Wednesday, April 23, 2014

Hanya PadaMu

Harapan agar perjalanan nanti dipermudahkanNya, diisi dengan kerahmatan dan redha Allah yang menentukan kita sebagai salah seorang yang terpilih untuk ke sana.  Besar harapan dan pastinya perjalanan yang penuh dengan keinsafan dan penyesalan atas setiap dosa yang dilakukan.

Ampunkanlah aku Ya Allah…sesungguhnya pelakuan dosa semalam sangat menyakitkan dan melekat dalam diri, tidak dapat dilupakan, penuh bersarang dalam fikiran dan masih terbayang di mata.  Setiap kali mata ku buka, setiap dari dosa akan menjelma.  Aku mohon Ya Allah, hapuskanlah igauan dosa dan khianat yang pernah aku lakukan itu, dan aku penuh sesal memohon kepadaMu Ya Allah…aku seorang yang hina dan berdosa.

Ya Allah, jadikanlah perjalanan ini suatu perjalanan yang sungguh tenang dan penghapus dosa.  Jadikanlah perjalanan ini suatu pengembaraan yang memberikan aku keampunan dan penuh rahmatMu.  Jadikanlah segalanya terang dan suci… jadikanlah setiap perlakuan dan dosa yang pernah ku lakukan dahulu sebagai ujian dan suatu tanda untuk aku meningkatkan keimanan kepada Mu Ya Allah.

Aku mohon kepadaMu Ya Allah, tuhan sekalian alam. Maha Pengasih dan Penyayang, Hanya engkaulah sahaja penerima taubat Ya Allah.

Sunday, April 20, 2014

Tegahan

Kawan, perlu lagikah kami menyatakan tegahan kepada keputusan yang akan dibuat?  Kenapa asyik bertanya walaupun kau tahu bahawa ianya tidak dapat memberikan apa-apa kesan kepada keputusan yang dibuat.  Tetapkan hati dan buatlah keputusan dengan bijak.  Bukan hanya mengikut kehendak dan nafsu sahaja tetapi carilah sebab dan matlamat dalam membuat keputusan tersebut.  Carilah tujuannya...

Kenapa perlu bertanya kepada orang lain.  Untuk mendapat pandangan? Untuk mendapat nasihat atau untuk mendapat kepuasan hati? Atau untuk menolak kesalahan kepada orang lain kerana menerima pandangan dan nasihat?. Kami bukan pakar tetapi kami telah berkali-kali menyatakan ianya bukan pilihan. Orang lain juga akan berkata…

1. Sudahkah kau berfikir seribu kali atau sejuta kali atau sehabis kali?
2. Perlukah keputusan itu diambil?
3. Apa tujuan keputusan itu diambil?
4. Ada mohon kepada Allah?
5. Serah kepada Allah?
6. Sudah habis berusaha?
7. Betulkah keputusan itu?
8. Salahkah keputusan itu?
9. Perlu sangatkah keputusan itu dibuat begitu?
10. Ulang semula soalan 1 hingga 10..seterusnya

Kami akan terus berkata dan mereka juga akan berkata, keputusan mu sebenarnya tidak tepat dan bukan keputusan yang adil kepada hidupmu.  Kau akan mencari banyak halangan dan permasalahan dikemudian hari.  Bukan kami mendoakan kejahatan dan keburukan kepada kehidupan tetapi pengalaman dan percaturan hidup manusia seadanya seperti itu kerana jalanmu adalah seperti itu.  Bukan luahan kecewa tetapi luahan kerisauan yang teramat sukar dinyatakan.


Bila kami cuba menolak dan menghalang…dikatakan kami pengkhianat, sedangkan halangan itu untuk kebaikan orang...salahkah begitu? 

Selamat Hari Lahir


Thursday, April 17, 2014

Yang Mana?

Dia yang melakukan kesalahan.  Dia juga yang mengaku membuat kesalahan.  Tetapi dia jugalah yang membuat laporan polis.  Alasannya kerana dia tak puashati dengan tindakan yang dikenakan ke atasnya.

Berfikiran cetek dan laporan polis dibuat berdasarkan kepada perasaan marah dan benci, tidak melihat kepada kesan yang akan terlampias ke atasnya nanti.

Kawan, kami menegur bukan kerana marah dan benci, tetapi kami sayangkan awak, untuk memudahkan kehidupan awak dan tidak mahu melihat awak susah dikemudian hari.  Nasihat telah diberi dan kesan yang awak lakukan kepada oragnisasi sangat berat.  Sebagai ketua, kami menegur dengan penuh hormat dan tidak pernah memaki, kami ingin melihat awak dan kawan-kawan awak tidak diheret ke penjara kerana sedikit habuan yang diterima.

Kalaulah teguran itu dianggap sebagai dendam dan benci, terpulang kepada awak untuk menilainya.  Andai betul kami mahu mengenakan tindakan, telah lama kami mengambil tindakan yang tidak menyenangkan awak.  Kami memikirkan masa depan dan keluarga awak yang ada, kami memikirkan nasib anak-anak awak yang ada.  Kemana ayah, kemana ibu mereka jika di penjara?.  Kami tidak akan membuat kakitangan kami begitu tetapi apa yang kami buat adalah sungguh adil, kami mampu untuk manasihat dan memohon awak dan kawan-kawan awak menjalankan tugas dengan baik dan memikul amanah Allah dengan bersungguh.

Kawan, jika itu yang awak putuskan, terserah kepada diri sendiri, awak yang mulakan dan kami serahkan sahaja kepada Nya, yang benar tetap akan muncul mengatasi kebatilan.  Sehingga penghujung jalan sekalipun, kami tidak pernah marah tetapi kami berharap awak akan berubah dan menyesali perbuatan itu.  Tanyalah hati dengan istikharah dan fikirlah yang mana busuk dan baik, yang mana elok dan cantik, yang mana boleh dan tidak, yang mana bukan dan kehendak, yang mana kanan dan kiri dan yang mana pahala dan dosa yang akan mengarahkan kita neraka dan syurga.

Tuesday, April 15, 2014

Menuding

Berkunjung mengiring YB EXCO Negeri Johor melawat kanak-kanak mangsa lemas loji kumbahan di Taman Universiti Skudai, Johor. Seorang kanak-kanak meninggal dan lima lagi masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pelbagai andaian dan cerita yang dapat didengar melalui perbualan pada petang ini.   Apapun, kecuaian pemandu van yang membiarkan kenderaan dalam suatu kedaan yang membahayakan kanak-kanak dan terjunam ke dalam loji kumbahan itu sepatutnya boleh dielakkan.  Namun demikian, itu juga adalah takdir yang ditentukan Allah.  Persoalan dan pertanyaan kepada siapa hendak diletakkan kesalahan akan timbul, mencari punca segala perkara yang terjadi.  Siapa dan bagaimana untuk menilai dengan adil dan menyatakan kecuaian pemandu sahaja adalah tidak berapa tepat dan menyeluruh.

Pada ketika inilah pelbagai pihak muncul untuk menuding jari dan menyatakan kesalahan kepada pihak lain, seolah mereka adalah pakar dan boleh berkata sesuka hati.  Seperti juga berlaku pada hari semalam, bas terjunam di kawasan genting highland dan mengorbankan tiga nyawa.  Laporan akhbar dan pelbagai pihak tiba-tiba menjadi juara dan menyalahkan pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini.  Mudahnya meletakkan kesalahan dan dosa kepada orang lain. 

Perkara yang sama masih berulang lakunya, seperti satu kewajipan untuk berlaku lagi pada tahun hadapan. Semua orang telah mengetahui dan telah mengeluh kesedihan kematian penumpang bas pada tahun-tahun yang lepas, tetapi sekali lagi perkara yang sama masih berlaku dan pastinya akan terus berlaku.  Dimana kesilapannya dalam perkara ini?  Meletakkan kesalahan kepada siapa pula?


Berkemungkinan kesalahan itu adalah sebenarnya kesalahan yang dilakukan oleh mereka, ya, betul ianya kesalahan, tetapi adakah pihak yang lain yang berkaitan dalam penguatkuasaan, pemantauan dan sebagainya juga sepatutnya dipertanggungjawabkan? Semua hendaklah bertanggungjawab dalam sesuatu perkara yang berlaku, agar kesalahan tidak ditanggung oleh sebelah pihak sahaja.

Tuesday, April 8, 2014

Audit Negara 2013

Membaca dan cuba memahami ulasan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013, satu laporan yang ringkas dan ulasan yang agak biasa bagi kita untuk memahaminya. Olahan kepada permasalahan dan cadangan penyelesaian adalah nampak mudah dilaksanakan tetapi hakikatnya, Jabatan Audit Negara (JAN) seharusnya meneliti sepenuhnya dan mengkaji semula jawapan atau maklum balas dari Kementerian atau Jabatan yang terlibat.

Ulasan penyelesaian yang dibuat secara am dan hanya meletakkan kesalahan kepada kekurangan pemantauan dan pelaksanaan di peringkat operasi / pelaksana.  Kebanyakan ulasan tidak menunjukkan satu bentuk penyelesaian secara keseluruhan, hanya meletakkan penyelesaian kepada masalah yang ada. Seharusnya, JAN lebih meneliti punca permasalahan yang berlaku di sesuatu tempat yang diauditnya, seperti juga dalam mencari permasalahan sebenar dalam masyarakat, sebagai contoh, masalah rempit yang berlaku di bandaraya Kuala Lumpur, adakah rempit menjadi masalah? Atau adakah remaja yang merempit menjadi masalah? Atau adakah tempat di bandaraya menjadi masalah rempit?.  Begitu juga dengan masalah banjir yang berlaku di sekitar pusat-pusat Bandar diseluruh negeri di Malaysia.  Apakah puncanya atau permasalahan utamanya? Adakah hujan yang terlalu lebat dan melebihi had semasa? Atau adakah sistem perparitan yang tidak sempurna, atau adakah sungai telah tidak dapat menampung jumlah air yang terlalu banyak?. 

Punca sebenar bukan kepada hujan atau sistem perparitan atau sungai yang tidak dapat menampung, tetapi punca kepada permasalahan banjir di pusat-pusat Bandar adalah kerana sikap masyakarat.  Sikap masyarakat yang berpunca daripada pembuangan sampah merata-rata dan menggunakan sungai atau parit sebagai tong besar untuk membuang sampah dan pelbagai sisa bahan buangan yang akan menyebabkan perparitan tersumbat dan sungai penuh dengan bahan buangan yang akan menyebabkan banjir berlaku di pusat-pusat Bandar.  Oleh itu, bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan, seharusnya dilihat kepada punca sebenar yang berlaku seperti contoh yang telah disebutkan tadi … punca banjir besar di bandaraya adalah kerana sikap masyarakat. (Contoh rempit dan banjir tiada dalam laporan audit 2013, hanyalah sekadar contoh sahaja)

Kembali kepada ulasan yang diutarakan dalam laporan audit negara 2013, pelbagai cadangan yang dikemukakan hanyalah menumpu kepada penyelesaian yang agak lemah dan tidak mencakupi semua perkara.  Hanya menyelesaikan sebahagian kecil masalah sedangkan punca sebenar yang menyebabkan berlakunya sesuatu perkara adalah tidak disentuh.  Sebagai contoh, dalam laporan audit ada menyatakan kelewatan pembinaan bangunan dibawah sesebuah Jabatan.  Persoalannya, adakah sesebuah Jabatan, contohnya Jabatan Pendidikan mahir dalam kerja mereka untuk merekabentuk dan membina sebuah bangunan? Atau adakah penglibatan jurutera JKR dalam pembinaan ini secara sepenuh masa atau sebahagian sahaja?  Atau adakah pemantauan juga dilakukan oleh cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah atau Instuitut Pengajian Tinggi kepada kesiapan bangunan?

Persoalannya, dimanakah letaknya keperluan kemahiran sebenar dalam perkara ini, adakah juga cikgu-cikgu akan dipersalahkah kerana tidak menjalankan tugas dengan baik kerana tidak memantau dengan betul pembinaan sesebuah bangunan sekolah?

Pada asasnya, penilaian dan cadangan kepada penyelesaian ini adalah seharusnya kepada punca sebenar yang berlaku, bukan kepada permasalahan yang nampak sahaja tetapi masalah disebalik semua masalah yang berlaku.


Masih Sama

Telah sebulan berlalu dan pesawat MH370 masih belum ditemui.  Usaha kerajaan dalam meneruskan pencarian tidak pernah terhenti, malah kehadiran dan kerjasama beberapa negara dalam menyelesaikan kesulitan ini sangat membanggakan.  Selagi ada masa, selama itulah usaha mencari diteruskan.

Pada minggu pertama kejadian, pelbagai pihak hadir dengan pelbagai spekulasi dan maklumat yang diolah dalam pelbagai bentuk.  Maklumat yang ada, sebahagian kecilnya boleh dipercayai dan banyak juga yang sukar untuk diterima akal.  Pelbagai jenis bentuk bantuan juga diperolehi daripada pelbagai manusia yang cuba membantu.  Dan pastiya apa yang paling dan akan diingati selalu adalah “Bomoh Doremi” yang sedikit sebanyak dapat mencuit hati kerana kaedah yang digunakan oleh mereka untuk membantu mencari MH370 menggunakan tikar, teropong, bubu, buah kelapa dan labu sayong.  Kisah yang  seakan-akan serupa dengan filem yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lebih 50 tahun lalu.

Kepelbagaian maklumat dan informasi yang diperolehi ini dimuat turun dalam kebanyakan blog dan media sosial lain, menjadi satu bentuk maklumat yang kucar kacir dan tidak menentu.  Siapakah yang lebih mengetahui dan lebih mempunyai maklumat dalam menghuraikan perkara ini?.  Ini adalah kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengolah maklumat dengan pengetahun yang dicampur aduk dengan teori yang tidak masuk akal.  Seterusnya akan menggambarkan bahawa mereka itu nampak seperti “bodoh”

Tidak ketinggalan juga, bacaan doa dan surah AlFatihan sentiasa berkumandang di corong radio dan televisyen disiarkan sepanjang sebulan lepas bagi mendoakan keselamatan pesawat MH370. Nampaknya, kepelbagaian usaha dari kepelbagaian kaedah dan kepelbagaian usaha manusia digabungkan mencari MH370.  Usaha yang sepatutnya dipuji kepada mereka yang terlibat.

Hanya dan cuma satu sahaja… Allah masih belum mengizinkan penemuan tersebut.  Ini pastinya ada sebab dan kemungkinan-kemungkinan lain yang belum kita (sebagai hambanya) berfikir.  Kenapakah Allah masih belum menunjukkan arah yang sebenar dalam pencarian ini?  Kenapakah tempoh masa (bagi kita semua) terlalu lama?.  Berfikirlah, apakah alasan Allah membiarkan semua dalam keadaan begini? 

Sunday, April 6, 2014

Jika itu Jalanmu

Keputusan yang dibuatnya adalah satu jalan yang terpaksa diambil untuk mengurangkan ketegangan dan kekeliruan dalam kehidupan, walaupun keputusan itu merubah seluruh corak kehidupannya tetapi ianya satu keputusan yang dapat memberikan dirinya kepuasan yang tidak ternilai harganya.

Itulah juga pengorbanan yang terpaksa dibuat olehnya kerana dia ingin mendapatkan sesuatu yang lebih baik.  Walaupun kehilangan tetapi setiap pengorbanan pasti ada balasan yang sangat setimpal, kerana Allah akan memberikan kepada hambanya dengan penuh adil.

Kawan, usahlah kau bimbang dan resah dengan takdir Allah, kerana setiap bentuk pemberian dan kehilangan ini adalah kehendak Allah.  Teruskan berdoa dan memohon kepadaNya.  Setiap perkara yang berlaku adalah pengajaran kepada kita semua.  Allah menguji mu dengan perkara itu, buatlah keputusan dengan penuh iman dan memilih dengan penuh bijak dan lakukanlah solat untuk memohon petunjuk kepada perkara itu.

Pastinya manusia tidak dapat menunaikan permintaanmu kecuali Allah. Dia Maha Kaya dan Maha Segalanya…mohonlah apa sahaja, InsyaAllah Dia akan berikan kepadamu.

Terima Kasih

Alhamdulillah, semuanya telah selesai dan ianya merupakan satu perkara yang sangat menarik.  Membuka peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas dengan amanah dan membantu satu sama lain.

Semestinya setiap perkara ada kesalahan dan kesilapan, namun kekurangan ditutup oleh kejayaannya yang ada.  Bukan mudah mendapat apa yang dirancang, ianya penuh dengan liku dan cabaran yang sungguh getir dan panjang, perjuangan dan usaha yang tidak pernah putus serta didepan dengan doa, insyaAllah semuanya telah berjaya dan menjadi pujian.

Percayalah wahai kawan-kawan semua, Allah telah makbulkan doa semua orang yang mahukan perkara ini berjalan dengan lancar

Untuk semua, khidmat dan khudrat kalian sangat dihargai dan ianya tidak dapat dibalas dengan hanya memberikan pujian atau upah yang secukupnya.  Khidmat dan penat lelah kalian tidak terbalas oleh harta dunia.  Hanya Allah sahajalah yang mempunyai balasan yang adil kepada budi yang diberikan.

Terima kasih semua… 
KSP... 05 April 2014 


Saturday, April 5, 2014

Begitulah Dia MSAR

Dia tidak pernah berkira untuk memberikan bantuan, malah sentiasa memberikan bantuan kepada siapa sahaja yang memerlukan.  Dia tidak pernah untuk mengungkit semula setiap pemberian yang dibuatnya. Dia sememangnya ikhlas membantu dan tiada sedikitpun kepentingan disebalik semuanya.

Dia melakukan setiap kerja dengan penuh tenaga dan memberikan khidmat sepenuhnya tanpa menyatakan kepenatan dan kesusahan.  Dia akan melunaskan segalanya dengan baik dan memastikan semuanya dilaksanakan dengan baik.  Dalam melakukan kerja, dia melihat kepada kepentingan dan matlamat yang ingin dicapai, bukan hanya melihat sebagai satu kerja sahaja, malah melihat sebagai kerja yang memerlukan pencapaian matlamat sesuatu organisasi.

Begitulah dia, seorang kawan yang tidak perlu untuk meminta bantuannya tetapi dia sentiasa ada untuk membantu. Engkau seorang yang sangat ikhlas membantu dan menolong sesiapa sahaja, walaupun dirimu dalam kesukaran dan kesusahan, namun tidak pernah engkau mengadu kepayahan apabila membantu orang lain.

Begitulah dirimu wahai kawan MSAR… Terima Kasih.

Thursday, April 3, 2014

Amboi...

Aku yang buat, dia yang cedok dan jadi hakmiliknya.  

Gebang depan orang ramai dan tanpa segan silu menyatakan…itu adalah miliknya.  Satu sen dia tak sebut atau nak ucapkan terima kasih atas apa yang dicedoknya. 

Dasar manusia yang suka mementingkan diri dan cara yang terbaik bagi dirinya adalah dengan memijak orang lain.  Semoga Allah memberikan pedoman dan ingatan kepada beliau kerana jika begitulah cara dan perbuatannya, maka betapa dia sepatutnya insaf dan menilai diri.

Dia..persis


Cara dia berkata-kata, seolah-olah tiada siapa yang lebih baik darinya.  Sikapnya begitu sombong dan meninggi diri, memandang orang lain dengan sebalah mata.  Hanya pandangan dan ucapan dia sahajalah yang baik dan boleh diterima.

Perlakuan dan perbuatannya juga menunjukkan dia tidak menghiraukan sesiapa, suka melabelkan orang lain dan berprasangka tidak baik.  Apa yang dilakukan orang lain adalah salah semuanya.  Dia bertanya sekadar untuk orang lain bersetuju dengan pandangannya.

Caranya juga menjengkelkan dan sesiapa yang memandang akan meluat dan menyampah.  Dia juga seolah-olah sombong dengan Allah.  Kerana apa? Kerana dia tidak pernah untuk menurut perintah Allah. 

Ingatlah wahai yang berkuasa, hidupmu seketika sahaja didunia, kekayaanmu hanya sementara dan ianya adalah ujian Allah.  Kehidupanmu juga pinjaman di atas dunia, semua milikmu adalah Allah yang punya.  Engkau hanya seorang hamba yang hina dan dhaif, penuh dengan kotoran dan jijik. 

Bertaubatlah wahai yang empunya kuasa…kuasamu bukan kekal selamanya, ianya dusta semata-mata.  Bertaubatlah sementara nyawa didalam jiwa, bertaubatlah kerana ajal tidak mengenal siapa. Bertaubatlah.



Tuesday, April 1, 2014

Menyakitkan

Dia sememangnya begitu, ada masa dia bersikap sombong dan sangat menyakitkan hati. Ada masanya nada suara begitu keras dan meninggi, menyindir dan menyalahkan sesuatu perkara sedangkan kemarahan dan sindiran tidak perlu diluahkan kerana ianya sangat menyakitkan. Ada masanya dia sengaja menyuruh dan meminta untuk perbuat apa sahaja yang tidak mungkin selama ini tidak disuruh atau dimintanya.

Sungguh menyakitkan dan memberikan tekanan, hingga membuatkan kita terpaksa menjaga tatakelakuan dan tuturkata bagi tidak menimbulkan ketegangan dek kerana sikapnya yang sedemikian. Sungguh menyakitkan kerana dia dipertanggungjawabkan sebagai hamba Allah yang telah tahu batas dan nilai agama yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.  Dosa dan pahala ke atasnya adalah berhubungan dengan orang lain kerana sebahagian besar kewajipan dan pelakuan menunaikan tanggungjawab adalah milik dia.

Sungguh kau berdosa, jika itulah perbuatan mu...

Ujian

Adakah bebanan dan berat yang dirasakan dalam jiwa ini merupakan ujian Allah? Ujian yang sering datang benar-benar menguji akal dan kecekalan diri.  Penuh dengan muslihat dan teka teki yang terlampau payah.

Kadang kala tangan ini menggigil kerana kemarahan dan sakitnya dada memendam rasa. Ada juga masanya, diri ini penuh dengan kebencian dan perasaan yang mendorong kepada sifat yang tidak baik. Marah, benci, sedih, pilu, hampa, geram dan pelbagai lagi olahan yang boleh diberikan.

Barangkali inilah ujian untuk menguji kesabaran, Alhamdulillah.  Aku sanggup menempuh lebih banyak ujian ini, sekiranya inilah peluang untuk aku diuji dengan kesabaran dan kesakitan kerana mu Allah.  Jika inilah kafarah kepada diriku kerana dosa-dosa yang lalu, maka, aku mohon...ampunkanlah setiap dari dosaku Ya Allah. Aku hamba yang sangat lemah dan tidak mampu melakukan apa-apa, selain mendapat belas kasih sayangMu Ya Allah.

Sukar

Semalam, selesai membuat pembentangan untuk penganjuran program peringkat kebangsaan, yang akan disempurnakan perasmiannya oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia.  Satu program yang menyeluruh melibatkan semua negeri.  Sebagai tuan rumah dan tidak dapat tidak aku sebagai urus setia utama terpaksa merancang pelbagai perkara untuk menjayakannya.

Pembentangan proposal dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat dengan sedikit perubahan.  Esok dan lusa akan menyampaikan taklimat kepada KSU dan YB Menteri untuk progress akhir berkenaan dengan program tersebut.  Semua kerja yang disusun merupakan suatu perkara yang sangat sukar kerana memerlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak. 

Penyusunan gerak kerja secara keseluruhan mestilah dilihat dari ruang lingkup yang lebih makro dan pemerhatian secara mikro kepada perkara yang memerlukan pelaksanaan dan perincian mendalam. Kedua-dua pilihan ini perlu dilaksanakan secara berperingkat dan tersusun agar mencapai hasil yang baik dan tiada silap.  Apapun, doa kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan sentiasa berada dihadapan kepada setiap perkara.


… Ya Allah, permudahkanlah segala urusan ku sepanjang jalan ini, berilah keberkatan atas usaha-usaha dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dan mereka yang memberi bantuan.  Aamiinnn.