Thursday, April 5, 2018

Hak Mereka


Hujung minggu lepas, kawan menghabiskan masa dengan bekerja di Sarawak, maklum sahajalah sekiranya terlibat dengan program anjuran Jabatan, kawan terpaksa pergi,  tambahan pula program yang berkait rapat dengan bidang tugas dan tanggungjawab kawan di pejabat.  Dalam hati tak senang sebab kebanyakan hari minggu kawan dihabiskan dengan kerja, kerja dan kerja.  Walaupun begitu, penyedap perasaan, kawan berbisik kepada diri sendiri, “kerja kerana Allah dan demi sesuap nasi untuk famili”.

Ok, kawan nak bercerita tentang apa yang kawan fikirkan sepanjang perjalanan dari Kuching ke Betong.  Jarak perjalanan darat kurang lebih 330km yang akan melalui beberapa perkampungan dan pekan. Ianya merupakan perjalanan yang biasa sahaja tetapi memenatkan kerana keadaan jalan raya yang agak tidak sesuai untuk kelajuan melebihi 110km/j.

Kita boleh memilih untuk melalui jalan air menggunakan feri pengangkut di tiga check point yang agak menjimatkan masa perjalanan berbanding dengan perjalanan darat. mungkin berbeza masa antara 2 hingga 3 jam.

Jika nak dibandingkan dengan jarak yang sama di Semenanjung, sebagai contoh, jarak dari Kl ke JB sejauh 350km akan mengambil masa kurang dari 3 ½ jam atau paling lama sehingga 4 jam, dengan purata kelajuan kenderaan 110km/j.  Jarak Kuching ke Betong pula akan mengambil masa lebih 5 jam dengan keadaan jalan yang agak beralun dan sangat memenatkan pemandu atau penumpang, malah kenderaan pastinya akan diselenggara dengan lebih kerap.

Apa yang kawan fikirkan, kos untuk pembinaan jalan raya di Sarawak pastinya menelan perbelanjaan yang tinggi dan melibatkan masa yang lama, kerana jarak dan keadaan muka bumi yang tidak sesuai dan tidak dapat menampung berat kenderaan kerana tanah disepanjang sungai adalah lebih lembut dan mudah mendap.

Cadangan kawan, kerajaan boleh menumpukan kepada penyediaan pengangkutan air sebagai hubungan utama di Sarawak, selain menyediakan sebahagian peruntukan untuk penyelenggaraan kepada jalan raya.  Kerajaan boleh menjadikan jalan air sebagai sumber pendapatan yang diperolehi melalui pelancongan kerana Sarawak mempunyai hubungan dan rangkaian sungai yang sangat banyak dan berselirat, memudahkan hubungan antara bandar dan bandar, lebih menjimatkan wang dan masa.  

Seharusnya kelebihan Sarawak sebagai sebuah negeri yang agak besar dan mempunyai sungai yang panjang memberi pilihan dan kecenderungan kepada kerajaan membangunkan kemudahan dan penyediaan fasiliti pengangkutan air sebagai cara utama pergerakan kenderaan di setiap bandar di Sarawak.  Kawan percaya kos untuk menyediakan semua kemudahan ini lebih murah dan menjimatkan berbanding membina lebih banyak lebuh raya atau jalan raya.  Lebih mudah kita katakana bahawa, sungai telah tersedia sebagai jalan raya utama, sediakan lebih banyak feri pengangkuta atau bot-bot besar yang mampu menampung perjalanan masyarakat di Sarawak.  Tidak perlulah memikirkan berapa banyak modal yang harus dikeluarkan kerana timbal balas kepada kemudahan ini akan memberikan keuntungan yang lebih besar kepada masyarakat dan pihak kerajaan. Orang kata, sama-sama menang.

Perkara kedua yang tak habis lagi dalam fikiran kawan adalah berkenaan dengan kedhaifan masyarakat kampong di Sarawak.  Pemandangan di sekitar kampong sepanjang perjalanan dari Kuching ke Betong sangatlah dhaif dan menyedihkan.  Tiada rumah yang boleh dikatakan masih baharu, semuanya rumah kampong yang dibina berasaskan kayu dan sangat uzur.  Kawan tak sampai hati nak bandingkan dengan reban ayam atau kandang haiwan tetapi itulah hakikatnya pemandangan di kampung-kampung.    

Telahan kawan adalah, mereka tidak diberikan maklumat yang secukupnya, mereka tidak didedahkan dengan pembangunan yang sepatutnya mereka dapat dan mereka telah berpuashati dengan apa yang ada atau mereka malas?  Mereka berpuashati dengan piring ASTRO dan sedikit bantuan oleh kerajaan kepada mereka?

Sekiranya kerajaan menumpukan kepada kebajikan rakyat secara keseluruhan, saya pasti, tiada lagi rumah yang uzur dan hampir runtuh.  Bandingkanlah pemimpin mereka yang kaya raya dan mempunyai kemewahan yang sangat melampau, dengan senarai harta dan kekayaan serta kemewahan lain, membolot semua hasil bumi dan hak rakyat yang miskin. Rakyat dalam pedalaman masih dalam kelas mereka sendiri dan berdiam diri. Seolah mereka telah ditipu dan disembunyikan kemewahan yang boleh dikongsi bersama.

Cadangan kawan kepada pemimpin, insaflah dan kembalikan kepada agama dalam menunaikan tanggungjawab.

No comments: