Wednesday, October 29, 2014

subsidi

Ada cadangan untuk menetapkan bahawa mereka yang mempunyai gaji atau pendapatan bawah RM5,000,  boleh mendapatkan / membeli minyak Petrol RON95 dengan harga subsidi. Perkara yang berkait dengan perbelanjaan untuk subsidi semakin meningkat dan mempunyai kaitan dengan semua aktiviti masyarakat.  Cuba kita lihat cara pelaksanaan dalam penguatkuasaan larangan terhadap pembelian minyak Petrol RON95 oleh rakyat Singapura dan Thailand di kawasan yang telah ditetapkan, ianya masih lagi lemah dan penguatkuasaan secara langsung bagaikan tiada.

Mereka ini (Thai dan Singapore) senyum gembira menikmati limpahan subsidi minyak yang diraih secara tidak adil kepada rakyat negara ini.  Kita kena ingat bahawa perlakuan ini telah lama berlaku dan melibatkan jutaan ribu ringgit duit subsidi yang diberikan terus kepada mereka. 

Selepas kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi dan secara langsung melibatkan kenaikan harga minyak Petrol RON95, ianya seolah-olah satu keputusan yang tidak akan ditarik semula dan bagaikan tidak akan menoleh ke belakang lagi, lantas kita dihangatkan pula dengan kaedah atau formula membeli minyak petrol dengan subsidi, berdasarkan gaji dan pendapatan bulanan.

Dikatakan bahawa kaedah yang dinamakan sistem subsidi petrol akan bermula pada 1 Jun 2015. Difahamkan juga bahawa, pelaksanaan pemberian dan pembayaran BR1M adalah “serampang dua mata” bagi pengumpulan data dan maklumat bagi menentukan pemberian hak dan kemudahan kepada rakyat yang bakal menikmati subsidi tersebut. Kaedah ini merupakan asas kepada pemberian subsidi kepada yang “benar-benar layak” sahaja.

Nak tanya sikit, berdasarkan gaji dan pendapatan bulanan kita semua...., adakah kita orangnya yang layak itu? atau kita berada selepas garisan tidak layak?... atau ... adakah maklumat yang diperolehi oleh kerajaan itu benar-benar maklumat yang tulen dan betul?...pastinya ramai akan mengemukakan maklumat tidak benar dan sedikit tidak benar demi untuk mendapatkan subsidi tersebut.

Dalam pelaksanaan ini, modus operandi bagi pembelian & pembayaran petrol RON95 dengan subsidi perlu disertakan sekali kad pengenalan.  Ini bermakna, kita boleh membeli petrol RON95 dengan subsidi jika tangga gaji dan pendapatan bulanan antara RM5,000 dan ke bawah.  Namun demikian, andainya kita berpendapatan antara lebih RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, keputusan masih lagi terumbang ambing, samada kita dapat sikit atau tidak akan dapat langsung.

Adalah lebih baik mantapkan dulu pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengurangkan lagi kerugian negara dek kerana kes penyelewengan minyak ke negara jiran. Ini kerana pada masa sekarang, kita melihat pelaksanaan menggunakan IC, ada banyak “loophole”. Jikalau beriya-iya benar mahu  menggunakan IC sebagai medium untuk membeli minyak bersubsidi, eloklah diperbaiki atau ditingkatkan dahulu kualiti MyKad, dengan jelasnya selalu kita tahu bahawa kualiti chip mykad mudah sangat rosak dan tidak boleh ‘read’.

Satu perkara lagi adalah dengan mempertingkatkan sistem network server dan perbetulkan isu-isu lembap macam siput, tambahan pula, berapa ramai umat manusia di Malaysia yang bakal mengakses server pada satu-satu masa yang sama untuk mengesahkan maklumat gaji minimum dan tangga gaji serta pendapatan yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum dibenarkan membeli minyak petrol RON95 dengan subsidi. Aduhh..lamaaanya menunggu... dan lazimnya kita selalu dengar pegawai-pegawai kaunter di bank-bank meyebut ayat standard ini ...“Maaf encik, MyKad encik tak boleh nak baca"

Atau, hapuskan semua bentuk subsidi yang terlibat dengan minyak dan berikan kepada mereka yang layak dalam bentuk yang lain...

Kad Kawin

Kawan dah tengok kad jemputan perkahwinan tu.  Kemas dan cantik, tak lebih-lebih dan tak mengada-ngada sangat, semua nampak cool dan sejuk je mata memandang dan mudah nak dibaca.  Nama-nama yang dicetak atas kad itu juga gah-gah belaka, senarai nama semuanya nampak sehati sejiwa dan menggambarkan sebuah keluarga yang gembira untuk menyambut suasana baru selepas ini.  Sesiapa saje yang membaca kad tersebut, semuanya akan tersenyum, masing-masing penuh gembira dan happy sangat, termasuklah kawan yang empunya diri ini. Kawan suka dengan peristiwa itu nanti. Cuma satu je, kawan tak boleh menghadirkan diri kawan semasa majlis, kawan nak minta maaf awal-awal pasal perkara ini, bukan kawan tidak mahu hadir tapi rasanya tak sempat kawan nak hadir, maafkan kawan.

Kad kawin itu memang best, ada doa dan semestinya menginsafkan semua yang membacanya.  Kad kawin itu juga spesel sangat sebab ada peta jalan dan seolah-olah dibuat dalam skrin ipad atau skrin tablet, ternampak-nampak emoticon dalamnya...dah macam WhatsApp je, kadang-kadang macam baca WeChat jugak,  ada jugak macam signboard besar sebagai penunjuk arah, mengalahkan google map...sure orang tak sesat untuk ke majlis kenduri kendara itu nanti, lingkaran jalan yang mudah difahami dan senang orang nak hadirkan diri, juga kawan-kawan mesti ramai hadir nanti.  Kawan sekolah, kawan-kawan universiti, kawan-kawan baik dan rapat dan semuanyalah termasuk juga abang long, kak long gengster kampung bintang, gengster shopping mall dan sebagainya, malah tak lupa abang Lem yang kawan rasa semestinya termasuk dalam senarai jemputan untuk hadir nanti, kerana abang Lem merupakan salah seorang yang penting dalam hal ini (heheheh).  Yang penting sekali, mereka semua datang bukan dengan tangan kosong melenggang kangkong, tapi penuh berisi kantung, kantung hadiah dalam pelbagai bentuk berisi dalam kotak, besau, gemuk, xxl saiznya, kalau yang berkantung kecik pasti isinya sangat tinggi harganya....best sangat!!!.

Mesti meriah sangat-sangat, bising dengan sambutan dengan paluan kompang dan gendang, selawat dan nyanyian, khemah penuh hiasan, pelamin pun dihias penuh dengan bungaan, ada bunga telur di pulut kuning, apatah lagi sirih junjung dan tepak yang kemas dalam bekas masing-masing, mesti kalerful, yang datang akan diberikan goodies...termasuklah hidangan pengantin dan lauk pauk yang sedap-sedap, mesti ada udang panjat pokok untuk hidangan pengantin, ayam tergolek-golek besau-besau saiznya, buah-buahan yang dah jadi bunga hiasan, macam-macam lagi ada dan pastinya semua sedap-sedap belaka, terutamanya nasi yang berkaler-kaler merah kuning, hijau biru...nasi hujan panas dan nasi JDT...hahaha... . Minuman pun sejuk je ..ada banyak ais dalamnya...alahai sedapnya nasi minyak ...tambah lagi dengan karaoke dan penyanyi jemputan..fuhhh..penuh meriah weii...dah macam malam gala...macam pesta kesenian dan pesta kembara mahkota johor. Pesta DiRaja...perghh bestt. (best untuk orang muda je) kita yang dah berumur, dengar ceramah agama buat bekal...adehh...

Mesti juga tema pakaian yang berwarna tersendiri di pihak lawan masing-masing...warna purple, kuning, biru, hijau, merah...tak kisahlah apa kaler nak pilih tapi mesti sama kaler semua orang dalam rumah...termasuklah yang rewang sehari sebelum, yang masak makanan mesti sejenis je pakaiannya, yang mengandam pun ada bajunya, yang datang dari Putrajaya, KL, Melaka, Negeri Sembilan, dari Kedah, Perak, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Singapore atau dari mana-mana sekalipun, mesti sama bajunya dan kalernya... hahaha...tak lebih tak kurang dengan pakaian pengantin, pakaian pengantin mesti lebih cantik dan bila dipakai, macam pinang dibelah dua, sama cantik pakai dan sama cantik orangnya, nak pakai berapa set pakaian pun, terpulanglah asalkan tak penat nak salin.  Yang pastinya, pakaian malam masa potong kek dan buka hadiah, lain pula kaler dan jenis pakaiannya...aduhai..berserinya pengantin baru...begitupun, pengantin nanti sama cantik dan sama padan, kawan nak tambah kata yang pengantin sememangnya pasangan yang sama lawanya...macam ketiomi dalam filem orang minyak dengan Abang Lem tu....hahaha.

Semua sedara mara nanti akan suka dan tersenyum gembira dari pagi sampai malam, tersenyum lebar, adik beradik dan saudara mara ambik cuti sehari sebelum dan sehari selepas majlis...masa majlis, pakai baju melayu cekak musang atau teluk belanga (baju johor) dalam warna  yang sama, apatah lagi mentua dan biras, mesti suka dapat menantu yang baik. Anak-anak dan ipar duai semuanya berbaju sama, satu kaler dan nampak macam kumpulan nasyid Rabbani, masa tu bolehlah request lagu nasyid daripada pengantin.  Mesti besttnya!!!.  Kawan tak pandai nyanyi, sebab tu request supaya pengantin yang nyanyi...

Kad kawin itu penuh cerita dan lengkap isinya, kawan terharu membaca sebab ia menceritakan semuanya, kad itu mengingatkan kawan kepada doa yang pernah kawan doakan, ternyata dimakbulkan Allah kerana kawan sangat yakin dengan doa...doa kawan supaya pengantin ini merupakan pasangan yang seadanya, Allah makbulkan doa kawan...Alhamdulillah.

Panjang kawan berkata-kata kali ini, maafkan kawan sekali lagi, andai kata tulisan kawan tidak sedap dibaca dan mengganggu tidur untuk malam ini, maafkan kawan. Kawan hanya nak menyatakan aje...Tahniah dan Alhamdulillah atas semuanya...senyum sokmo...:)

Tuesday, October 28, 2014

Aib

Begitu jugalah ujian dan cabaran yang diberikan Allah kepada hambanya, setara dengan kemampuan dan kesanggupan seseorang untuk menanggung semuanya.  Ujian Allah juga adalah untuk menguji keimanan dan agar kita semua berfikir semula, nikmat manakah yang masih kita pertikaikan, nikmat manakah yang masih kita lupakan.

Firman Allah dalam AlQuran, Surah AlHadid ayat 22: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan dibumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah tertulis dalam kitab (lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya.  Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah"

....aku tidak terkejut sangat dengan berita yang disebar luas dalam media sosial pada hari semalam. Kisah perlakuan salah laku manusia, manusia itu pula orang pujaan ramai, menjadi rujukan dan memberi nasihat khususnya dalam persoalan agama.  Kisah penyebaran video seks UAI bersama pasangannya.

Dalam apa jua perkara yang berlaku, akan terdapat dua jawapan dan pilihan yang berlainan.  Lebih berat kepada sebelah sana dan sini.  Andainya penumpuan kita lebih kepada sebelah sana, bermakna kita tidak bersetuju dengan sebelah sini dan sebaliknya jika sebelah sini tidak suka yang sebelah sana. Apapun, semua sana sini tidak mengetahui punca dan sebab berlaku, saling tuduh menuduh dan menyokong, tidak kurang juga yang menghambur kata-kata dan ada yang tersenyum.  Kita semua tidak tahu apa benar atau tidak berita yang dibawa.  Kita semua menterjemahkan mengikut pemikiran masing-masing, berteraskan kepada pengalaman, taksub, minat dan kecenderungan kita dalam sesuatu perkara.

Apa kata kalau kita katakan begini..."ujian Allah membuka aibnya begitu, dia perlu bertaubat dan menyesali segala perlakuan zalim dan jahat sebelum ini, sekiranya dia tidak terfikirkan kejahatan dan kezaliman itu, apakah aib orang lain yang pernah dilakukan oleh dia?...ujian Allah adalah ujian untuk meningkatkan keimanan dan menginsafi kesilapan lalu"

"ujian Allah yang datang ini...begitu aibnya diriku, adakah aku pernah mengaibkan orang lain, atau adakah ceramah-ceramah aku sebelum ini menggusarkan perasaan orang lain, adakah suara yang ku lontarkan selama dalam kuliah-kuliah aku, menyentuh dan memalukan orang lain?"

"ujian Allah yang datang ini...aku perlu berubah kepada yang lebih mengikut nabi, tidak lagi aku mengucapkan kata-kata kesat...bodohkan orang lain, melaknat dengan bahasa kasar dan menghina ke atas orang lain selepas ini"

"ujian Allah yang datang ini...alhamdulillah sungguh membuka hati dan menguji aku, aku redha ya Allah...aku redha...aku redha dengan ujian Mu"

Terima kasih Ya Allah kerana ujian Mu itu juga menyedarkan diri aku yang begini, aku redha Ya Allah, tutuplah aib aku ya Allah, sembunyikanlah aib aku dan antara engkau dengan aku Ya Allah...aku bertaubat.





Monday, October 13, 2014

Warung Pokok Ceri

Baru sekejap singgah di warung pokok ceri, bersarapan lontong dengan berlaukkan ayam goreng rangup.  Aku lebih suka lontong kering berbanding yang kuah, kerana yang kuah banyak sangat sayur kubisnya, kalau termakan sayur kubis ni...alamatnya... sakitlah kaki aku...petanda yang Allah telah kurangkan nikmat kepada aku...untuk kita sama-sama insaf dan mengurangkan makan dan makan dan makan...kerana umur kita semakin berkurang.

Warung Pokok Ceri memang spesel, lontong nya memang nombor satu berbanding dengan lain-lain kedai yang pernah aku rasa selama berada di Johor Bahru.  Kalau datang ke JayBee, singgahlah di sini...warung ini terletak di Kampung Mahmoodiah, berdekatan dengan Hospital Sultanah Aminah dan Masjid Sultan Abu Bakar...kena cuba lontong kering dan lontong kuah...bersama dengan lauk ayam goreng rangup.  Memang best...

Laksa Johor tak ada kat sini, yang sedap kalau nak merasa laksa johor di restoran MakTok... errmmm...dekat Setia Tropika JB...Laksa Johor yang aku bagi markah 10/10...tak kurang dan tak ada cacat tak sedap dia, Semuanya sedap. Kalau nak yang ada kelass sikit, makan kat tempat macam butik makanan, bole le ke Medini Mall Nusajaya, laksa johor dia pun sedap sangat, markah 10/10 jugak dengan Teh Tarik yang betul-betul kawww...

Alhamdulillah..sedapnya dapat makan...hihihih

Tamat

Disebabkan laporan yang begitu rigid oleh pihak Audit Negara, tanpa mengambilkira keperluan dan kenyataan kami dalam pertelagahan mencari sebab dan alasan bagi perbelanjaan kewangan tersebut, disertai juga dengan taksubnya mereka mengikut setiap inci perkataan dalam garis panduan dan prosedur kewangan, maka, peruntukan kewangan kepada anak-anak yatim yang mengikuti program tahfiz AlQuran terpaksa ditamatkan.

Kalau ya pun nak odit dan mengikut sangat panduan dan prosedur ini, baguslah.  Cuma satu kawan mohon, pertimbangkanlah penjelasan kami dan sebab-sebab yang kami berikan.  Peruntukan itu tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak (awak sendiri pun tahu), peruntukan tersebut cuma hanya untuk anak-anak yatim yang mempelajari AlQuran...mereka menghafal AlQuran...mereka hidup dengan AlQuran...

Terimalah penjelasan kami dan buatlah laporan yang seadil-adilnya, bukan laporan yang hanya rigid dengan garis panduan sahaja.  Kalaupun salah dalam prosedur, masih boleh nyatakan kenapa ianya dilaksanakan begitu...kami dah jelaskan tapi awak tak mahu terima.

Sedih dengan keputusan Audit Negara yang terlalu mengikut peraturan yang begini tanpa menunjukkan adanya belas kasihan dan pemahaman terhadap perkara kemanusiaan.  Jangan dicampur urusan matematik dengan urusan ihsan dan perasaan...tidak sama jawapannya.

Wednesday, October 8, 2014

buang yang lama

Bertukar kereta?, baguslah, banyak baiknya kalau kita nak kurangkan perbelanjaan yang semakin meningkat.  Salah satunya yang menyebabkan kos meningkat adalah kerana pembiayaan untuk kereta yang mencecah kepada sebahagian besar pendapatan kita.  Belum dikira lagi dengan kos-kos lain yang perlu dimanjakan kepada sebuah kereta yang kita sayang...jumlahnya memang terlalu mahal, apatah lagi, sekiranya kereta kita itu sememangnya yang berjenama dan mewah.  Begitu juga dengan sebuah motosikal berkuasa besar, perbelanjaan untuk penyelenggaraan adalah sangat mahal dan memerlukan komitmen yang tinggi dalam agihan sejumlah sumber kewangan.

Yang berpendapatan lebih, duit banyak dan ada income yang bertingkek-tingkek,  tak kisahlah apa jenis kereta atau moto apa  nak dipakai, kereta mewah ataupun tidak mewah, moto besau atau kecik... semuanya boleh pakai, kerana duit dah bertingkek, gaya juge kenalah bertingkek-tingkek...(huhuhu)

Memori?...ermmmm...memang semua benda ada memorinya sendiri sebab kita yang letakkan ingatan itu dengan benda tersebut (walaupun ianya besi).  Seperti juga dengan kereta atau motosikal, memori bersama dengan jenis besi ini mungkin susah nak lupa...kerana benda yang dikatakan "kesayangan" ini telah kita kaitkan dan letakkan dengan pelbagai ragam, seumpamanya...kita susunkan kebanyakan masa seperti menghantar anak ke sekolah, keluar beli belah, berjalan-jalan cuti-cuti Malaysia, cuti-cuti utara, selatan, timur dan barat, dating dengan kekasih yang bakal suami atau isteri, tilam dan bantal...tempat tidur, tempat dengar radio dan ada jugak kesempatan untuk menghafal surah-surah dalam alQuran,...kalau motosikal, berkonvoi seluruh negara, jalan-jalan ke Hatyai, Phuket, paling jauh ..jalan-jalan ke negara China...selain rempit di Lebuhraya Karak, Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur dalam 2 jam...layan lap Genting Highland, Simpang Pulai dan semuanya yang berkait dengan kereta dan motosikal...ianya sebagai satu memori yang susah nak dilupakan. Tetapi kelamaan, memori dan kenangan ini akan hilang sedikit demi sedikit ditelan masa.

Apa nak dirisaukan sebab kita akan dapat kereta baru, cuma jenis dan model yang berbeza, mungkin dulu pakai kereta sedan, sekarang dah bertukar kepada kereta yang lebih besau, ikut selera kitalah mana satu nak beli.  Sememangnya ianya tidak seperti yang dulu tetapi ianya adalah yang baru, yang boleh dimulakan dengan baru..semuanya baru...bole letak nama baru...rancang perjalanan yang baru, cara pandu lebih baru (berhemah dan berdisiplin), tak ada saman, semuanya baru dengan semangat baru.  Apa nak kisahkan?...asalkan ianya boleh membawa kita ke tempat kerja dan menjalani hidup seperti biasa, malah membantu dalam mengurangkan kos perbelanjaan dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan kita (dengan lebihan kos yang digunakan sebelumnya). Beli ajelah kereta baru...

"tetapi sesetengah orang suka yang dulu-dulu kerana ia mengungkitkan kenangan lama...tepuk dada, tanya selera"

Thursday, October 2, 2014

Naik

Ramai yang melatah dan naik minyak disebabkan subsidi minyak diturunkan, dan secara tidak langsung harga minyak akan naik.  Satu perkiraan matematik mudah dan difahami oleh semua orang yang bersekolah.  Masing-masing berkira-kira kemana duit RM0.20sen itu pergi...membuat tohmahan dan adakalanya seperti fitnah memburukkan pihak lain dalam pengurusan kewangan negara.

Masing-masing menjadi pakar segala minyak disebabkan kenaikan harga sebanyak RM0.20sen, pelbagai hujah dan tuduhan serta kutukan (maaf ye...pujian tiada dalam hal ini) dibuat ke atas pemimpin negara kerana bertanggungjawab terhadap perkara ini, dan disimpulkan bahawa semuanya adalah kesilapan kerajaan yang memerintah. Menimbal semula slogan "rakyat didahulukan...
pencapaian diutamakan..., membuat provokasi dan menjadi viral dalam media sosial.

Ramai orang yang mengambil kesempatan untuk mengeji dan menjadi hero perjuangan politik, atau hero dalam memperjuangan apa yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka hanya berbekalkan ilmu bualan yang diperturunkan melalui media masa, kedai kopi, blog-blog dan sebagainya...tidak kurang juga melalui ruangan chatting seperti WhatsApp, Telegram, Wechat dan pelbagai punca yang boleh dilayari pada masa kini.  Kalau tidak berhati-hati, ruangan ini boleh diterjemahkan kepada ruangan penuh fitnah dan bercampaur baur dengan ruangan yang begitu mudah untuk kita mendapat dosa.

Melihat semula suatu ketika dahulu, harga minyak kenderaan (petrol) pada tahun 1988 adalah sebanyak RM1.30, berbanding kini RM2.30.  Lebih 26 tahun dengan kenaikan sebanyak RM1.00. Adakah kenaikan itu memberikan tekanan kepada kebanyakan mereka yang ada sekarang? Harga rokok juga terus mendadak dan melonjak melebihi 500% sejak 26 tahun lalu...begitu juga dengan harga beras dan makanan asas yang menjadi keperluan masyarakat Malaysia.  Semuanya menaik dan tidak pernah menurun. Secara asas ekonominya, pendapatan rakyat juga semakin meningkat dan ramai ahli perniagaan yang kaya raya... Pemahaman dalam ekonomi sangatlah mudah berkenaan dengan turun naik harga.  Pasaran masa kini lebih global dan memerlukan sumber modal yang besar untuk menggerakkan ekonomi negara.  Kalaulah kita masih berada ditakuk lama dengan berharapkan modal lama...pastinya ekonomi negara kita akan terus tenggelam dalam pasaran semasa.

Apa salahnya kita berkorban untuk menyumbang hanya RM0.20 kepada negara dalam merancakkan lagi ekonomi sedia ada? Kita boleh menganggap, RM0.20 didermakan kepada mereka yang susah dan memerlukan bantuan.  Sekadar mengorbankan RM1.00 dalam tempoh 26 tahun, ianya sesuatu pengorbanan yang terlampau kecil.  Anggaplah RM0.20 tersebut digunakan oleh Tabung Haji untuk menghantar Jemaah Haji ke Mekah setiap tahun yang hampir separuh tambang bagi kos penerbangan mencecah RM20ribu kepada setiap Jemaah, kita hanya membayar separuh sahaja. Banyak lagi anggapan yang boleh kita terjemahkan dalam memberikan persepsi positif dengan kenaikan RM0.20sen ini...sekolah, bantuan kebajikan, modal perniagaan, biasiswa kepada mereka yang berusaha (bukan yang malas nak sekolah dan buat huru hara), pekerjaan, kemudahan internet, bantuan kaum india yang mencecah puluhan juta (khusus)...(org lain ada?) dan sebagainya.

Biasalah, kita semua hendakkan keuntungan yang besar dan banyak dalam masa yang singkat, tapi pengorbanan pun perlulah mengikut jajaran matematik dengan betul.  Berfikirlah secara lebih luas dan makro untuk melihat secara keseluruhan, bukan hanya melihat untuk sebahagian sahaja, atau melihat hanya kepada diri sahaja, sesedap rasa diri kita.  Fikirkanlah..berapa ramai yang menipu dalam menunaikan cukai dan zakat?..ianya merupakan tanggungjawab kita kepada negara, setiap sen yang kita dapat, adakah ianya halal? sekiranya sedikit cukai tidak dilaksanakan?

Molek sangatlah, kita berkorban untuk berikan sedikit kepada mereka yang memerlukan, anggaplah sebagai sedekah selama mana harga itu dinaikkan.  Bagaimana lagi kita untuk membuat kebaikan sesama manusia? andainya sedikit pemberian ini tidak boleh dilakukan.  Tak usahlah bercerita tentang kejayaan dan keuntungan yang telah diperolehi andainya sedikit keperluan kepada yang susah ini tidak dapat kita redhakan. Soal pengurusan negara, kita serahkan kepada mereka yang telah ditentukan Allah untuk memimpin, tugas dan tanggungjawab mereka adalah kepada masyarakat dan Tuhan mereka.  Besar kesilapan mereka, maka besarlah hukuman yang mereka terima, bukan mudah untuk memimpin dan Allah sahajalah yang telah menentukan semuanya.  Dengan sekelip mata sahaja, Allah boleh jatuhkan sesiapa sahaja yang Dia mahukan.  Hentikanlah sengketa sesama agama dan bangsa antara kita, andainya kita masih mempunyai sifat dengki dan hasad, hentikanlah, sedikit kesilapan dan salah masih boleh dimaafkan.

Aku bukan menyokong siapa yang salah jua yang tidak benar.  Cuma kita harus berkata kepada yang benar dan istiqamah dalam berprasangka baik dengan orang lain.

Takpelah

Tak mengapalah kalau orang tak sudi menolong pada saat kita benar-benar memerlukan pertolongan. Yang dulu-dulu, masa kite menolong tu..kita halalkan semua tenaga dan kederat yang kita berikan.  Nak dibalas?..tak payahlah minta kerana berkemungkinan dia pun ada sebab-sebab dia yang menyebabkan kenapa dia tak tolong.  Mungkin juga dia beranggapan tidak perlu kerana dia sendiri tidak mampu untuk membantu. Macam-macam sebab boleh diberikan.

Kadang-kadang, penilaian dan pendapat individu terhadap sesuatu perkara yang sama, akan berbeza.  Apabila kita melihat sebuah cawan yang berisi air yang separuh..., kita akan menilainya dengan menyatakan bahawa cawan itu separuh penuh dan ada pihak lain akan menyatakan cawan separuh kosong. Itu hanya satu cawan separuh...yang memberikan dua penilaian dan pendapat yang berbeza.  Dalam perkara yang agak rumit dan lebih kompleks, menterjemahkan perkataan pun akan menjadi susah, tambahan pula bahasa yang kita kurang jelas dan faham maksudnya, seperti membaca alQuran...kita tidak boleh sewenang-wenangnya berhenti pada satu-satu ayat dengan sesuka hati kerana ia akan menjelaskan makna yang berlainan, langsung akan memberikan maksud yang berbeza.

Dalam penulisan juga, kadang-kadang orang suka membaca tulisan kita kerana orang itu suka kepada kita, kadang-kadang juga menyampah sebab kita menyampah dengan dia...kadang-kadang juga penulis akan terus menulis kerana dia suka orang membaca tulisannya...(perasan).  Jelasnya, semua dipengaruhi oleh situasi dan sifat dalam diri dan juga persekitaran ketika itu.

Kalau dah menyampah, tengok kereta pun rasa nak pancitkan tayar je..."kenapalah mamat ni parking kereta kat depan rumah aku!?, sebab parking depan rumah kita tu mungkin satu sebab atau alasan sahaja untuk membuatkan kita menyatakan marah, tetapi mungkin perasaan dengki kepada apa...yang dia ada kereta besar dan baru...itu sebab yang lebih utama agaknya yang menyebabkan kita marah...hahaha...dengki la tu sebab orang lain pakai kereta baru dan parking depan rumah kita..lain orang, lain sebabnya, lain jugak keretanya, lain jugalah pemandunya.  Tapi ada aku kesahhh??!!...aku tak kisah sebab tak minat kereta, cer letak motor besar depan rumah...panasss..panass...tengok tayar pun aku dah demam...hehehe"

Andainya dia tak tolong kita pada kali ini, redha ajelah. Allah membalas dengan cara yang tersendiri...kita tak rugi apapun, kalau kita redha, kita dapat pahala atas apa yang kita buat untuk dia dulu-dulu...juga kita diberikan ingatan untuk kita tahu siapa lawan, siapa kawan...tipis sangat jarak perbezaannya...