Saturday, November 30, 2013

Fikir Betul

Apabila sesuatu kehendak kita tidak dapat difahami oleh orang lain dan sebaliknya, keadaan ini merupakan sesuatu yang sukar untuk diselesaikan, kerana masing-masing akan mempertahankan apa yang difikirkan betul tanpa mengambil kira apa yang tidak betul dalam diri sendiri. Kebiasaannya kita tidak nampak apa yang tidak betul, perkara yang tidak cantik biasanya disorokkan, yang bersifat kurang tidak akan diceritakan dan apa yang tidak, akan di tidakkan.


Wednesday, November 27, 2013

Janganlah Mendesak

Telah dijelaskan dalam penulisan yang lepas, mengenai perkara yang boleh dimaksudkan sama dengan tajuk pada penulisan ini. Perkataan "mendesak" merupakan perbuatan yang diasaskan kepada kata asas "desak" yang boleh juga difahamkan dengan satu perlakuan yang melampau dalam meminta sesuatu perkara terhadap orang lain.  Dan pastinya lawan kepada perkataan "desak" adalah sederhana dan "desak" itu sendiri menunjukkan ianya memerlukan kawalan dan seseorang perlulahbersikap sederhana (dalam erti perbuatan untuk tidak mendesak) untuk mengelakkan konflik.

Pihak yang mendesak pasti juga tidak menyenangi dengan sebelah pihak yang didesaknya.  Ini barangkali pihak yang mendesak atau pendesak tidak mengetahui bahawa dia sedang melalukan desakan kepada yang didesak. Begitu jugalah, boleh dikatakan bahawa yang didesak akan merasakan satu perasaan rimas dan meluat dengan apa yang diperlakukan terhadapnya.

Kedua-dua pihak semestinya akan merasa tidak selesa semasa berkomunikasi dan situasi ini akan diterjemahkan melalui beberapa perkara seperti pilihan perkataan semasa berkomunikasi, nada suara, minat dan masa yang diperuntukkan serta topik perbualan yang lain daripada kebiasaan. Alasan demi alasan akan diberikan semasa komunikasi tersebut yang boleh disifatkan sedang mengalami konflik.  Pada masa ini juga kedua-dua pihak seboleh-bolehnya tidak akan cuba untuk mengalah dan akan cuba mencari kesalahan sebelah pihak yang lain.  Perkara ini akan menjadi lebih rumit sekiranya komunikasi ini diteruskan.

Semua pihak akan merasakan komunikasi yang tidak dapat difahami atau diselesaikan (mencapai keputusan) Apa yang boleh dilakukan adalah menamatkan perbualan tersebut dengan kadar segera. Walaupun dengan penamatan perbualan tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi, dan penamatan tersebut tidak memenangkan pihak yang menamatkan perbualan tetapi kedua-dua pihak perlu dan boleh berhubung semula dengan cara yang lebih baik.  Jika sekiranya tidak mampu untuk meneruskan komunikasi dengan perbualan atau bersemuka, tulislah surat atau hantarkan emel dan jelaskan perkara sebenar.

Betul ke?



Monday, November 25, 2013

KL - JB

"Perjalanan ulang alik yang terakhir antara JB dan KL yang ditempuh selama hampir tiga tahun" itu kata hati, nasib masa hadapan tidak aku tahu sama ada akan terus berulang alik ataupun akan terus tinggal menetap di Johor Bahru.

Jarak 320 kilometer bukan satu jarak yang dekat, memakan masa lebih 3 atau 4 jam untuk perjalanan sehala sahaja. Kalau difikirkan penat, semestinya telah mangli dan bak kata pepatah "alah bisa tegal biasa". Biasanya perjalanan ke KL bermula selepas waktu pejabat dan akan tiba di rumah pada jam 10 malam.  Dari KL pula, aku akan mula bergerak dari rumah pada jam 2 pagi kerana jalan tidak sesak dan pemanduan pun berjalan lancar, cuma perlu lebih berhati-hati kerana pemandangan sebelah malam adalah sangat terhad yang hanya bergantung kepada sumber cahaya lampu kereta dan lampu jalan sahaja.

Hati berkata bahawa perjalanan kali ini adalah yang terakhir untuk aku berulang alik setiap minggu, walaupun kadang-kadang seperti menjadi satu keseronokan untuk memandu dalam jarak yang jauh. Kadang-kadang je yang menjadi seronok tetapi kebanyakan waktu tidak menyenangkan.

Pengalaman sepanjang tiga tahun memandu JB ke KL dan ke JB semula, mencatatkan pelbagai pengalaman dan peristiwa yang tidak dapat dilupakan seperti terlanggar serpihan tayar lori sehingga menyebabkan kereta aku rosak dibahagikan hadapan, tayar pancit pada sebelah malamnya dan terpaksa menukar tayar seorang diri di tepi lebuhraya dalam keadaan gelap, terpaksa juga tidur di tempat RR seorang diri dan terdedah kepada bahaya. Bermacam-macam lagi yang aku alami sepanjang tempoh tersebut.

Semuanya menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak ternilai harganya.

