Monday, April 9, 2018

Bertabahlah Wahai Adik

Pada petang sabtu lepas (kelmarin), kawan menerima mesej kematian adik ipar. Pada minggu lepas, kawan kehilangan mak saudara, kakak kepada arwah ayah kawan.  Dua kematian dalam seminggu dalam keluarga terdekat kawan.  Semasa mendapat mesej dari WhatsApp pada kelmarin, kawan masih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, menunggu flight yang akan berlepas dalam pada jam 4.15 petang, lebih sejam lagi.

Kawan terus call adik kawan, dia menangis dan kawan menahan sedih, pastinya bergenang air mata mendengar tangisan adik.  Tak sangka Ustaz Azmi dijemput Allah seawal daripada kami semua.  Maut tidak menunggu tua dan tidak mengenal siapa kita, semuanya telah ditulis Allah cara dan keadaan kematian kita, yang mampu adalah kita terus berusaha memperbaiki diri setiap masa, mengerjakan suruhanNya dan menjadi manusia baik sepanjang usia.  Mati dalam keadaan penuh iman, InsyaAllah.

Kawan tiba di KLIA lebih kurang jam 7.30 malam dan terus mendapatkan ERL untuk ke Putrajaya.  hampir jam 8.00 malam, kawan dijemput oleh isteri kawan dan terus ke Masjid Subang Perdana untuk bersama kariah masjid menunaikan solat jenazah.  Solat jenazah penuh 5 saf dalam masjid selepas isyak dan selesai solat, terus di bawa ke Perkuburan Kg Melayu Subang untuk pengebumian.  Tanah kubur ini semakin dibesarkan lagi sejak arwah ayah ditempatkan dalam lot 71 sebelah tengah kawasan kubur berbanding pada kali ini, kawasan baharu yang berhampiran dengan pagar tepi yang bersempadan dengan kawasan pembangunan perumahan.

Selesai disempurnakan pengkebumian, kawan ke rumah adik kawan.  Kalau dulu, dialah adik yang paling kecil dalam keluarga, anak bongsu.  Selepas berkahwin, dia jugalah yang paling bongsu dan manja, dan pada hari ini dia sekali lagi tetap menjadi adik manja kawan dan paling bongsu dalam keluarga.  Kawan tahu dia lemah dan perlukan semangat dalam hidupnya.  Jangan kecewa dik, Allah telah tulis dan tentukan cara kehidupan kita semua.  Ada hikmah dan kebaikan dalam setiap perkara yang berlaku.  Percayalah dan terimalah seadanya.

Bertabahlah wahai adik.

No comments: