Saturday, November 29, 2014

Salam Terakhir

Hingga Tiba Saat Itu

Mak

Kawan sempat berkunjung ke rumah adik kawan yang tinggal di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang untuk melihat mak kawan yang telah lama sakit.  Umur mak kawan dah lebih 70 tahun, sakitnya pula dah lebih 12 tahun.

Keadaan mak masih sama macam dulu, berkemungkinan juga...lebih teruk daripada mula-mula mak sakit.  Dalam kesempatan ini, kawan cium pipi mak, kawan usap wajah tua mak, kawan pegang tangan mak, kawan urut lembut tangan mak...kawan sayang mak. Kawan tak mampu untuk selalu bersama mak, kerana jarak yang agak jauh.  Kawan akan susun jadual kerja dan cuti untuk melihat mak sekerap yang mungkin, sementara mak masih ada, sementara itulah kawan akan berusaha untuk bertemu dengan mak.

Malam ini, andainya malam akhir kawan bertemu mak, kawan mohon ampun atas dosa-dosa kawan terhadap mak, apa yang pernah kawan lakukan, halalkan makan minum mak ke atas kawan selama ini, kawan tiada dapat membalas walau secebis kasih sayang dan khudrat mak membesarkan kawan selama ini. Kawan mohon redha mak...

Kawan cium pipi dan dahi mak...sekali lagi.


Wednesday, November 19, 2014

Jurnal 2

Kajian yang dibuat berkenaan dengan ekonomi dan demografi kependudukan, salah satu dapatan kajian yang ditulis dalam jurnal tersebut adalah berkaitan dengan bebanan kewangan kerajaan terhadap peningkatan warga emas sesebuah negara.  Salah satu hasil kajian menyatakan bahawa, peningkatan warga emas dalam sesebuah negara, akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan terutama dalam bidang kesihatan.  Ahli ekonomi juga menyatakan bahawa, warga emas merupakan bebanan dalam ekonomi dan ianya melibatkan kewangan yang besar kepada keluarga.

Kajian ini tidak melihat kepada kepentingan warga emas yang produktif dan masih dapat memberikan perkhidmatan mereka kepada keluarga dan negara, berkemungkinan jumlah mereka yang masih aktif dan produktif adalah kurang (tidak ramai).

Kajian hanya membandingkan faktor perbelanjaan kesihatan warga emas yang tinggi berbanding pendapatan, tetapi kajian juga lupa melihat kepada tempoh masa, sumber kewangan warga emas, takaful/insuran, pelaburan yang dimiliki warga emas.

Jurnal 1

Sebuah jurnal berkaitan dengan jenayah ada menyatakan bahawa, ketakutan mangsa kepada sesuatu jenayah bukanlah kepada jenayah yang sedang berlaku tetapi ketakutan kepada jenayah yang akan berlaku.  Ketakutan jenayah yang berlaku adalah ketakutan yang sedang dialami apabila jenayah tersebut berlaku kepada mangsa. Manakala ketakutan kepada jenayah yang akan berlaku adalah jenayah kali kedua yang mungkin akan berlaku kesan daripada jenayah pertama, pada satu masa yang sama.

Contoh : Seorang mangsa (wanita) sedang ketakutan kerana jenayah rompakan berlaku di rumahnya, dia diikat dan diugut dengan senjata tajam atau pistol.  Ketakutan mangsa (wanita) yang sebenar kesan daripada jenayah rompakan ini adalah kepada jenayah kedua yang berkemungkinan berlaku, seperti, mangsa mungkin dirogol atau dibunuh.  Ketakutan jenayah kedua ini adalah ketakutan sebenar kepada mangsa.

Tuesday, November 18, 2014

Sahabat Kawan

Kawan pernah mencatatkan sesuatu dalam buku seorang sahabat lama semasa di sekolah dahulu. Sebanyak sedikit kawan masih ingat apa yang kawan tulis, sekadar tulisan yang  bertujuan untuk semangat kepada sahabat kawan agar meneruskan hidup tanpa ada putus asa. Kenapa kawan tulis begitu?...mungkin disebabkan, kawan mengalami sakit yang amat sangat...sampai muntahkan darah dan seluruh badan kawan lebam-lebam biru dan hitam. Kawan sedih sebab kawan terpaksa menanggung semuanya dalam keadaan kawan memerlukan semangat untuk berjaya dalam SPM.

Nak tak nak...kawan kuatkan semangat dan cuba menghabiskan peperiksaan dengan apa yang kawan terdaya.  Majlis konvokesyen sekolah pun kawan tak hadir kerana kawan terpaksa pulang awal ke rumah untuk berehat...

ermmmmm...waktu itu, semua telah terjadi....apapun, sebaris ayat yang kawan masih ingat dan pasti sangat kawan tulis adalah..."Tolehlah Ke Belakang"... ya, kawan masih ingat... kawan harap sahabat kawan akan terus menoleh ke belakang kalau-kalau dia terlalu jauh ke hadapan...tolehlah ke belakang untuk melihat kalau-kalau dihadapan ada simpang dan jurang... tolehlah ke belakang kalau-kalau ingin mencari jalan untuk pulang...kerana kawan akan tetap dibelakang.

Rupanya catatan kawan dalam buku sahabat tak dapat dibaca...

Selamat tinggal sahabat.



Monday, November 17, 2014

ke?

Tak lama dah, sekejap je lagi, kurang lebih sepuluh hari.  Semua akan berubah? semuanya tidak sama lagi dengan yang dahulu dan semua akan memasuki ruang yang baru.  Sebetulnya begitulah harusnya.  Kalau kata...takkan berubah..itu tipu. Kalau kata masih macam dulu, itu pun juga tipu. Kalau kata masih sama macam selalu, juga tipu.  Dan kalau masih menipu, sure lah bukan macam selalu dan dulu dulu.  Sebab, semua orang tahu...semuanya akan berubah.  Berubah ke arah yang lebih baik, pasti dan mesti ke arah itu, bukan semakin tidak dan tidak.

Kalau dulu masih berseluar pendek, dedah aurat sana sini, selepas ini, mestilah berseluar panjang dan tutup sana sinun.  Kalau dulu, begitu, selepas ini, elok sangatlah bertukar rupa.  Andai kegemaran dulu juga memaksa ke arah tidak baik, maka selepas ini, bertukarlah minat ke tempat yang lain. Bukan yang ada sekarang.  Pemimpin wajib tunjuk contoh yang baik, bukan hanya kerana minat dan hobi, maka terpaksa buka aurat dan sebagainya.

Kalau minat main bola, pakaian kenalah yang menutup aurat, bagi lelaki...lutut kena tutup, pakailah seluar melebihi lutut.  Kalau minat lari marathon, pakailah pakaian yang tidak ketat dan menonjolkan bentul badan...itu juga aurat walaupun "menutup" dengan bentuk badan yang tetap nampak.  Kalau nak ikutkan orang lain cara pakaian begitu, sampai bilapun kita tak akan berubah.  Ke ? tak perlu berubah?...alasannya, itu ajelah pakaian yang sesuai dan begitulah cara orang pakai..lain-lain pakaian tak boleh, mengurangkan kelajuan larian, renangan...kurang stamina, halangan angin ....(kroh..kroh..kroh....alasan!!!)

Kawan bercakap kerana yang benar, kalau silap dan terasa, kawan tak harap dimaafkan, kerana kawan bercakap tentang perkara yang asas dan kecil.  Andainya minat dan hobi begitu, membuatkan kita tercondong ke arah yang tidak baik (dosa), mengapa diteruskan.  Sebagai pemimpin utama (sekejap lagi, dalam sebuah keluarga), wajib menetapkan peraturan asas sebegitu.  Nak kawal orang lain, bertambah besarlah tanggungjawab kita terhadap semua pihak, termasuklah pihak yang mengizinkan kita untuk pinjam semua perkara yang kita ada...peminjam yang tiada meminta balasan, peminjam yang memberikan semuanya kepada kita, ... Allah.

Jadi...berubahlah kepada yang asas.  Juga...yang menjadi pengikut dan yang mengikut untuk berubah nanti, bukan hanya disebabkan pemimpin kita tidak mahu berubah, kita sama-sama sesat dalam keadaan itu, sedangkan kita tahu kesalahan dan silap begitu.  Tegurlah sebelum ada persetujuan bersama dalam membentuk kepimpinan.  Minta persetujuan dan syarat awal agar perkara-perkara begitu begini diterima dengan baik.  Bukannya selepas mencapai kata sepakat, baru nak ditegur.  Nanti timbul kemarahan pula.  Bukan hanya aurat tetapi perkara-perkara lain yang asas...

Ke? kita pun sama dengan dia...oleh kerana terlampau minat dan suka, semua salah dan silap telah dilupa..."lantak dialah nak jadi macamana, asalkan aku lepas...tanggungjawab itu... dia yang tanggung nanti"....itu niat yang ditimbulkan iblis dalam dada...

Fikirlah lagi yea!!...bukan mudah nak berubah, walau sekecil mana pun perubahan yang datang.  Yang sakit dan pahit ini, sememangnya ubat yang paling mujarab.  Kawan menulis untuk membetulkan keadaan, selebihnya kawan tak tahu, apa sebenarnya yang ada dan berlaku.  Semua yang kawan tahu adalah pandangan mata kawan sahaja.  Ada sebab kawan menegur begini, bukan kawan saje-saje nak menulis tapi kawan anggap kita semua sebagai kawan-kawan dan sahabat.  tentunya perlu berubah kepada yang baik...Dah fikir sehabisnya?

Astaghfirullahalazim...


Ajal telah tiba wahai sahabat

Menerima berita kematian jiran sebelah rumah.  Dalam usia yang masih muda dan meninggalkan anak-anak kecil yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa.

Wahai teman, aku doakan agar dirimu bahagia disana, disisiNya.  Urusan dunia telah selesai bagimu, yang ditinggal pasti akan menangis mengenangkanmu, tapi aku tahu, tiada lagi penghubung antara dunia ini dengan alam barzakh itu.  Anak-anakmu akan jadi bekalan amalan yang berterusan. Berbahagialah dirimu disana wahai teman.

Man Tega

Man, selamat tinggal sahabat.  Teruskan usaha ditempat baru dengan suasana yang lebih menarik dan memberikan dirimu peluang untuk lebih berjaya.  Bukan suatu perkara yang mudah, peluang yang datang menjadi rebutan semua orang.  Kejayaan ini juga merupakan ujian Allah kepada kita untuk berfikir dengan lebih luas, ujian yang bakal membawa kita kepada ketakwaan yang lebih kuat.

Selamat tinggal sahabat...ManTega


Friday, November 14, 2014

Tak Yah Tunggu

Tiada apa nak ditunggu lagi. Tak payah lah tercongok melangu lagi.  Kalau dulu, tegar jugaklah menunggu sampai habis waktu...itu dulu.  Waktu mula-mula...sampai tua pun sanggup menunggu dan menunggu, dah kerepot kulit pun boleh tunggu, apa dah jadi... rupanya tak usahlah menunggu sebab masa merubah segalanya, dulu bole, sekarang tak boleh.  Sekarang, tak payah!!!, semuanya dah nak berakhir. Semua yang ada telah pergi dan muktamad keputusan telah diketahui.

Yang ada dan boleh kita usaha, usailah hidup kita sendiri, begitu begini sana sini...selamanya nyawa yang mampu kita pegang.  Jangan berharap lagi kepada yang dah pergi. Nak minta pun tiada siapa disini, tiada lagi apa-apa yang hendak dikecapi nanti, manis pahit tinggal jadi misteri...yang lama tinggal kenangan, yang ada hanyalah berita-berita dan cerita sahaja.  Semuanya dah dilupakan...buat apa nak ditunggu-tunggu sampai kematu?...buat penat dan buang masa saje.

Tak ada apa lagi...dan  sebenarnya, tiada apa nak ditunggu lagi.  Hanya mencukupkan amalan, taubat dan tahajjud serta witir kepadaNya.  Itu yang ditunggu dan usah bertangguh untuk melaku, kena segera melaku, bukan menunggu.

Monday, November 10, 2014

Rindu dia

Sepanjang minggu lepas, kawan teringat sangat dengan arwah ayah.  Dah lama tak mimpi jumpa dia, kalau dulu, selalu mimpikan dia, sampai di Mekah pun, dapat bertemu dgn dia dalam mimpi..., Selalu berharap dan berdoa ayah di sana dalam keadaan yang sungguh bahagia.

Dah lama juga tidak menjenguk pusara ayah, dalam beberapa minggu ni, masih belum ada kesempatan ke sana.  Rindu ayah sangat-sangat.

tanda aras

Kelmarin, anak pulang dengan senyuman, katanya dia dapat nombor kedua dalam kelas. Aku tanya, kenapa dia tak dapat nombor satu?, sebab target untuk dapat nombor satu, bukan dua.  Dia diam dan cuba mencari sebab-sebab lain yang sempat difikirkannya (mungkin dia dah fikirkan dalam bas tadi). Katanya, sebab kawan dia yang nombor satu, pandai sangat, lagipun dia dah dapat markah paling tinggi dalam matematik...salah satu soalan je...dan juga dia dah hafal beberapa surah dalam AlQuran.

Itulah alasan dia, didatangkan dengan beberapa siri alasan bercampur keagamaan, membuatkan aku lemah dan pasrah dengan anak ini.  Aku pun belum habis menghafal semua surah yang disebut olehnya. Macamanapun, aku buat macam tak boleh terima sebab, bukan mudah nak kekalkan kejayaan dan berterusan dengan kejayaan jika matlamat kita sama dengan orang lain. Nak jaga dan penuhi penanda aras keluarga memang terlalu keras dan menyakitkan, kena perlu berusaha melebihi kebiasaan untuk berjaya dengan baik dan cemerlang.  Disebabkan berusaha inilah, aku rasakan akulah yang paling tak pandai dalam keluarga, samada keluarga disebelah isteri atau adik beradik kandung aku sendiri. Aku memang tak berapa nak pandai belajar...malas dan macam-macam lagi. Tidak mahu kemalasan ini diperturunkan pula kepada anak-anak yang nyata sekali mewarisi diri kita.

Bagaimana nak teruskan kecemerlangan sekiranya kita semua masih banyak alasan dan memikirkan sebab.  Bersebab pula dengan menyatakan orang lain lebih hebat dan pandai. Mungkin boleh kita menuliskan sebab kepada kesalahan diri kita sendiri...kita boleh halakan kepada "diri kita malas", "kurang berusaha", "cuai", "terlalu yakin", dan sebagainya.

Yang jelasnya, berusahalah sebanyak mana sekalipun khudrat dan kemampuan kita, yang mengizinkan kejayaan hanyalah Allah. Berusaha dan berdoalah wahai anak-anakku...untuk kehidupan dunia dan akhiratmu.


Sunday, November 9, 2014

maksiat

Menonton sebuah rancangan realiti TV...antara bahagian yang paling aku keliru....mak ayah menangis gembira kerana anak memenangi atau menjuari program yang disertai...anaknya pun sama, menangis dalam kegembiraan. Perkara maksiat yang didokong oleh keluarga, ibu ayah bersama-sama memberi semangat dan sokongan dalam melakukannya, berjuang untuk menjadi juara dan menang dalam sebuah pertandingan yang menjurus kepada kemaksiatan???

Alangkah mulia andainya, ibu dan bapa menangis melihat anaknya juara dan nombor satu dalam menghabiskan juzuk-juzuk alQuran, menjadi hafiz kepada semua ayat-ayat Allah. Alangkah baiknya andai anak-anak melayu ini meneruskan pelajaran dan berjaya dalam hidup sebagai profesional yang membantu anak-anak melayu islam lainnya, alangkah baiknya andai anak-anak melayu ini berpeluang mengembangkan potensi diri mereka dalam bidang yang menjadi kifayah kepada masyarakatnya, alangkah baiknya anak-anak melayu ini berjuang dalam agama Allah dan mengubah prasarana kehidupan yang sebegitu. Alangkah baiknya andai kesudahan kita semua dalam redha Allah, sama-sama berdoa mendapat rahmatNya, mendapat petunjukNya.

Walijami ilmusliminn wal muslimat, mukminin wal mukminat birahmatika Ya arhamarrahiminn..


Bising sangat wei..tolong diam sikit.

Adapun kisahnya, terlampau amat bisingnya teriak jerit kebanyakan manusia disana, mengadu domba dan komplen sini sana, mengata kutuk dan caci maki, hembur kata dusta dan menidakkan kebenaran orang lain...

Tingkah gerak begini meluakkan kebenaran dan nampaknya batil penuh meninggi, menjemput fitnah adu domba dan tikam menikam dengan sekelip mata.  Pawana hidup kembali dengan lagak jahat dan kejam, menulis dan cetak dalam ruang siber yang disebarluas dalam jaringan dunia yang tiada ruh, tiada bau dan rupa tetapi hidup dengan penuh nista, terlalu pantas dibaca dengan jiwa dan pahaman yang sentiasa seronok dan kacau, cepat mempercayai apa yang dikata dan menjadi duri sepanjang masa.

Semua telah ketahuan akan hukum dan hakam, peraturan dan ketetapan yang dinyatakan sejak sekian lama, masing-masing angguk mengiakan semuanya..seolah-olah faham dan wajib tahu akan segala kesalahan apabila melanggar hukum.  Sayangnya, mereka tindas dan degil, suka menghentam dan langgar semua aturan dan hukum, sibuk membuat peraturan sendiri dengan anggapan sendiri, tidak menerima kehendak ramai, mereka buat sesuka hati dan mementingkan diri.

Maka, terlalu banyaklah undang-undang dan hukum dilanggar, kesalahan berleluasa dan membingitkan mata telinga.  Maka, hidup lah semula penguatkuasa untuk menegak bangunkan undang-undang dan hukum hakam dalam kehidupan mereka, agar mereka sedar dan insaf bahawa mereka telah melanggar hukum, mereka seharusnya dihukum dan menerima salah yang dilakukan selama masa.  Tambahan pula, menguatkuasa undang-undang sahaja, bukannya membuat aturan dan hukum baharu...memakaiguna aturan lama yang diketahuan semua...

Tak boleh nak kata dah, undang-undang Allah pun mereka abai, inikan pula hukum hakam manusia.
(..nombor plat tak ikut spesifikasi, cermin gelap, dah tahu semuanya salah, bila kena saman, marah pulakkk...ek elehhhh)

Friday, November 7, 2014

cerita baru

Mungkin cerita lama lagi best daripada cerita baru, nak ulang tayang seberapa banyak, walaupun kita dah tahu jalan cerita dan penghabisannya, namun kita tetap akan menontonnya berulangkali tanpa jemu.  Dan sememangnya begitu, kita akan lebih sukakan cerita-cerita lama yang dapat memberikan kita kepuasan menontonya.

Pastinya dalam penceritaan itu terdapat beberapa perkara yang kita paling suka untuk melihatnya seberapa banyak kali diulang, barangkali lakonan atau hero atau heroinnya hensem dan lawa, atau mungkin juga aksi lasak dan pergaduhan dalam cerita itu memang menyeronokkan, mengujakan. Mungkin juga fiksyen yang dibuat mampu menarik minat kita untuk mengulang cerita. Mungkin juga skrip dan kata-kata yang dilafazkan dalam dialog penceritaannya sangat terkesan dan memberikan kita motivasi..mungkin juga.  Mungkin juga jalan ceritanya penuh dengan teka teki dan misteri, memerlukan otak kita untuk berfikir...dan yang pastinya, apa yang kita boleh kata..citer tu best nak ditengok. Semuanya ada kelebihan dan terpulang pada kita untuk memilihnya yang mana.

Walaupun begitu, andainya dah ada cerita baru, tontonlah cerita baru, cerita lama simpan dalam DVD..CD...memori kad, pendrive, laptop dan sebagainyalah.  Kadang-kadang boleh ulang tayang, itupun kalau nak ulang tayang.  Lama-lama cerita lama akan jadi kenangan dan memori lama, tak lebih daripada itu.  Tapi ... tak usahlah ulang tayang selalu, cuma kalaulah memberikan pengajaran  ambik jadikan teladan dan nasihat kepada diri, yang tidak, jadikan sempadan dan tegahan diri.

Sekarang, kita dah ada cerita baru. Tajuknya juga baru dan jalan ceritanya juga memang berlainan dengan cerita lama, pelakon dan semua prop nya pun baru, pengarah baru, bajet baru dengan penerbit yang baru.  Pelakon tambahan (xtra) pun baru, peralatan dan segala mak nenek berkaitan dengan filem...semuanya baru.  Masing-masing menunggu hasil penceritaan baru tersebut....adakah ceritanya cerita fiksyen, aksi ganas, romantik dan cinta, cerita hantu dan tahyul, misteri atau cerita biasa yang kita tonton.