Saturday, November 23, 2013

Biarlah Sederhana

Tidak perlu untuk berlebihan atau mengurangkan dalam setiap perkara atau perbuatan, terutamanya apabila melibatkan orang lain yang merasakan perbuatan kita tersebut sama ada berlebihan atau kurang atau pada tahap yang tidak menentu, cubalah dengan sekadar yang sederhana.

Apabila kita terlampau dalam memberikan sesuatu seperti perbuatan (layanan), hadiah atau penghargaan dan sebagainya, individu yang mendapat layanan, hadiah atau penghargaan dan sebagainya itu akan merasakan kecewa apabila perkara seumpamanya tidak dapat diberikan pada waktu yang lain.  Mudahnya dalam bahasa dan kebiasaannya orang akan kata "ikut mood"...perkara "ikut mood" inilah yang menyebabkan orang lain akan menjadi pelik dengan kita kerana seseorang yang selalu mengikut moodnya. Kalau dia OK, adalah moodnya, kalau tidak kena dengan moodnya, lain pula jadinya, hari ini ada dan baik sangat moodnya, esok pula tak ada mood...

Seharusnya bersederhana pada setiap masa dan bukan mengikut hati dan perasaan (bila suka, terlampau-lampau seronoknya, bila tidak suka, terlampau pula kemurungannya). Oleh itu tetap bersederhanalah dalam semua perkara.


Cili Solok

Lebih kurang tiga bulan lepas, aku semaikan biji cili solok yang cilinya aku beli di Pasar Borong Selangor untuk buat cili solok (resipi cili solok: ikan rebus, kelapa, bawang merah, garam, gula yang ditumbuk dan disumbatkan dalam cili, kemudiannya di stimkan-kukus)

Semaian cili kini dah mengeluarkan hasil, hampir kesemua pokok cili (20 pokok) yang disemai dahulu telah mengeluarkan buahnya, dan telah aku petik beberapa biji untuk dijadikan ulam.  Apa yang menariknya, semuanya ditanam di dalam polibag plastik saiz kecil. Apa yang paling penting untuk pertumbuhan dan kesuburan tanaman, ianya perlulah cukup bekalan pencahayaan, air dan baja. insyaAllah pokok akan hidup subur dan mengeluarkan hasil.

Alhamdulillah kerana beberapa pokok cili yang ada dapat juga aku berikan kepada jiran sebelah rumah (bangsa Cina), kawan dan driver van bas sekolah anak aku.

Untuk memastikan pokok hidup lama dan mengeluarkan hasil secara tetap dan berpanjangan, keadaan tanah yang sedikit dalam polibag kecil perlu ditukarkan kepada bersaiz besar, kerana akar pokok semakin memanjang dan memerlukan ruang yang lebih besar untuk pertumbuhan yang optimum.

Resipi Cili Solok:

1. Cili Solok (berwarna hijau muda/kebiasaannya diimport dari Siam) - dibuang biji
2. Bawang Merah + Ikan rebus + kelapa + gula + garam (ditumbuk)
3. Masukkan (sumbat) bahan no.2 kedalam cili dan kukus.


Wednesday, November 20, 2013

Doa

Aku sangat yakin dengan makbulnya doa. Selama dua minggu menjalankan tugas luar memilih kakitangan untuk pengisian jawatan, sangat banyak pengajaran yang aku telah perolehi daripada setiap calon yang hadir temu duga. Pelbagai keletah dan perangai yang ditunjukkan oleh setiap individu dengan cara yang tidak sama.

Doa? Kenapa aku tuliskan doa dan pengalaman setiap calon? Barangkali terlampau dekat perkaitannya kerana aku percaya setiap calon yang hadir temu duga pada dua minggu lepas telah berdoa kepada yang Maha Esa, Allah.

Pastinya mereka percaya bahawa doa mereka akan diperkenankan oleh Allah, bezanya hanyalah tahap keyakinan setiap individu tidak sama semasa merintih belas dan berdoa. Dan Allah berikan kepada mereka yang  yakin dengan doa mereka, Allah tunaikan kepada mereka yang telah berdoa dengan penuh miminta dan belas, Allah telah makbulkan doa mereka yang penuh menaruh harapan untuk jawatan yang dimohon.  Aku percaya bahawa Allah telah makbulkan doa setiap calon yang berdoa pada masa tersebut.

Siapa yang Allah telah makbulkan adalah kepada mereka yang bersungguh dalam usaha dan meminta kepadaNya.  Tidak mustahil apa yang dikehendaki oleh Allah.  Kepada siapa yang bersungguh dan berusaha, Allah telah makbulkan doanya.  Usaha yang datang bersekali dengan doa, pasti akan menampakkan kejayaan.

Kepada calon yang telah terpilih untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam, khususnya kepada mereka yang aku telah temu duga pada dua minggu lepas, tahniah kerana anda telah berjaya dan semuanya adalah kehendak Allah kerana doa anda semua telah ditunaikan olehNya. Kepada calon yang gagal, bukan Allah tidak menurut kemahuan anda, bukan anda tidak berusaha dengan bersungguh dan gagal dalam berdoa tetapi Allah tidak tunaikan lagi pada ketika doa anda.  Allah datangkan ujian dengan penuh rahmatNya kepada kita semua.

Allah tetap mendengar setiap doa yang kita minta.