Wednesday, December 25, 2013

PerancanganNya

begitu indah dan cantiknya perancangan Allah.  

Tidak disangka semuanya boleh berlaku dengan begitu mudah dan tersusun rapi.  Perkara yang berlaku sememangnya tidak terlintas dalam akal ini dan tidak pernah terfikirkan sebegitu. 

Dan semua yang berlaku juga seperti udara yang mengisi setiap ruang tanpa meninggalkan ruang-ruang kosong yang masih belum terisi.  Ianya cukup sempurna.


Perancangan Allah cukup segalanya, tiada yang cacat dan tiada yang kurang, perancangan yang mengatasi segalanya. Perancangan yang sebenar dan asli tanpa ada tekanan kepada hambanya.

Thursday, December 5, 2013

Bila Air Naik

Bah datang lagi, air naik lagi, jalanraya dan rumah tenggelam, perhubungan terputus dan pelbagai ragam lagi perkara yang boleh dikaitkan dengan bah atau banjir pada waktu-waktu begini, terutamanya dah masuk ke penghujung tahun, semuanya berkait dengan banjir.

Dalam media masa dan sosial juga banyak melaporkan perkara yang sama, air semakin naik, pusat pemindahan telah dibuka degan jumlah pemindahan penduduk semakin meningkat, jumlah bantuan juga meningkat dan sebagainya.  Ada juga laporan mengatakan bahawa mangsa banjir dibiarkan kelaparan, dibiarkan tidak mendapat bantuan dan segalanya lagi yang menidakkan mereka untuk mendapat bantuan walaupun sebaliknya berlaku.  Nak percaya 100% kepada laporan ini pun tidak jugalah, kena megambil jalan yang lebih terbuka kerana kebanyakan bantuan telah diberikan kepada mangsa, apa yang bleh dikatakan sama ada bantuan tersebut tiba cepat atau lewat.  kalaulah lambat atau lewat sekalipun, ianya tidaklah menyebabkan kelaparan kepada mangsa, tidaklah menyebabkan mangsa terbiar kerana tiada bantuan.

Pelbagai cerita dan khabar diketahui orang.  Ramai juga yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain menghadapi bencana banjir yang berlaku. Ramai juga yang bertugas membantu mangsa-mangsa banjir dengan penuh tekun dan memberikan komitmen dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.  Sebetulnya tugas mereka untuk membantu tetapi mereka juga terjejas dengan keadaan rumah yang turut ditenggelami air.

Dan keadaan inilah yang memberikan mereka semangat untuk membantu orang yang senasib dengan mereka.  namun demikian, ada juga manusia yang mengambil kesempatan untuk mendapat bantuan semata-mata, kononnya mereka juga menjadi mangsa banjir dan kehilangan rumah dan tempat tinggal tetapi sebaliknya berlaku.  Mereka ini hanya datang ke pusat-pusat pemindahan dan mendaftar untuk melayakkan mereka mendapat bantuan kerajaan seperti kewangan dan peralatan yang dibekalkan kepada mangsa banjir.

Tidakkah mereka boleh berfikir seketika bahawa yang menjadi mangsa sahaja yang layak untuk mendapat bantuan tersebut.  Jika mereka mengatakan mereka juga mangsa sedangkan mereka tidak terlibat dengan masalah ini, adakah hak orang lain telah diambil oleh mereka?, hak orang yang betul-betul memerlukan telah diambil oleh mereka.  Kita semua tahu, kerajaan akan cuba memenuhi semua pihak yang terlibat untuk memberikan bantuan termasuklah mereka yang kononnya menjadi mangsa dan mangsa sebenar.  terpulang kepada individu untuk menilai tindakan mereka masing-masing, "tepuk dada, tanya selera", yang mana halal dan yang mana tidak.

Tuesday, December 3, 2013

Berkorban Apa Saja

Terlalu mudah bila menyebut perkataan pengorbanan, sedangkan disebaliknya begitu berat untuk melaluinya. Semua orang akan faham apa itu pengorbanan dan mudah menasihati orang lain yang terpaksa melalui proses dalam pengorbanan tersebut. Bak kata pepatah "berat mata memandang, berat lagi bahu memikul".

Ada yang perlu dikorbankan untuk mendapatkan sesuatu, sekiranya tiada pengorbanan, maka tiadalah habuan yang akan diperolehi. Ianya mudah dan siapa sahaja boleh melakukannya. Akan tetapi membuang apa yang kita tidak perlu dan mendapatkan benda baru, bukan dinamakan pengorbanan. Ianya seperti (dalam bahasa yang sedikit sopan) melepaskan perkara atau benda yang kita sayang tapi dengan alasan atau sebab untuk memperolehi perkara atau benda yang kita sayang atau perlukan.  Barangkali itu lebih tepat.

Melepaskan sesuatu tanpa kerelaan juga merupakan bentuk pengorbanan yang diperlukan, tanpa apa-apa balasan yang diminta. Pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak, pengorbanan anak kepada kedua ibu bapa, pengorbanan suami kepada isteri dan isteri kepada suami, pengorbanan meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki, pengorbanan masa kerana bekerja dan sebagainya. Semuanya memerlukan pengorbanan.

Pengorbanan sebenarnya berat untuk dilakukan...mudah diucapkan...

TQ Allah

Benar, semuanya benar belaka, tiada satupun yang tidak benar.  Semuanya telah ditentukan Allah atas apa yang berlaku.  Semuanya diberikan oleh Allah atas rezeki kita yang diperolehi.  Ramai orang berkata bahawa, semuanya telah ditentukan oleh Allah dan rezeki pun telah ditentukan oleh Allah.  Tidak dinafikan tentang kenyataan tersebut kerana kehidupan ini ditentukan oleh Allah, Aku terima ketentuanNya dan tidak pernah menafikan tentang itu.

Apabila sesuatu yang telah lama kita punyai, telah kita rasa dan telah lama kita memilikinya tetapi secara tiba-tiba kita terpaksa melepaskan dengan alasan bahawa rezeki Allah belum tiba dan bukan rezeki kita, pada permulaan, perasaan mungkin tersentap dan menjadi sedih kerana kita akan kehilangan apa yang kita miliki tetapi aku boleh menerima keadaan tersebut kerana semua perkara adalah milik Allah.  Dialah yang memberikan kepada aku untuk punyai apa sahaja, untuk miliki apa sahaja, untuk kuasai apa sahaja.  Aku faham semuanya milik Allah dan dialah yang menentukan siapa yang Dia izinkan untuk memilikinya.

Berkemungkinan rezeki belum, mungkin juga masanya rezeki tersebut milik orang lain, barangkali juga rezeki telah bertukar bentuk dan tidak dijelmakan dalam bentuk lain yang tidak kita duga, berkemungkinan juga ianya dijelmakan dalam bentuk yang lebih baik dan lebih barakah dan diredhaiNya.  Aku harap rezeki yang hadir dalam hidup ini biarlah yang diredhaiNya dan bukan yang dibenciNya.  Sekiranya selama ini apa yang diperolehi oleh aku sebenarnya bukan yang diredhaiNya, aku rela melepaskannya pergi dan tempatkanlah ia kepada mereka yang berhak ke atasnya.

Alhamdulillah syukur padamu Ya Allah kerana telah memberikan aku apa sahaja peluang untuk kehidupan ini, betapa besar pemberian dan pinjaman yang telah Engkau berikan dalam hidup aku, betapa luasnya rezeki Mu Ya Allah. Terima Kasih Ya Allah.

Terima Kasih juga Ya Allah kerana telah membuka fikiran dan menunjukkan aku jalan untuk bertindak dengan matang kerana demi kebenaran. Aku percaya hidayah ini dibukakan olehMu untuk aku kerana kasih sayangMu terlalu tinggi kepada hamba-hambaMu dan tiada nilai untuk disamakan walau ianya seluas isi alam dan jagat semesta dunia yang ada.  KuasaMu terlalu tinggi dan mengatasi segalanya.

Thank you Allah.