menyusahkan orang lain.
Pak Din tak pernah minta untuk dipapah berjalan. Sedaya boleh, Pak Din akan cuba melangkah dengan sendiri. Pak Din juga tak banyak kerenah berkaitan makan, minum, tempat tidur dan sebagainya. Apa yang disediakan, Pak Din terima dengan seadanya.
Pak Din tidak pernah culas menunaikan solat di Masjidil Haram. Ada kalanya Pak Din berjalan bersendirian seawal jam 3 pagi untuk menunaikan solat subuh berjemaah dan seboleh-bolehnya dia akan beriktikaf selama waktu yang ada.
Semasa mula-mula tiba di Kota Mekah, Pak Din telah menunjukkan kesukaran untuk berjalan disebabkan pembekakan kelenjar dibahagian lipatan pahanya. Bengkak kelenjar Pak Din semakin membesar dari sehari ke sehari dan kesan ini menjadi semakin teruk sehingga hari terakhir kami di sini.
Walaupun dalam keadaan yang uzur, kecekalan dan kedegilan Pak Din tetap memberinya kekuatan untuk terus berusaha melangkah kaki dan menunaikan tuntutan umrah pada kali pertama. Pak Din juga mampu mengulangi umrah untuk kali kedua dan ketiga. Pak Din tidak pernah sekali pun merungut dan berkira-kira dengan kepayahan dan kesakitan yang dialaminya.
Agak lama Pak Din meluangkan masa untuk berdoa selepas solat subuh sebelum kami melakukan tawaf wida pada hari terakhir di sini. Raut wajah Pak Din menampakkan kesedihan dan pasrah, penuh harapan dalam mendapatkan pengampunan Allah.
Aku menyapu lembut air mata Pak Din yang menitis di pipi tuanya, tangan Pak Din aku genggam erat kerana kemampuan Pak Din untuk melangkah pada hari ini agak terbatas. Pada ketika ini, Pak Din diam dan tidak banyak bercakap seperti hari-hari biasa.
Sepanjang tawaf akhir ini, Pak Din tenang dalam bisikan doanya diiringi esakan dalam tangisan yang penuh emosi. Aku tersentuh dengan luahan bicara Pak Din kepada Ilahi yang merayu keampunan dan kemaafan, merintih rasa dan hiba.
Berbicara dalam bahasa Tuhan yang ringkas dan menusuk perasaan tetapi membawa kita kepada detik penyesalan dan keinsafan yang sangat bermakna. Terima kasih Pak Din kerana telah membawa aku dalam doa mu itu.
Selesai tawaf, Pak Din mengadu sakit di bahagian celah paha dan perut. Pak Din akhirnya meminta untuk ditolak dengan menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan sebelum kami berangkat pulang.
Kota Mekah kami tinggalkan dengan penuh pengharapan.
Pak Din demam selama seminggu selepas pulang ke Pulau Pinang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di salah sebuah hospital. Rawatan Pak Din berlanjutan selama 10 hari dengan keadaan kesihatan yang sangat kritikal.
Berita kematian Pak Din amat berat untuk aku terima, perasaan sedih dan tagisan mengiringi pemergian Pak Din pada ketika itu. Tiada lagi sahabat, ayah dan rakan sepasukan, semuanya menjadi kenangan yang tidak mampu dilupakan.
Semoga Allah menerima doa-doa yang Pak Din bisikkan dahulu, semoga Allah juga menerima taubat Pak Din dan menempatkan Pak Din dalam kalangan mereka yang beriman.
Pastinya penghujung hidup Pak Din yang penuh dengan kebaikan dan penyesalan dalam mencari redha-Nya serta taubat sebagai kunci penamatan dalam husnul khatimah. insyaAllah.
Pak Din, aku rindu...
Mohd Fizhan Mohd Soib, Haslinda Abdul Rahman and 39 others
6 comments
Like
Comment

Saturday, October 2, 2021

Dah Tak Minat

Ada org tanya, kenapa?

"sebenarnya dah tak minat. Lagipun ni dah masuk yang ke-3 kali... Dah malas nak pikir pasal tempat ni 24 jam sehari sebab aku pun ada kehidupan sendiri, itupun tak habis lagi nk cari. Kalau yg ada semangat tu, pegila...aku tak kacau"
Pandangan org ni beza, ada yg suka pangkat, ada yg gila duit dan ada yg nak cari akhirat. Yang pasti umur kita bukan lama...nk menjawab depan hari nanti bukan mudah.