Wednesday, May 16, 2018

Belum Lagi

Kawan bukan minat atau fanatik sangat dengan DSAI yang baru dibebaskan dari penjara pada hari ini.  Sambutan penyokong beliau masih ramai dan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat.  Semasa sesi media pada awal tengahari ini, DSAI masih seperti dahulu, nampak bersemangat dan ucapan beliau masih tidak berubah.  Itulah DSAI.

Dalam manisfesto Pakatan Harapan, salah satu janji yang hendak dilaksanakan adalah melantik DSAI sebagai PM Malaysia dalam masa terdekat.  Kawan berpendapat, pelantikan DSAI sebagai PM Malaysia masih belum boleh dilaksanakan, maksud kawan, masih belum sesuai.  Tidak semua orang yang menyokong Pakatan Harapan menyukai DSAI dan memberi undi kepada beliau.  Faktor Tun M merupakan faktor utama kepada kemenangan PH dalam PRU 14.  Dalam masa setahun dua ini, tangguhlah dulu dan bersabarlah dahulu.  Menunggu kesesuaian waktu dan peralihan kuasa benar-benar berlaku dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Perubahan yang berlaku adalah kerana Allah telah hadirkan Tun M dalam kumpulan ini, dan merubah segalanya.

Monday, May 14, 2018

PH Menang

Pilihanraya 14 pada 9 Mei 2019 (Rabu) telah berakhir.  Keputusan PRU yang pertama kali menyebelahi pihak pembangkang dan membolehkan mereka membentuk kerajaan.  Bagi kawan, faktor utama adalah matlamat untuk mengalahkan seorang sahaja itu mantan PM Najib yang penuh dengan skandal kewangan, keduanya adalah faktor Tun M sebagai ketua pembangkang.  Kedua-dua faktor ini menyebabkan BN kalah teruk dan hilang semua kepercayaan rakyat untuk menyokong mereka.

Bagi kawan, semasa menanda kertas undi (pangkah), boleh dikatakan pemilih tidak melihat siapa calon, tidak melihat kepada keturunan atau kaum dan tidak melihat kepada lambang apa yang dipakai tetapi turun mengundi untuk membuat pilihan supaya mantan PM Najib dijatuhkan. Bagi kawan, ini adalah cara yang paling baik dan gentleman kepada semua rakyat Malaysia untuk menamatkan tempoh kuasa pemimpin yang tidak disukai mereka.

Kepada yang menang, perubahan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja untuk menang lagi atau kalah selepas ini.  Buat kerja sehabis usaha dan jangan menipu.  Rakyat akan hukum pemimpin yang korup dan tidak telus.

Friday, May 4, 2018

Salah Perkiraan

Semasa hari pendaftaran kemasukan Iman ke program Foundation UTM minggu lepas (26 April 2018), kawan perhatikan bahawa kaum melayu yang berdaftar hanya dalam 30% sahaja.  Dari jumlah keseluruhan dalam kelas Iman, terdapat 49 orang pelajar dan sejumlah 10-13 orang adalah pelajar melayu, peratusan kurang lebih antara 20-25% sahaja. Hampir keseluruhan, 70% adalah pelajar kaum Cina dan India dan selebihnya dari warganegara asing yang turut sama dalam program ini.

Berdasarkan kepada peratusan jumlah pelajar, adakah perlu kita katakan bahawa minat pelajar, khasnya kaum melayu dalam bidang kejuruteraan semakin kurang? jawabnya tidak.  Adakah kelayakan pelajar melayu untuk mengikuti program ini tidak mencapai syarat kelayakan? jawabnya tidak.  Adakah pelajar melayu tidak melihat program ini sebagai program utama dalam pemilihan mereka? jawabnya tidak.  Adakah ibu bapa pelajar melayu sangat berkira-kira dengan sumber wang sehinggakan menunggu peluang lain yang memberikan imbuhan? jawabnya, mungkin ya. Tetapi yang menjanjikan imbuhan ini adalah yang lebih susah dan lebih banyak persaingan, akhirnya peluang kemasukan pada masa hadapan semakin sempit.

Ringkasnya, pelajar-pelajar melayu bertindak seperti syok sendiri;

1. Mengambil kira kelayakan yang minimum, mesti kalah bila yang memohon adalah orang lain yang mempunyai nilai merit yang maksimum.

2. Syok sendiri dengan kejayaan. Sedangkan ada lagi orang lain yang lebih berjaya dan mempunyai keputusan peperiksaan yang sangat-sangat cemerlang.

3. Persaingan mereka yang sangat-sangat cemerlang dalam merit dan kelayakan akademik menghalang mereka yang agak-agak cemerlang dan cemerlang.

4. Tempat yang sangat terhad, mereka yang sangat-sangat cemerlang pun tidak layak kerana ada lagi yang lebih cemerlang dari sangat-sangat cemerlang.

5. Kurang bertanya. Tidak mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan dengan sesuatu program pengajian sehinggakan gagal dan terpaksa mengikuti program yang tidak diminati.

6. Beberapa kesilapan lain yang kawan belum senaraikan ... cuma kawan harap pelajar melayu janganlah salah perkiraan dalam membuat keputusan.

Wednesday, April 25, 2018

Calif Masuk MRSM

Kelmarin, 23 April 2018...hari Ahad. Kami sekeluarga bertolak ke Kuala Kangsar pada hari sebelumnya.  Bermalam di rumah mentua kawan di Taman Sri Chandan, bersebelahan dengan Masjid Ubudiah dan Istana Sultan Perak.

Jika hari sebelumnya, persiapan telah dibuat untuk anak kawan yang bongsu untuk masuk asrama di MRSM Gerik. Satu pengalaman baru bagi dirinya yang pada awal lagi Calif sememangnya teruja untuk ke asrama.  Apa yang membuatkan kawan risau adalah kes buli di asrama melibatkan pelajar yang senior kepada pelajar yang junior, sepertimana yang berlaku kepada diri kawan sendiri pada awal kemasukan kawan ke MRSM Jasin tahun 1984 dahulu.

Pengalaman di asrama adakalanya memang menyakitkan dan menjadi dendam kepada kita terhadap perlakuan senior pada masa tersebut. Kelamaan, dendam ini menjadi satu ingatan yang susah dilupakan dan bermain difikiran, berulang semula apabila suasana yang sama terjadi lagi...anak kita pula yang akan memasuki asrama, dalam jenis sekolah yang sama.

Semoga Calif mendapat pengalaman yang menyeronokkan.

Saturday, April 14, 2018

Undi 2018

Sekali lagi musim pilihanraya muncul selepas 5 tahun berlalu. Pada tahun ini, penamaan calon dijadualkan pada 28 April 2018 (Sabtu), manakala tarikh pengundian pula pada 9 Mei 2018 (Rabu).  Seperti biasa jugalah, musim-musim beginilah menjadi satu kegilaan kepada wakil-wakil rakyat untuk menunjukkan mereka bekerja dan membantu rakyat. 

Senang cakap...nak tutup ruang ponteng dan tidak bekerja dengan memberi sedikit kewangan dan barangan keperluan kepada masyarakat, maka tertutuplah segala kejahatan dan kerosakan yang telah dibuat, orang ramai dah lupa, lagipun perkara lama ni, orang tak ingat sangat.

Menjadi pemimpin bukan satu kerja yang mudah, ianya sangat susah dan membawa satu tanggungjawab yang cukup besar, memikul amanah yang diberikan dengan seamanah yang mungkin, tidak kacau dan tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, jauh sekali mengumpul harta dengan cara dan pangkat yang ada.



Monday, April 9, 2018

Bertabahlah Wahai Adik

Pada petang sabtu lepas (kelmarin), kawan menerima mesej kematian adik ipar. Pada minggu lepas, kawan kehilangan mak saudara, kakak kepada arwah ayah kawan.  Dua kematian dalam seminggu dalam keluarga terdekat kawan.  Semasa mendapat mesej dari WhatsApp pada kelmarin, kawan masih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, menunggu flight yang akan berlepas dalam pada jam 4.15 petang, lebih sejam lagi.

Kawan terus call adik kawan, dia menangis dan kawan menahan sedih, pastinya bergenang air mata mendengar tangisan adik.  Tak sangka Ustaz Azmi dijemput Allah seawal daripada kami semua.  Maut tidak menunggu tua dan tidak mengenal siapa kita, semuanya telah ditulis Allah cara dan keadaan kematian kita, yang mampu adalah kita terus berusaha memperbaiki diri setiap masa, mengerjakan suruhanNya dan menjadi manusia baik sepanjang usia.  Mati dalam keadaan penuh iman, InsyaAllah.

Kawan tiba di KLIA lebih kurang jam 7.30 malam dan terus mendapatkan ERL untuk ke Putrajaya.  hampir jam 8.00 malam, kawan dijemput oleh isteri kawan dan terus ke Masjid Subang Perdana untuk bersama kariah masjid menunaikan solat jenazah.  Solat jenazah penuh 5 saf dalam masjid selepas isyak dan selesai solat, terus di bawa ke Perkuburan Kg Melayu Subang untuk pengebumian.  Tanah kubur ini semakin dibesarkan lagi sejak arwah ayah ditempatkan dalam lot 71 sebelah tengah kawasan kubur berbanding pada kali ini, kawasan baharu yang berhampiran dengan pagar tepi yang bersempadan dengan kawasan pembangunan perumahan.

Selesai disempurnakan pengkebumian, kawan ke rumah adik kawan.  Kalau dulu, dialah adik yang paling kecil dalam keluarga, anak bongsu.  Selepas berkahwin, dia jugalah yang paling bongsu dan manja, dan pada hari ini dia sekali lagi tetap menjadi adik manja kawan dan paling bongsu dalam keluarga.  Kawan tahu dia lemah dan perlukan semangat dalam hidupnya.  Jangan kecewa dik, Allah telah tulis dan tentukan cara kehidupan kita semua.  Ada hikmah dan kebaikan dalam setiap perkara yang berlaku.  Percayalah dan terimalah seadanya.

Bertabahlah wahai adik.

Thursday, April 5, 2018

Hak Mereka


Hujung minggu lepas, kawan menghabiskan masa dengan bekerja di Sarawak, maklum sahajalah sekiranya terlibat dengan program anjuran Jabatan, kawan terpaksa pergi,  tambahan pula program yang berkait rapat dengan bidang tugas dan tanggungjawab kawan di pejabat.  Dalam hati tak senang sebab kebanyakan hari minggu kawan dihabiskan dengan kerja, kerja dan kerja.  Walaupun begitu, penyedap perasaan, kawan berbisik kepada diri sendiri, “kerja kerana Allah dan demi sesuap nasi untuk famili”.

Ok, kawan nak bercerita tentang apa yang kawan fikirkan sepanjang perjalanan dari Kuching ke Betong.  Jarak perjalanan darat kurang lebih 330km yang akan melalui beberapa perkampungan dan pekan. Ianya merupakan perjalanan yang biasa sahaja tetapi memenatkan kerana keadaan jalan raya yang agak tidak sesuai untuk kelajuan melebihi 110km/j.

Kita boleh memilih untuk melalui jalan air menggunakan feri pengangkut di tiga check point yang agak menjimatkan masa perjalanan berbanding dengan perjalanan darat. mungkin berbeza masa antara 2 hingga 3 jam.

Jika nak dibandingkan dengan jarak yang sama di Semenanjung, sebagai contoh, jarak dari Kl ke JB sejauh 350km akan mengambil masa kurang dari 3 ½ jam atau paling lama sehingga 4 jam, dengan purata kelajuan kenderaan 110km/j.  Jarak Kuching ke Betong pula akan mengambil masa lebih 5 jam dengan keadaan jalan yang agak beralun dan sangat memenatkan pemandu atau penumpang, malah kenderaan pastinya akan diselenggara dengan lebih kerap.

Apa yang kawan fikirkan, kos untuk pembinaan jalan raya di Sarawak pastinya menelan perbelanjaan yang tinggi dan melibatkan masa yang lama, kerana jarak dan keadaan muka bumi yang tidak sesuai dan tidak dapat menampung berat kenderaan kerana tanah disepanjang sungai adalah lebih lembut dan mudah mendap.

Cadangan kawan, kerajaan boleh menumpukan kepada penyediaan pengangkutan air sebagai hubungan utama di Sarawak, selain menyediakan sebahagian peruntukan untuk penyelenggaraan kepada jalan raya.  Kerajaan boleh menjadikan jalan air sebagai sumber pendapatan yang diperolehi melalui pelancongan kerana Sarawak mempunyai hubungan dan rangkaian sungai yang sangat banyak dan berselirat, memudahkan hubungan antara bandar dan bandar, lebih menjimatkan wang dan masa.  

Seharusnya kelebihan Sarawak sebagai sebuah negeri yang agak besar dan mempunyai sungai yang panjang memberi pilihan dan kecenderungan kepada kerajaan membangunkan kemudahan dan penyediaan fasiliti pengangkutan air sebagai cara utama pergerakan kenderaan di setiap bandar di Sarawak.  Kawan percaya kos untuk menyediakan semua kemudahan ini lebih murah dan menjimatkan berbanding membina lebih banyak lebuh raya atau jalan raya.  Lebih mudah kita katakana bahawa, sungai telah tersedia sebagai jalan raya utama, sediakan lebih banyak feri pengangkuta atau bot-bot besar yang mampu menampung perjalanan masyarakat di Sarawak.  Tidak perlulah memikirkan berapa banyak modal yang harus dikeluarkan kerana timbal balas kepada kemudahan ini akan memberikan keuntungan yang lebih besar kepada masyarakat dan pihak kerajaan. Orang kata, sama-sama menang.

Perkara kedua yang tak habis lagi dalam fikiran kawan adalah berkenaan dengan kedhaifan masyarakat kampong di Sarawak.  Pemandangan di sekitar kampong sepanjang perjalanan dari Kuching ke Betong sangatlah dhaif dan menyedihkan.  Tiada rumah yang boleh dikatakan masih baharu, semuanya rumah kampong yang dibina berasaskan kayu dan sangat uzur.  Kawan tak sampai hati nak bandingkan dengan reban ayam atau kandang haiwan tetapi itulah hakikatnya pemandangan di kampung-kampung.    

Telahan kawan adalah, mereka tidak diberikan maklumat yang secukupnya, mereka tidak didedahkan dengan pembangunan yang sepatutnya mereka dapat dan mereka telah berpuashati dengan apa yang ada atau mereka malas?  Mereka berpuashati dengan piring ASTRO dan sedikit bantuan oleh kerajaan kepada mereka?

Sekiranya kerajaan menumpukan kepada kebajikan rakyat secara keseluruhan, saya pasti, tiada lagi rumah yang uzur dan hampir runtuh.  Bandingkanlah pemimpin mereka yang kaya raya dan mempunyai kemewahan yang sangat melampau, dengan senarai harta dan kekayaan serta kemewahan lain, membolot semua hasil bumi dan hak rakyat yang miskin. Rakyat dalam pedalaman masih dalam kelas mereka sendiri dan berdiam diri. Seolah mereka telah ditipu dan disembunyikan kemewahan yang boleh dikongsi bersama.

Cadangan kawan kepada pemimpin, insaflah dan kembalikan kepada agama dalam menunaikan tanggungjawab.

Thursday, March 29, 2018

Dodol

Semalam ada seorang sahabat menghadiahkan kawan sebungkus dodol pandan dari kelantan.  Dodol ini dibungkus dalam plastik yang bersaiz dua telapak tangan sahaja, rasanya sangat manis dan ada wangian pandan sekiranya dodol itu berwarna hijau.  Ada juga dodol yang berperisa durian, dan ada juga dodol yang biasa dalam pasaran berwarna cokelat kehitaman. Ada juga dodol yang bercampur warna dan teksturnya juga agak kasar dan berserabut, yang jenis ini kawan tidak dapat pastikan apa jenisnya tetapi rasanya sedap dan sudah tentu saranya sangat manis.

Kalau dahulu, semasa arwah ayah kawan masih hidup, dia selalu bekalkan dari kampung beberapa bungkus dodol untuk kawan di sini.  Pelbagai jenis dodol akan ayah bekalkan kepada kawan dan anak-anak kawan sememangnya suka makan dodol yang ayah bawa. Terima kasih ayah.  Arwah ayah juga tidak pernah lupa untuk membawa dodol sebagai hadiah kepada besan dia di Kuala Kangsar apabila dia berkunjung ke sana.  Dodol mesti dibawanya bersama dengan beberapa jenis barang makanan lainnya. 

Sahabat, dodol semalam mengingatkan kawan kepada arwah ayah kawan.