Tuesday, January 7, 2014

Peraturan dan Rotan

"Abah, tadi cikgu rotan Yad sebab tak bawak borang tu" cerita anak kedua aku sebaik sahaja aku melangkah masuk ke rumah.

Dia kena rotan kat tapak tangan. Sakit katanya, aku juga sakit, sakit hati sebab cikgu menggunakan rotan untuk memberi hukuman yang tidak sepatutnya dilaksanakan kerana, borang yang berkaitan dengan maklumat pelajar tersebut sepatutnya diserahkan dalam minggu ini, masih ada beberapa hari lagi untuk ibu bapa menyiapkan borang tersebut, kerana ianya memerlukan dokumen sokongan lain yang perlu disediakan oleh ibu bapa.



Ada juga ibu bapa pelajar yang outstation sejak dari minggu lepas dan aku percaya bahawa borang itu tidak akan dapat disiapkan dalam minggu ini. 

Apakah sebab-sebab yang logik dan boleh dipertimbangkan oleh pihak guru untuk tidak menggunakan rotan sebagai hukuman?  Tindakan yang dilaksanakan oleh guru ini hanyalah untuk menakutkan pelajar sahaja, bukan bertujuan untuk mendidik, kerana mendidik memerlukan kasih sayang dan kasihan kepada anak-anak murid.

Guru atau cikgu perlu pertimbangkan alasan yang dikemukakan oleh setiap murid, kerana setiap murid adalah berbeza dan mempunyai latar belakang keluarga yang berlainan. Ada murid yang miskin, susah, tiada ibu dan bapa serta kesusahan lain yang tidak dapat dilihat oleh guru di sekolah. Guru telah dibekalkan dengan pengetahuan yang tinggi dan seharusnya mampu menilai murid-muridnya.

Rotan boleh digunakan terhadap murid yang melakukan kesalahan serius, iaitu kesalahan yang memerlukan kepada hukuman yang bersesuaian yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau guru berkenaan.

Berkemungkinan juga hukuman rotan kepada kesalahan tidak membawa borang maklumat yang diperlukan oleh pihak sekolah juga boleh dikira sebagai kesalahan serius? Atau boleh juga dipertimbangkan untuk dikenakan hukuman rotan kepada guru yang tidak faham tentang peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah seperti merotan pelajar yang tidak menghantar borang yang sepatutnya diserahkan dalam masa seminggu, tetapi guru meminta diserahkan dalam masa sehari.






No comments: