Wednesday, March 26, 2014

Bertandang Lagi

Ada orang kata, kita akan lupakan kesedihan dalam masa 100 hari, ada juga yang berkata dalam masa setahun (365 hari) dan sesetengahnya dalam masa sebulan (30 hari).  Kenyataan tersebut adalah berdasarkan kepada pengalaman dan penerimaan setiap individu yang tidak sama dan akan memberikan pendapat yang berbeza.  Bergantung juga kepada tahap kesukaran yang dialami.

Kesedihan dan kesukaran untuk menerima kenyataan kepada kehilangan mangsa MH370 kepada keluarga barangkali akan berterusan dan mungkin akan hilang semuanya dalam masa 100 hari. Selagi adanya usaha yang dibuat untuk mencari sisa-sisa pesawat, selama itulah kenangan akan kekal dan kembali semula apabila sesuatu perkara disebut walaupun untuk puluhan tahun lagi.

Untuk melupakan sesuatu perkara yang menjadi titik hitam dalam hidup kita adalah terlalu sukar dan tidak semudah yang diucapkan.  "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul". Semalam, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah, kenangan lama tiba-tiba menjelma di mata.  Wajahnya kembali difikiran dan aku sangat merinduinya, secara tidak sengaja dan tanpa aku tahu, air mata ini mengalir dipipi.  Rindu tetap ada walau selama mana dia pergi. Aku sangat merinduinya.

Kadangkala mimpi yang hadir pada malam hari, memberi peluang kepada aku untuk bertemu dengannya…berbual dan akhirnya aku masih lagi tidak sanggup melepaskannya pergi, sehingga aku menangis dan terjaga dari tidur.  Rupanya masih ada igauan dan kotak fikiran masih menyimpan kenangan yang tidak mungkin akan terpadam dengan sendiri. Walaupun mustahil untuk bertemu lagi kerana kita berada disempadan daerah yang sangat berbeza, tetapi ingatan dan kenangan ini masih ada. Dari jauh, aku kirimkan doa untukmu agar dirimu berada dalam rahmatNya. 

Aku sungguh merinduimu Ayah…

Tuesday, March 25, 2014

Allah Telah Tunjukkan & Sabarlah

Laporan sidang media pada malam tadi (24 Mac 2014 Jam 10 Malam) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, menyatakan bahawa MH370 telah dikesan dan laluan akhir adalah di pertengahan lautan Hindi.

Allah telah tunjukkan jalan kepada khudrat manusia yang mencari.  Allah juga telah makbulkan doa mereka yang berdoa selama ini.  Allah telah turunkan ujianNya kepada mereka yang berfikir dan mengambil pedoman.  Allah menguji setiap diri dari kita.  Allah telah tentukan semuanya dengan cara yang demikian. Usahlah dipertikaikan apa yang berlaku tetapi jadikan pedoman dan teladan kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Untuk saudara sesama Islam dalam pesawat MH370, aku mendoakan kalian semuanya di bawah rahmayNya.  Andainya takdir hidup dan mati begini, kepada sesiapapun, maka terimalah keadaannya dengan seadanya.  Kepada keluarga mangsa, tabahlah kerana Allah berikan ujian kesabaran kepada semua. Balasan sabar adalah syurga.

Ya Rabb, aku ingin menjadi orang yang sabar dalam setiap perkara.  Tunjukkanlah jalan kesabaran kepada diri ini. Aamiiinnn...

Sunday, March 23, 2014

Apalah Sangat

Apalah sangat untuk kita menyebut nama Allah berbanding nikmat dan kehidupan yang diberikanNya selama ini.  Apalah sangat untuk kita tidak membuat kejahatan berbanding kebaikan yang diberikanNya selama ini, dan apalah sangat untuk kita selalu mengingatiNya dipertengahan malam berbanding cahaya dan pedoman yang diberikanNya selama ini, tanpa had dan batas.

Apalah kiranya dalam hidup ini kita, luangkan sedikit waktu untuk mengenal Dia, mencintai Dia dan menyerahkan segalanya kepada Dia.  Apalah kiranya untuk kita jika tanpa Dia.  Apalah sangat untuk kita berkira-kira, siapa yang empunya dan milik siapa kiranya semuanya adalah Dia yang punya.  Apalah sangat untuk kita ada didunia sekiranya Pencipta tidak menciptakan kita.

Apalah sangat..

Friday, March 21, 2014

Salah

Allah tidak makbulkan doa…

Salah!!!. Allah sentiasa menerima dan memakbulkan doa hambaNya.  Mereka yang berkata begitu hanyalah mereka yang tidak sabar dan menganggap bahawa doa mereka akan diterima dan dimakbulkan dalam sekelip mata.

Sedarkah mereka bahawa, Allah memberikan masa kepada hambaNya untuk patuh dan menuruti semua perintahNya.  Allah menyuruh hambaNya sentiasa beramal soleh dan meninggalkan kemungkaran.  Apa yang manusia lakukan adalah sentiasa melambat-lambatkan perintah Allah untuk melaksanakannya.  Melambat-lambatkan sehingga memakan masa hampir habis usia dan ada kalanya meninggalkan terus suruhan, tidak sesekali mentaati dan menunaikan perintah Allah.

Manusia leka dengan kenikmatan dan sengaja melambat-lambatkan semua perkara.  Jadi, bagaimana Allah untuk menerima doa dan memakbulkan doa mereka ini?.  Kalau antara manusia, kita boleh menidakkan permohonan mereka yang tidak baik dengan kita dan tidak pernah melaksanakan arahan kita, inikan pula dengan Allah yang Maha Berkuasa dan mempunyai apa sahaja. Namun begitu, Allah tidak seperti manusia, Allah memberikan jua kepada siap sahaja yang meminta.


Duhai mereka yang berkata…insaflah diri dan kembalilah bertaubat.  Allah sentiasa bersama kita pada setiap masa dan ketika.  Allah tidak pernah meninggalkan kita walau dimana kita berada pada setiap masa.  Cuma, kita yang sentiasa lupa dan leka.

Wednesday, March 19, 2014

A dan B


Semalam, sewaktu duduk menunggu giliran untuk pembaharuan passport di Jabatan Imigresen Johor Bahru, aku terdengar dengan jelas perbualan dua orang kawan yang duduk di belakang aku dengan dialognya (seadanya) seperti berikut:

A: Kenapa dengan dia?
B: Mana aku tahu…
A: kau tak tahu?
B: Tak, aku tak tahu…
A: Habis, siapa budak tu?
B: Aku pun tak kenal, tapi aku rasa itulah orang yang boleh bagi komitmen…
A: Hahahaha…komitmen?, komitmen apa?
B: Alaa..komitmen..komitmen kat dialah..macam akujanji..
A: Oooo…patutla..
B: Patut apa?
A: Ye lah..memang patut dia pilih budak tu..
B: Memang pun…
A: habis, kau OK ke?
B: Apa kaitan aku dengan OK?, aku sihat je…Alhamdulillah
A: Ye laa..kau OK ke sebab dia dah pilih orang tu?
B: Aku OK je..takde apa-apa problem la
A: Ye ke kau OK?...aku tengok dah macam ayam berak kapur je..hahaha
B: Aku OK…
A: Kawan, aku tahu kau tak OK..sabar ajelah kawan…dia tak ikhlas dengan kau,
B: (Diam)
A: aku dah lama tengok.
B: Ye ke?...kenapa, apa yang kau tengok?
A: Aku tengok dia ni jenis yang mencari…selagi tak dapat, selagi tulah dia mencari..
B: Ye ke?..aku tengok tak macamtu pun..
A: Kawan, sebab apa dia tinggalkan kau?....kau tak payah jawab, biar aku yang jawab.
B: Haa..sebab apa?
A: Sebabnya…dia dah ada orang lain. Itulah sebab dia tinggalkan kau. Bodohnya kau ni…
B: (Diam dan terasa dirinya tertipu)
B: Tapi…kau tak tahu citer sebenar…
A: Citer apa plak ni…dah la tu, jom makan!!..kesian kau, takpe, aku belanja…jom!!.

Sekadar untuk renungan dan cuba memikirkan apa yang berlaku kepada B sebenarnya.  Seakan tahu kisahnya…wallahuallam

Saturday, March 15, 2014

Ruyung & Sagu

Membuat perbandingan antara dua perkara bukannya terlalu payah, dan hanya kadang-kadang ianya menjadi sukar kerana melibatkan perkara lain yang mempengaruhi.  Sebagai contoh, perbandingan dalam menilai sepohon pokok yang tinggi dengan rumput yang menutupi tanah, boleh dilihat kepada beberapa perkara. 

Pohon yang tinggi seharusnya mempunyai banyak rintangan dan kepayahan untuk mengukuhkan dirinya agar terus ampuh dan kuat.  Pohon tidak akan tumbang dek kerana angin lalu, melainkan ribut taufan melanda, yang memerlukan satu kuasa yang sungguh kuat untuk mengangkat sepohon kayu yang utuh. 
Pohon juga tidak mati kekeringan kerana kemarau panjang kerana akar pohon terus menikam tanah hingga ke punca air dibawahnya.  Sesungguhnya pohon yang teguh berdiri mampu mengharungi apa jua kesusahan dan kepayahan yang datang.

Bagaimana pula dengan nasib si rumput yang berdiri cuma dipermukaan tanah dan tidak pernah cuba untuk meninggi melebihi pohon yang tinggi.  Pastinya rumput tidak pernah merasai ribut taufan dan angin yang datang.  Pastinya rumput tidak pernah risau akan perkara tersebut, kerana taufan yang melanda hanyalah kepada pohon besar dan kuat.  Rumput tetap teguh tunduk dan memenuhi permukaan sahaja.  Maka tiada cabaran dan kesusahan kepada rumput. 

Namun begitu, keringlah rumput dan matilah ia kerana kemarau panjang.  Akar rumput terlalu pendek dan tidak tercapai terus ke punca air tanah.  Apa yang mampu hanyalah menghirup air dipermukaan sahaja.  Rumput akan kering dan mati dalam suasana itu.  Kesusahan rumput bukan seperti kepayahan pohon yang tinggi, kerana hidup rumput hanyalah dibawah dan tidak pernah memikirkan kepada kesusahan, kerana semuanya mudah bagi rumput. Rumput juga sanggup membiarkan dirinya dipijak untuk terus hidup.


Kita semuanya berbeza, yang pandai memilih jalan dengan baik akan terus berjaya dan yang terkandas akan terus terjunam sekiranya masih memikirkan jalan mudah.  Bukan senang hendakkan kekayaan dan kejayaan, dan bukan susah kalau hendakkan kegagalan.  Cerminlah diri kerana “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”

Thursday, March 13, 2014

Selamat Tinggal Kawan


"Yang Patah Akan Tumbuh, Yang Hilang Akan Berganti".  Begitulah ungkapan dan putaran hidup kita seadanya. 

Kita semua akan merasai kehilangan dalam hidup ini...kehilangan kawan, sahabat, rakan, suami, isteri, ayah, ibu dan sebagainya yang harus dilalui. Namun demikian, kehilangan juga akan menjamin adanya pertemuan.  Sekiranya pertemuan terhenti di dunia ini, maka di akhirat tempat berkumpulnya kita semua.

Yang hilang tidak sama seperti yang diganti dan yang tumbuh tidak serupa yang patah. Yang  datang dan pergi mengikut ketentuan Allah untuk menyatakan ada dan tiada dalam kehidupan ini.  Ada masanya kita di bawah, dan ada ketikanya mereka pula di atas, ibarat sebuah roda yang berputar.  Putaran roda yang tidak akan berhenti dan di dalamnya penuh dengan cerita.  Ada yang sakit menanggung derita, yang sihat ketawa. Ada juga yang hampa dan tidak ramai juga yang masih gembira menikmati masa. Masing-masing dengan bahagian masing-masing, perkiraan nasib dan takdir hanya dari Allah.

Untukmu kawan...selama tiga tahun aku mengenali mu, halalkan segala makan minum dan maafkan segala ketelanjuran antara kita, aku doakan kau beroleh kejayaan ditempat baru dengan semangat dan pengalaman baru.  Khidmat mu sangat diperlukan di sana. 

InsyaAllah. Selamat Tinggal Kawan...

Wednesday, March 12, 2014

MH370 (1)

Sehingga ke hari ini, tiada apa-apa kemungkinan pesawat MH370 untuk ditemui.  Perbatuan nautika diseluruh kawasan sehingga lebih ribuan batu telah dicari dan diterokai oleh badan-badan penguatkuasa dan agensi kerajaan, malah bantuan dari luar juga turut terlibat.  Operasi mencari tiada penamatnya.

Jika beginilaj keadaannya dan masih berterusan, kita seharusnya kembali kepada fitrah manusia dijadikan pencipta, kita kembalilah kepada Allah untuk mengadu hal. Allah telah menentukan sesuatu perkara untuk berlaku.  Ada atau Tiada adalah kehendakNya.  Berdoalah kita semua agar pesawat MH370 dijumpai semula dengan keselamatan penumpang didalamnya.

Allah sahajalah yang dapat menunaikan permintaan kita dan memberikan apa sahaja.  Peralatan canggih dan teknologi tinggi yang disertai dengan kelengkapan terkini hanyalah ciptaan manusia yang tidak langsung dapat menandingi ciptaan Allah.  Radar yang dimiliki manusia tidak mencapai radar Allah yang melengkapi semuanya. Ciptaan Allah lebih hebat dan tiada bandingan walaupun penciptaan bagi seekor nyamuk sekalipun, manusia pasti tidak dapat menciptakannya.

Ya Allah, Yang Maha Pencipta dan Maha Kaya...yang Maha Pengasih dan Penyayang...ampunilah dosa-dosa kami dan perkenankanlah doa-doa kami ini Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang sebenar dalam meleraikan kekusutan ini Ya Allah.  Permudahkanlah segala urusan kami dan mereka yang bertungkus lumus dalam pekerjaan mereka itu Ya Allah. Hanya padaMu kami semua berserah dan memohon Ya Allah...Tuhan yang menguasai segala sesuatu tanpa batas, Tuhan yang menguasai segala alam, Tuhan yang menguasai segala ciptaan..Tuhan yang menguasai segalanya yang tidak tercapai akal... 

Ya Rabb...perkenankanlah doa kami Ya Allah.

Tuesday, March 11, 2014

Kering (1)

Sepanjang perjalanan pulang dari Putrajaya menuju ke Johor Bahru, cuaca diluar agak panas dan berjerebu.  Jarak pandangan mata juga semakin terhad dan bau asap kesan pembakaran hutan dapat dirasakan.

Hampir keseluruhan warna hijau rumput telah bertukar keperangan.  Pandangan ini boleh dilihat disemua tempat / kawasan yang mengalami kemarau dan panas ini.  Pokok-pokok yang dulunya lebat menghijau, kini telah keguguran daun dan yang tinggal hanya ranting-ranting yang semakin mengering. Rumput-rumput kering disepanjang lebuhraya ini ada kesan terbakar dan api masih menyala boleh dilihat dibeberapa kawasan. Berkemungkinan juga, ada kebakaran hutan berlaku dan kebun-kebun sawit yang dilaporkan sepanjang bulan ini. 

Suasana kering dan berterusan kekeringan dirasakan oleh semua makhluk Allah, dan Allah sedang menguji kita dengan nikmat panas ini.  Betapa kepanasan bukan sahaja membuka mata dan minda kita untuk akur dengan kehendak Allah, tetapi juga untuk kita insafi dan membantu mereka yang sangat memerlukan.  

Teramatlah sedikit kepanasan yang didatangi ini berbanding dengan kepanasan api neraka yang disediakan di akhirat kelak.  Tidak terbayangkan kepanasan dan azab yang akan dilalui nanti. 


Bertaubatlah sementara nyawa dikandung badan.

Monday, March 10, 2014

Pencuri dan Pembohong

Jika berlaku kecurian, pastinya pencuri yang akan dipersalahkan, kerana namanya adalah pencuri dan sifat serta perlakuan menepati perbuatan mencuri tersebut.  Jadi, tanggapan awal adalah kepada pencuri.

Jika pembohongan berlaku, maka pembohonglah akan dicari terlebih dahulu kerana bertepatan dengan sifatnya yang berbohong.  Jadi, begitu jugalah tanggapan awal kepada pembohong.

Begitulah penilaian manusia yang dipengaruhi dengan perkara yang "menyerupai" dan perkara yang "sama" atau perkara yang memudahkan mereka meletakkan kesalahan kerana ianya ada kaitan.  Kerana juga manusia mahu mendapat jawapan yang mudah dan cepat, menolak kemungkinan lain yang tidak terlintas difikiran mereka.  Maka pencuri dikaitkan dengan mencuri dan pembohong dikaitkan dengan bohong.  Begitulah sifat manusia yang begitu mudah meletakkan label kepada seseorang.

Sememangnya pencuri dan pembohong sepatutnya dianggap sedemikian, namun sememangnya juga kita sebagai manusia menerima kemungkinan-kemungkinan lain disebalik curi dan bohong yang dikatakan itu.  Bukan terus dan cepat meletakkan tanda sedemikian kepada mereka, sekurang-kurangnya dengarlah segala alasan dan berkemungkinan juga rintihan daripada pencuri atau pembohong tersebut.

Sebagai contoh dan teladan, seorang yang mencuri sebuku roti atau susu untuk diberikan kepada anaknya yang kelaparan.  Sebetulnya perbuatan sedemikian adalah salah dan sepatutnya dihukum.  Tetapi adakah penilaian manusia hanya menilai perbuatan yang tidak bermoral itu sebagai satu sebab untuk menjatuhkan hukuman?  Atau manusia boleh berfikir untuk meletakkan nilai dalam perkara tersebut dengan menjelaskan situasi dan mengambil kira persekitaran dan kehidupan si anak kecil yang kelaparan. Mengapa hukuman diteruskan tanpa menilai sesuatu kejadian?  adilkah begitu? Barangkali manusia tidak mahu menerima alasan dan sengaja meletakkan kesalahan hanya pada penilaian kesalahan sahaja.

Dan sebenarnya, jika beginilah penyudah bagi hukuman dan keadilan kepada pencuri atau pembohong, maka cerita sebenar pencuri dan pembohong tidak akan diketahui dan menganggapnya seperti satu cerita biasa dan tidak boleh diterima pakai untuk meredakan hukuman.  Pencuri dan pembohong akan meletakkan nilai mereka kepada hukuman dan manusia yang mengadili sebagai pekak dan buta.  Pencuri dan pembohong percaya bahawa dirinya perlu berterusan untuk mencuri dan berbohong dalam kehidupannya kerana manusia yang mengadili juga penuh dengan kepura-puraan dan sentiasa berbohong dalam tindakannya, malah berjangkit kepada kehidupan, pergaulan dan percakapan.

Sunday, March 9, 2014

Apa Yang Kau Cari

Tak usahlah mencari kesalahan.  Kalau kesalahan yang dicari, kesalahanlah yang akan ditemui.  Jika mencari kebaikan, maka kebaikanlah yang akan ditemui.  

Sesetengah perkara, ianya bukanlah sangat menjadi kesalahan kepada kita kerana dianggap seperti biasa sahaja dan tidak memberikan kesan kepada orang lain (pada fikiran kita) tetapi berlainan pula dengan pandangan dan anggapan orang lain kepada perkara yang berlaku, malah boleh menyebabkan mereka 'terasa' dan berkemungkinan juga memudharatkan semua pihak.


aku pun tak faham..kadang-kadang kenalah kata "sendiri mau ingat..."

Saturday, March 8, 2014

MH370

Hari ini..8 Mac 2014, keseluruhan akhbar dan media komunikasi melaporkan kehilangan pesawat MAS Airline MH370 (penerbangan KLIA menuju ke Beijing dengan 227 penumpang). 

Aku berharap semuanya akan selamat...dan kepada umat Islam yang berada dalam pesawat...semoga Allah memberikan perlindungan dan mendapat RahmatNya.


Allah yang menentukan semuanya untuk terjadi.  Berdoalah dan mohon kepadaNya, kerana Dia lah yang akan memberi...bukannya makhluk.



Tuesday, March 4, 2014

Apai

Apai, nama seorang remaja yang begitu lurus dan jujur dalam hidupnya. Tidak mudah untuk bertemu dengan seorang yang mempunyai sifat-sifat mulia begini, melainkan mereka yang dianugerahkan Allah dengan sifat-sifat sedemikian dan kelebihan lain serta keistimewaan yang tersendiri. 

Apai, seorang yang sangat istimewa kerana beliau seorang OKU (Orang Kurang Upaya) mental.  Kekurangan yang dimiliki Apai memberikan dirinya kelebihan yang sangat luar biasa yang tidak dipunyai oleh manusia lain. 


Pada penilaian mata kasar kita, Apai tidak punya dosa,  dan layak untuknya Syurga kerana Apai tidak dipertanggungjawabkan untuk menanggung dosa. 


Kenapa Apai tidak berdosa?...bukannya Apai tidak berdosa tetapi Allah memberikan Apai keistimewaan untuk tidak dipertanggungkan dosa selama mana Apai sedemikian.  Kerana Apai sungguh istimewa. Apai yang begini adalah bunga syurga dan menikmati kehidupan bukannya didunia ini tetapi di akhirat nanti.

Betapa seronoknya menjadi seseorang seperti Apai, tidak punya dosa dan mempunyai kehidupan yang sederhana. Kekurangan Apai bukanlah bebanan kepada dirinya tetapi nikmat yang berlipat ganda untuk bekalan.


Apai, andainya kita bertemu di tanah mahsyar, kau tegurlah diri ini dan peganglah tangan ini, bawalah diri ini bersamamu menuju syurga Allah kerana dirimu sungguh mulia berbanding aku yang begini.

Monday, March 3, 2014

Saturday, March 1, 2014

Kering

Cuaca panas yang dialami sejak 3 minggu lepas menjadi keresahan kepada kebanyakan penduduk.  Air sungai dan takungan loji juga menjadi kering menyebabkan kebanyakan sumber air bersih kepada penduduk terpaksa dicatu dan dibekalkan mengikut jadual melalui lori-lori tangki yang disediakan oleh syarikat bekalan air.

Semuanya adalah dengan keizinan Allah untuk berlaku.  Peredaran cuaca yang panas dan sejuk, ribut dan taufan, ombak dan gelora merupakan pergerakan makhluk yang mentaati perintah Allah untuk berlaku.

Begitu juga dengan solat kita, setiap pergerakan kita menyembah yang Esa memerlukan kekuatan dengan disertai dengan ungkapan “Allah hu Akbar” yang difahami sebagai Allah Maha Besar.  Ya, Allah Maha Besar dalam mengatur sesuatu.  Maha mengetahu dalam merencanakan kehidupan manusia di alam ini. Maha pengasih dalam memberikan kurniaan dan nikmat sepanjang masa tanpa henti.

Nikmat panas yang kita ada pada kali ini merupakan nikmat yang penuh dengan dugaan dan ujian kepada kita semua untuk berfikir…kenapa panas keterlaluan begini? Apakah dosa yang kita telah lakukan? Apakah kejahatan dalam diri yang belum kita leraikan? Sudahkan kita bertaubah kerana kesalahan lalu?