Sunday, August 22, 2021

Nyawa Kedua (Catatan Sahabat)

Nyawa Kedua

Alhamdulillah, semuanya telah selesai dalam tempoh 11 hari dengan suasana yang sangat menekan, menduga fizikal dan mental untuk memenuhi ujianNya. Terima kasih kepada semua sahabat yang tidak putus-putus mengirim doa dan semangat, hanya Allah yang dapat membalas semua kebaikan.
Mulanya, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi sebahagian dari hitungan data statistik negara. Seperti juga dengan kawan-kawan lain, berasa sangat yakin tak kena, sangat yakin tak sakit, kita dah patuh SOP, kita dah pakai facemask, cuci tangan, jaga jarak dan tak pegi makan kedai mamak ramai-ramai, apatah lagi nak berkempen politik time2 pandemik, jauh sekali. Begitulah, rupanya Allah tutup fikiran kita supaya kita mangli dan tidak dapat meneka apa yang datang seperti kata pribahasa…‘geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau’.
Akhirnya kalah terduduk, sendu, gentar dan takut kerana berada dalam dua persimpangan, sedangkan bekalan amal tidak menentu tetapi dosa makin menebal. Jumlah kematian pun semakin meningkat dan setiap hari kita mendapat berita perginya orang-orang yang dekat dengan kita, persis hampirnya kematian itu kepada kita jua.
Selepas empat hari demam dan pada hari pertama di hospital, saya dikelaskan dalam stage 4 dengan tahap pernafasan ‘mintak nyawa’, sesak dan perit tetapi bukan ‘ditidurkan’, masih lagi bertahan dengan menggunakan bantuan peralatan pernafasan untuk beberapa hari. Badan dedar dan demam masih tidak kebah, ditambah dengan perkara wajib iaitu diarrhea dan sakit tekak yang melampau semacam dihiris-hiris, nak berwasap pun malas apatah lagi nak bercakap. Kalau bab hilang deria rasa dan bau, ianya tetap bermasalah walaupun bukan masalah besar kalau kita fikirkan untuk makan dan minum walaupun dengan hanya air suam sahaja. Bekalan Vitamin C, D, Zinc dan lain-lain dadah yang halal dan seumpamanya disediakan secara berterusan oleh KKM, cuma saya alah dengan vitamin C dan jadi masalah pula kepada badan untuk menerimanya. Air ketum? jangan berangan nak bawak masuk kerana ianya diharamkan…(peringatan utk semua, boleh didakwa di bawah Akta Racun 1952).
Apapun, pakej percutian COVID-19 ini menjadi rukun dan wajib diterima kalau dah masuk dalam kategori siri 4 dan 5, cuma kadarnya sahaja yang berlainan mengikut kemampuan masing-masing. Sebagai contoh, dengan mengambil kira tahap radang paru-paru antara mantan perokok tegar dan bukan perokok, perbezaannya adalah sangat ketara, seumpama membuat pilihan untuk hidup atau mati (Allah jua yang menentukan), tepuk dada tanya selera…
Sebelum ini saya telah lengkap mendapatkan 2 dos vaksin pada bulan Jun 2021, kalaulah kena atau tak kena penyakit, itu cerita lain, semuanya Allah dah tulis. Ambillah 16 dos atau seberapa banyak dos2 sekalipun, kalau dah ditakdirkan kena…terima ajelah. Bukan nak kata ‘beriman kepada vaksin’ tetapi mengambil vaksin atau ubat ini merupakan tindakan kepada pemahaman sebenar melalui perkhabaran hadis-hadis nabi yang sahih dan benar dengan memegang kuat tawakkal kepada Allah. Ya, tawakkal kepada Allah, bukan hanya berserah bulat-bulat tetapi perlu diiringi dengan usaha, kerana kaedah bertawakkal tidak membenarkan jalan mudah untuk melepaskan diri (escapism), tetapi tawakkal yang sebenarnya adalah tempat kembalinya segala usaha.
Percayalah, vaksin juga telah banyak membantu meredakan tahap siksa sakitnya azab COVID-19 dan dapat mengurangkan kes-kes kematian. Perkara ini bukan saya cakap tapi beberapa orang sahabat dalam bidang perubatan yang kata.
Walaupun hanya 11 hari tetapi masa yang dilalui begitu menginsafkan kerana saya disedarkan kembali betapa dahsyatnya nikmat kesihatan yang diberi. Saat beginilah kita diberikan peluang merasakan bagaimana kasad sebenar penyerahan hidup mati kepada al-Khalik. Saat inilah baru kita faham betapa ampuhnya doa-doa yang kita bisikan. Pada saat inilah, saya berasa sungguh bertuah kerana dikurniakan dengan nikmat yang tidak ada tolok bandingnya yang telah kita dapat iaitu kehidupan dalam beragama, satu nikmat yang paling besar dalam hidup kita di dunia dan akhirat, iaitu Islam.
Akhirnya… duduk menunggu dan seolah-olah diberikan nyawa kedua sebaik sahaja gelang dipotong.
Ikhtisarnya begitulah. Wassalam
12-22 Ogos 2021