Monday, March 10, 2014

Pencuri dan Pembohong

Jika berlaku kecurian, pastinya pencuri yang akan dipersalahkan, kerana namanya adalah pencuri dan sifat serta perlakuan menepati perbuatan mencuri tersebut.  Jadi, tanggapan awal adalah kepada pencuri.

Jika pembohongan berlaku, maka pembohonglah akan dicari terlebih dahulu kerana bertepatan dengan sifatnya yang berbohong.  Jadi, begitu jugalah tanggapan awal kepada pembohong.

Begitulah penilaian manusia yang dipengaruhi dengan perkara yang "menyerupai" dan perkara yang "sama" atau perkara yang memudahkan mereka meletakkan kesalahan kerana ianya ada kaitan.  Kerana juga manusia mahu mendapat jawapan yang mudah dan cepat, menolak kemungkinan lain yang tidak terlintas difikiran mereka.  Maka pencuri dikaitkan dengan mencuri dan pembohong dikaitkan dengan bohong.  Begitulah sifat manusia yang begitu mudah meletakkan label kepada seseorang.

Sememangnya pencuri dan pembohong sepatutnya dianggap sedemikian, namun sememangnya juga kita sebagai manusia menerima kemungkinan-kemungkinan lain disebalik curi dan bohong yang dikatakan itu.  Bukan terus dan cepat meletakkan tanda sedemikian kepada mereka, sekurang-kurangnya dengarlah segala alasan dan berkemungkinan juga rintihan daripada pencuri atau pembohong tersebut.

Sebagai contoh dan teladan, seorang yang mencuri sebuku roti atau susu untuk diberikan kepada anaknya yang kelaparan.  Sebetulnya perbuatan sedemikian adalah salah dan sepatutnya dihukum.  Tetapi adakah penilaian manusia hanya menilai perbuatan yang tidak bermoral itu sebagai satu sebab untuk menjatuhkan hukuman?  Atau manusia boleh berfikir untuk meletakkan nilai dalam perkara tersebut dengan menjelaskan situasi dan mengambil kira persekitaran dan kehidupan si anak kecil yang kelaparan. Mengapa hukuman diteruskan tanpa menilai sesuatu kejadian?  adilkah begitu? Barangkali manusia tidak mahu menerima alasan dan sengaja meletakkan kesalahan hanya pada penilaian kesalahan sahaja.

Dan sebenarnya, jika beginilah penyudah bagi hukuman dan keadilan kepada pencuri atau pembohong, maka cerita sebenar pencuri dan pembohong tidak akan diketahui dan menganggapnya seperti satu cerita biasa dan tidak boleh diterima pakai untuk meredakan hukuman.  Pencuri dan pembohong akan meletakkan nilai mereka kepada hukuman dan manusia yang mengadili sebagai pekak dan buta.  Pencuri dan pembohong percaya bahawa dirinya perlu berterusan untuk mencuri dan berbohong dalam kehidupannya kerana manusia yang mengadili juga penuh dengan kepura-puraan dan sentiasa berbohong dalam tindakannya, malah berjangkit kepada kehidupan, pergaulan dan percakapan.

No comments: