Wednesday, May 16, 2018

Belum Lagi

Kawan bukan minat atau fanatik sangat dengan DSAI yang baru dibebaskan dari penjara pada hari ini.  Sambutan penyokong beliau masih ramai dan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat.  Semasa sesi media pada awal tengahari ini, DSAI masih seperti dahulu, nampak bersemangat dan ucapan beliau masih tidak berubah.  Itulah DSAI.

Dalam manisfesto Pakatan Harapan, salah satu janji yang hendak dilaksanakan adalah melantik DSAI sebagai PM Malaysia dalam masa terdekat.  Kawan berpendapat, pelantikan DSAI sebagai PM Malaysia masih belum boleh dilaksanakan, maksud kawan, masih belum sesuai.  Tidak semua orang yang menyokong Pakatan Harapan menyukai DSAI dan memberi undi kepada beliau.  Faktor Tun M merupakan faktor utama kepada kemenangan PH dalam PRU 14.  Dalam masa setahun dua ini, tangguhlah dulu dan bersabarlah dahulu.  Menunggu kesesuaian waktu dan peralihan kuasa benar-benar berlaku dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Perubahan yang berlaku adalah kerana Allah telah hadirkan Tun M dalam kumpulan ini, dan merubah segalanya.

Monday, May 14, 2018

PH Menang

Pilihanraya 14 pada 9 Mei 2019 (Rabu) telah berakhir.  Keputusan PRU yang pertama kali menyebelahi pihak pembangkang dan membolehkan mereka membentuk kerajaan.  Bagi kawan, faktor utama adalah matlamat untuk mengalahkan seorang sahaja itu mantan PM Najib yang penuh dengan skandal kewangan, keduanya adalah faktor Tun M sebagai ketua pembangkang.  Kedua-dua faktor ini menyebabkan BN kalah teruk dan hilang semua kepercayaan rakyat untuk menyokong mereka.

Bagi kawan, semasa menanda kertas undi (pangkah), boleh dikatakan pemilih tidak melihat siapa calon, tidak melihat kepada keturunan atau kaum dan tidak melihat kepada lambang apa yang dipakai tetapi turun mengundi untuk membuat pilihan supaya mantan PM Najib dijatuhkan. Bagi kawan, ini adalah cara yang paling baik dan gentleman kepada semua rakyat Malaysia untuk menamatkan tempoh kuasa pemimpin yang tidak disukai mereka.

Kepada yang menang, perubahan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja untuk menang lagi atau kalah selepas ini.  Buat kerja sehabis usaha dan jangan menipu.  Rakyat akan hukum pemimpin yang korup dan tidak telus.

Friday, May 4, 2018

Salah Perkiraan

Semasa hari pendaftaran kemasukan Iman ke program Foundation UTM minggu lepas (26 April 2018), kawan perhatikan bahawa kaum melayu yang berdaftar hanya dalam 30% sahaja.  Dari jumlah keseluruhan dalam kelas Iman, terdapat 49 orang pelajar dan sejumlah 10-13 orang adalah pelajar melayu, peratusan kurang lebih antara 20-25% sahaja. Hampir keseluruhan, 70% adalah pelajar kaum Cina dan India dan selebihnya dari warganegara asing yang turut sama dalam program ini.

Berdasarkan kepada peratusan jumlah pelajar, adakah perlu kita katakan bahawa minat pelajar, khasnya kaum melayu dalam bidang kejuruteraan semakin kurang? jawabnya tidak.  Adakah kelayakan pelajar melayu untuk mengikuti program ini tidak mencapai syarat kelayakan? jawabnya tidak.  Adakah pelajar melayu tidak melihat program ini sebagai program utama dalam pemilihan mereka? jawabnya tidak.  Adakah ibu bapa pelajar melayu sangat berkira-kira dengan sumber wang sehinggakan menunggu peluang lain yang memberikan imbuhan? jawabnya, mungkin ya. Tetapi yang menjanjikan imbuhan ini adalah yang lebih susah dan lebih banyak persaingan, akhirnya peluang kemasukan pada masa hadapan semakin sempit.

Ringkasnya, pelajar-pelajar melayu bertindak seperti syok sendiri;

1. Mengambil kira kelayakan yang minimum, mesti kalah bila yang memohon adalah orang lain yang mempunyai nilai merit yang maksimum.

2. Syok sendiri dengan kejayaan. Sedangkan ada lagi orang lain yang lebih berjaya dan mempunyai keputusan peperiksaan yang sangat-sangat cemerlang.

3. Persaingan mereka yang sangat-sangat cemerlang dalam merit dan kelayakan akademik menghalang mereka yang agak-agak cemerlang dan cemerlang.

4. Tempat yang sangat terhad, mereka yang sangat-sangat cemerlang pun tidak layak kerana ada lagi yang lebih cemerlang dari sangat-sangat cemerlang.

5. Kurang bertanya. Tidak mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan dengan sesuatu program pengajian sehinggakan gagal dan terpaksa mengikuti program yang tidak diminati.

6. Beberapa kesilapan lain yang kawan belum senaraikan ... cuma kawan harap pelajar melayu janganlah salah perkiraan dalam membuat keputusan.