Wednesday, October 6, 2021

Pak Din, Aku Rindu

 Benda dah 2 tahun simpan, kita up malam ni sebab aku rindu kat Pak Din.

Catatan Umrah Jelajah Kasih 2.0
Pak Din
“rabbana aatina fiddun ya hasanah wafil aa khirati hasanah waqina azabannar”
Sayu dan penuh keikhlasan. Doa ini tidak pernah lekang dari bibir Pak Din sepanjang aku memapah dirinya melakukan tawaf di Baitullah. Setiap kali berdoa, Pak Din menangis dan mengeluh pegal atas dosa-dosanya yang lampau. Pengaduan kepada al-Khalik dengan tangisan yang penuh keinsafan dalam usia yang semakin dimamah waktu.
Pak Din atau nama sebenarnya Shamsuddin bin Juri, berasal dari Pulau Pinang dan dalam jangka usia melebihi 75 tahun. Seingat aku melalui rujukan data asnaf yang diterima, Pak Din hidup sebatang kara dan keluarga pak din hanyalah jiran terdekat dan kawan-kawan rapat yang tinggal sekampung.
Semasa usia remaja, Pak Din bekerja sebagai pembantu jurumudi kapal yang berpengkalan di beberapa buah pelabuhan dalam dan luar negara seperti di Johor dan Pulau Pinang, pelabuhan di Singapura, Taiwan, India dan akhir sekali bersama sebuah syarikat milik Kerajaan Brazil yang berpengkalan di perairan lautan pasifik.
Pekerjaan ini jugalah yang telah membawa Pak Din mengelilingi dunia dalam usia yang masih bertatang remaja. Bagi aku, Pak Din seorang yang sangat
hebat
dalam pengembaraannya sebagai pelaut yang berpengalaman.
Setiap kali Pak Din bercerita tentang kerja dan kapal, Pak Din sangat teruja dan ceria, penuh bersemangat dengan perkongsian pengalamannya, tetapi ada ketikanya Pak Din tiba-tiba diam membisu, seakan apa yang terucap itu sebagai titik noktah penutur kata. Mungkin banyak rahsia yang Pak Din pendam dalam sesetengah perkara yang tidak ingin beliau kongsikan.
Walaupun Pak Din berkelulusan tamat sekolah rendah, tetapi aku kagum dengan kemampuan Pak Din yang mampu bertutur dalam enam bahasa iaitu bahasa Cina, Inggeris, Portugis, Arab, Tamil dan Siam. Inilah kelebihan dan keistimewaan Pak Din selain mempunyai watak ceria dan selalu mengukir senyuman.
Pak Din pernah bercerita bagaimana kehidupan beliau semasa mudanya. “Hidup aku dulu penuh dengan keseronokan, aku tak pernah ingat nak sembahyang... apa lagi puasa...semua aku langgar masa tu, dalam diri ada rasa sesal tapi nafsu dan duit buat aku lalai dan tak ingat tuhan”
Itulah kata-kata Pak Din dengan nada penyesalan dan aku melihat genangan air mata seusai Pak Din berbicara. Itu kisah lama Pak Din. Pak Din pada ketika ini sangat jauh berbeza, Pak Din yang aku kenal kini bukan lagi Pak Din yang dahulu.
Di tanah haramain ini, hubungan aku dan Pak Din seperti sahabat, anak dan ayah, seperti juga kawan rapat sepasukan. Maklumlah Pak Din telah diamanahkan kepada aku sebagai penjaganya sepanjang tempoh kami dalam program ini. Bilik Pak Din juga bersebelahan dengan bilik aku setiap kali kami menginap di Madinah dan Mekah, jadi tiada masalah untuk kami bersama-sama pada setiap masa.
Sebagai petugas, menjadi tanggungjawab aku untuk pastikan semua keperluan asnaf dalam program ini mencukupi dan memberi keselesaan kepada mereka. Ya lah, Pak Din tidak pernah bersuara akan apa yang dia perlukan kerana sifatnya yang tidak suka menyusahkan orang lain.
Pak Din tak pernah minta untuk dipapah berjalan. Sedaya boleh, Pak Din akan cuba melangkah dengan sendiri. Pak Din juga tak banyak kerenah berkaitan makan, minum, tempat tidur dan sebagainya. Apa yang disediakan, Pak Din terima dengan seadanya.
Pak Din tidak pernah culas menunaikan solat di Masjidil Haram. Ada kalanya Pak Din berjalan bersendirian seawal jam 3 pagi untuk menunaikan solat subuh berjemaah dan seboleh-bolehnya dia akan beriktikaf selama waktu yang ada.
Semasa mula-mula tiba di Kota Mekah, Pak Din telah menunjukkan kesukaran untuk berjalan disebabkan pembekakan kelenjar dibahagian lipatan pahanya. Bengkak kelenjar Pak Din semakin membesar dari sehari ke sehari dan kesan ini menjadi semakin teruk sehingga hari terakhir kami di sini.
Walaupun dalam keadaan yang uzur, kecekalan dan kedegilan Pak Din tetap memberinya kekuatan untuk terus berusaha melangkah kaki dan menunaikan tuntutan umrah pada kali pertama. Pak Din juga mampu mengulangi umrah untuk kali kedua dan ketiga. Pak Din tidak pernah sekali pun merungut dan berkira-kira dengan kepayahan dan kesakitan yang dialaminya.
Agak lama Pak Din meluangkan masa untuk berdoa selepas solat subuh sebelum kami melakukan tawaf wida pada hari terakhir di sini. Raut wajah Pak Din menampakkan kesedihan dan pasrah, penuh harapan dalam mendapatkan pengampunan Allah.
Aku menyapu lembut air mata Pak Din yang menitis di pipi tuanya, tangan Pak Din aku genggam erat kerana kemampuan Pak Din untuk melangkah pada hari ini agak terbatas. Pada ketika ini, Pak Din diam dan tidak banyak bercakap seperti hari-hari biasa.
Sepanjang tawaf akhir ini, Pak Din tenang dalam bisikan doanya diiringi esakan dalam tangisan yang penuh emosi. Aku tersentuh dengan luahan bicara Pak Din kepada Ilahi yang merayu keampunan dan kemaafan, merintih rasa dan hiba.
Berbicara dalam bahasa Tuhan yang ringkas dan menusuk perasaan tetapi membawa kita kepada detik penyesalan dan keinsafan yang sangat bermakna. Terima kasih Pak Din kerana telah membawa aku dalam doa mu itu.
Selesai tawaf, Pak Din mengadu sakit di bahagian celah paha dan perut. Pak Din akhirnya meminta untuk ditolak dengan menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan sebelum kami berangkat pulang.
Kota Mekah kami tinggalkan dengan penuh pengharapan.
Pak Din demam selama seminggu selepas pulang ke Pulau Pinang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di salah sebuah hospital. Rawatan Pak Din berlanjutan selama 10 hari dengan keadaan kesihatan yang sangat kritikal.
Berita kematian Pak Din amat berat untuk aku terima, perasaan sedih dan tagisan mengiringi pemergian Pak Din pada ketika itu. Tiada lagi sahabat, ayah dan rakan sepasukan, semuanya menjadi kenangan yang tidak mampu dilupakan.
Semoga Allah menerima doa-doa yang Pak Din bisikkan dahulu, semoga Allah juga menerima taubat Pak Din dan menempatkan Pak Din dalam kalangan mereka yang beriman.
Pastinya penghujung hidup Pak Din yang penuh dengan kebaikan dan penyesalan dalam mencari redha-Nya serta taubat sebagai kunci penamatan dalam husnul khatimah. insyaAllah.
Pak Din, aku rindu...
Mohd Fizhan Mohd Soib, Haslinda Abdul Rahman and 39 others
6 comments
Like
Comment

Saturday, October 2, 2021

Dah Tak Minat

Ada org tanya, kenapa?

"sebenarnya dah tak minat. Lagipun ni dah masuk yang ke-3 kali... Dah malas nak pikir pasal tempat ni 24 jam sehari sebab aku pun ada kehidupan sendiri, itupun tak habis lagi nk cari. Kalau yg ada semangat tu, pegila...aku tak kacau"
Pandangan org ni beza, ada yg suka pangkat, ada yg gila duit dan ada yg nak cari akhirat. Yang pasti umur kita bukan lama...nk menjawab depan hari nanti bukan mudah.

Sunday, August 22, 2021

Nyawa Kedua (Catatan Sahabat)

Nyawa Kedua

Alhamdulillah, semuanya telah selesai dalam tempoh 11 hari dengan suasana yang sangat menekan, menduga fizikal dan mental untuk memenuhi ujianNya. Terima kasih kepada semua sahabat yang tidak putus-putus mengirim doa dan semangat, hanya Allah yang dapat membalas semua kebaikan.
Mulanya, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi sebahagian dari hitungan data statistik negara. Seperti juga dengan kawan-kawan lain, berasa sangat yakin tak kena, sangat yakin tak sakit, kita dah patuh SOP, kita dah pakai facemask, cuci tangan, jaga jarak dan tak pegi makan kedai mamak ramai-ramai, apatah lagi nak berkempen politik time2 pandemik, jauh sekali. Begitulah, rupanya Allah tutup fikiran kita supaya kita mangli dan tidak dapat meneka apa yang datang seperti kata pribahasa…‘geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau’.
Akhirnya kalah terduduk, sendu, gentar dan takut kerana berada dalam dua persimpangan, sedangkan bekalan amal tidak menentu tetapi dosa makin menebal. Jumlah kematian pun semakin meningkat dan setiap hari kita mendapat berita perginya orang-orang yang dekat dengan kita, persis hampirnya kematian itu kepada kita jua.
Selepas empat hari demam dan pada hari pertama di hospital, saya dikelaskan dalam stage 4 dengan tahap pernafasan ‘mintak nyawa’, sesak dan perit tetapi bukan ‘ditidurkan’, masih lagi bertahan dengan menggunakan bantuan peralatan pernafasan untuk beberapa hari. Badan dedar dan demam masih tidak kebah, ditambah dengan perkara wajib iaitu diarrhea dan sakit tekak yang melampau semacam dihiris-hiris, nak berwasap pun malas apatah lagi nak bercakap. Kalau bab hilang deria rasa dan bau, ianya tetap bermasalah walaupun bukan masalah besar kalau kita fikirkan untuk makan dan minum walaupun dengan hanya air suam sahaja. Bekalan Vitamin C, D, Zinc dan lain-lain dadah yang halal dan seumpamanya disediakan secara berterusan oleh KKM, cuma saya alah dengan vitamin C dan jadi masalah pula kepada badan untuk menerimanya. Air ketum? jangan berangan nak bawak masuk kerana ianya diharamkan…(peringatan utk semua, boleh didakwa di bawah Akta Racun 1952).
Apapun, pakej percutian COVID-19 ini menjadi rukun dan wajib diterima kalau dah masuk dalam kategori siri 4 dan 5, cuma kadarnya sahaja yang berlainan mengikut kemampuan masing-masing. Sebagai contoh, dengan mengambil kira tahap radang paru-paru antara mantan perokok tegar dan bukan perokok, perbezaannya adalah sangat ketara, seumpama membuat pilihan untuk hidup atau mati (Allah jua yang menentukan), tepuk dada tanya selera…
Sebelum ini saya telah lengkap mendapatkan 2 dos vaksin pada bulan Jun 2021, kalaulah kena atau tak kena penyakit, itu cerita lain, semuanya Allah dah tulis. Ambillah 16 dos atau seberapa banyak dos2 sekalipun, kalau dah ditakdirkan kena…terima ajelah. Bukan nak kata ‘beriman kepada vaksin’ tetapi mengambil vaksin atau ubat ini merupakan tindakan kepada pemahaman sebenar melalui perkhabaran hadis-hadis nabi yang sahih dan benar dengan memegang kuat tawakkal kepada Allah. Ya, tawakkal kepada Allah, bukan hanya berserah bulat-bulat tetapi perlu diiringi dengan usaha, kerana kaedah bertawakkal tidak membenarkan jalan mudah untuk melepaskan diri (escapism), tetapi tawakkal yang sebenarnya adalah tempat kembalinya segala usaha.
Percayalah, vaksin juga telah banyak membantu meredakan tahap siksa sakitnya azab COVID-19 dan dapat mengurangkan kes-kes kematian. Perkara ini bukan saya cakap tapi beberapa orang sahabat dalam bidang perubatan yang kata.
Walaupun hanya 11 hari tetapi masa yang dilalui begitu menginsafkan kerana saya disedarkan kembali betapa dahsyatnya nikmat kesihatan yang diberi. Saat beginilah kita diberikan peluang merasakan bagaimana kasad sebenar penyerahan hidup mati kepada al-Khalik. Saat inilah baru kita faham betapa ampuhnya doa-doa yang kita bisikan. Pada saat inilah, saya berasa sungguh bertuah kerana dikurniakan dengan nikmat yang tidak ada tolok bandingnya yang telah kita dapat iaitu kehidupan dalam beragama, satu nikmat yang paling besar dalam hidup kita di dunia dan akhirat, iaitu Islam.
Akhirnya… duduk menunggu dan seolah-olah diberikan nyawa kedua sebaik sahaja gelang dipotong.
Ikhtisarnya begitulah. Wassalam
12-22 Ogos 2021

Sunday, December 20, 2020

Posto Tak Laju

Sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran (posto) mengambil masa lebih 6 hari utk menghantar satu bungkusan berjarak 20km berbanding 1 hari bagi syarikat lain yg lebih kecil, dlm jarak dan pusat mel serta masa check in yg sama.

Apa dah jadi?. Kalau dulu2, pusat mel ini merupakan satu2nya perkhidmatan yg ada dalam negara dan menyediakan perkhidmatan yg mungkin OK (tiada pesaing dan kita terima seadanya). Isu kelambatan tidak menjadi masalah dan semua dalam kalangan kita menerima dengan senyum.
Harapnya pihak pengurusan atasan mel ini tidak melihat isu kelambatan atau "slow" sebagai perkara remeh dan tidak memerlukan penyelesaian segera. Andai nilai kerugian dikira sedikit kerana permintaan yg diperolehi adalah besar, tuan jgn lupa, tuan kini bukan lagi berseorangan dan boleh menganggap nk kekal dgn status quo, ada pesaing yg lebih kompeten dan lebih cekap dan cepat walaupun mereka tidak segah harta dan aset tuan.
Ambillah peluang yg ada sekarang ini, dengan banyaknya transaksi dan pembelian online untuk menambah kecekapan perkhidmatan.
Mungkin tuan telah mengenalpasti kekangan dan permasalahan di peringkat operasi, apa lagi? Segerakan perubahan supaya pihak syarikat tidak mengalami kerugian secara senyap. Cuba tuan fikirkan, dalam satu situasi, syarikat lain telah membuat transaksi penghantaran selesai sebanyak 4 kali berbanding pihak tuan hanya sekali. Bermakna tuan telah terkebelakang dalam mengejar keuntungan dengan nilai 4. Bayangkan dalam nilai ringgit, sekiranya syarikat lain telah membuat jualan bulanan sebanyak 1 juta, tuan hanya membuat 250K sahaja. Utk setahun? Berapa besar kerugian tuan dalam perkara ini.
Berubahlah kepada standard yg lebih baharu dan melangkau persaingan pihak lain, tuan belum terlambat untuk menilai dan mengukur semula pelan perancangan supaya lebih cekap dan menambat semula hati pelanggan. Tuan masih belum terlambat kerana persaingan dalam perniagaan ini semakin penting dan sedang meningkat naik. Tapi awas!! Tuan perlu berhati2 dengan zon selesa dan pemasaran dari mulut ke mulut pelanggan, kerana pemasaran dari mulut ke mulut yg kini terlalu meluas melalui socmed akan memberi kesan negatif berganda
hebat
kepada pembekal perkhidmatan.
Akhir sekali, maaf saya katakan bahawa saya telah mangli dengan nama tuan iaitu "Poslaju" yang sebenarnya tidak laju.
Sekian.

Friday, June 7, 2019

Raya ke-3

Sengaja bekerja pada hari raya ketiga. Masa masuk tadi jam lebih kurang 7.40 pagi, so boleh balik dalam 4.40 petang.  Sepanjang menunggu lebih kurang 9 jam di pejabat, aku siapkan 2 tugas utama. Yang pertama, siapkan teks ucapan TPM untuk program di Sarawak pada 29 Jun nanti. Semua dah siap dan telah diemelkan kepada Bahagian BKS.  Yang kedua, kena printkan tugasan Calif.

Solat jumaat tadi di Masjid Putra, Putrajaya.  Jemaah penuh dengan warga asing yang ambil kesempatan untuk beristirehat sempena cuti raya pada kali ini.

nak balik dah..

Monday, June 3, 2019

Mencari LailatulQadar

Hari ni, Isnin 3 Jun 2019 bersamaan dengan 29 Ramadan.  Malam tadi merupakan malam akhir untuk bertemu malam LailatulQadar. Esok dah last puasa dan malam nanti, malam yang ke 30. Bila kita bincangkan mencari malam LailatulQadar, ramai antara kita akan berebut-rebut mendapatkan peluang itu kerana nilai amalan malam ini adalah lebih 1000 bulan.  Satu jumlah yang sangat besar kepada kita semua, sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharapkan ofer yang baik dari pencipta kita, Allah.

Kita sangat berkira-kira dengan Allah bila ada ofer sedemikian dariNya.  Kenapa kawan kata kita sangat berkira-kira? jawabnya, kerana kita suka ambil shortcut kepada sesuatu yang menguntungkan tanpa berusaha dengan sepenuhnya.  Kita suka cepat kaya tanpa berusaha, kita suka benda free dan suka perkara yang senang tapi menguntungkan, sehingga dalam amalan dan penyembahan kepada pencipta kita, kita masih berkira-kira.

Maksud kawan, Allah tawarkan kemudahan dalam ramadan untuk kita beramal dan mencari sesuatu yang sangat berharga tetapi Allah juga menawarkan malam-malam hari kepada kita sebelum ramadan iaitu dalam rajab dan syaaban.  Bagi kawan, usaha untuk mendapatkan ganjaran 1000 bulan bukannya suatu yang mudah sekiranya kita hanya menumpukan kepada malam-malam akhir pada tanggal ganjilnya ramadan.  Kita suka sangat mencari jalan mudah dan singkat untuk mendapatkan sesuatu yang menguntungkan kita, kita lupa nak berusaha dan memberikan komitmen dan istiqamah untuk mendapat ganjaran 1000 bulan.

Bagi kawan, kita perlu berusaha jauh lebih banyak dalam rajab dan syaaban untuk mendapat ganjaran ramadan.  Tawaran Allah dalam ramadan sebagai penggalak untuk terus berusaha dan berusaha sampai ke akhir ramadan dan mula semula pada enam syawal.  Seterusnya bulan-bulan mendatang sebagai persediaan untuk seterusnya rajab dan syaaban dan lain-lain bulan dalam kitaran setahun itu.

Wednesday, May 15, 2019

Jelajah Kasih CSR Asnaf 1440H


Pengalaman kali keempat mengerjakan umrah dan ziarah pada 27 April hingga 8 Mei 2019 di Tanah Suci Mekah dan Madinah merupakan peluang yang diberikan Allah.  Kawan percaya semuanya atas kehendakNya kerana kawan tidak putus berdoa untuk ke sana.  Allah memakbulkan doa.  Pemergian kali ini sangat berbeza kerana kawan pergi dengan matlamat untuk bertugas bagi menyantuni klien jabatan yang dipilih berasaskan kalayakan sebagai asnaf dengan tajaan sepenuhnya oleh syarikat Andalusia Travel & Tours kepada lebih 480 orang.

Pelbagai rencah pengalaman dalam bertugas kerana kebanyakan asnaf terdiri daripada mereka yang telah berumur dan mempunyai tahap kesihatan yang kurang. Kawan ingat lagi nama-nama satu kumpulan dengan kawan.  Kami dibahagikan kepada 12 buah bas dengan nombor masing-masing.  Kawan di dalam bas bernombor 9 dengan asnaf seramai 42 orang termasuk seorang mutawwif, pembantu mutawwif, dua orang sukarelawan dan dua orang petugas.  Nama seperti Pak Mad, Pak Man, Pak Su, Pak Din sentiasa dalam ingatan kerana mereka ini memberikan kesan kepada kawan sepanjang berada di sana.  Pak Mad dan Pak Man orang Johor dan kuat beribadat di Masjidilharam dan Masjid Nabi.  Pak Su rakan sebilik kawan, juga tidak pernah tinggal solat di masjid dan dia ada hadiahkan kawan kopiah putih.  Pak Din dari Kedah pula mempunyai kisahnya sendiri, dari mula tawaf pertama hinggalah kembali pulang di KLIA, kawan pegang dan papah dia, kerana Pak Din sakit celah paha, katanya ada tiga telur lebih…hahahaha (sakit kelenjar kot, bengkak dan menyukarkan dia berjalan.  Pernah kawan tolak dia menggunakan kerusi roda semasa lawatan dan ziaran di masjid nabi)

Banyak sangat pengalaman bertugas di tanah haram ini.  Ianya berbeza dengan datang untuk beribadat dan datang untuk bertugas, satu pengalaman yang memberikan keseronokan dan memenatkan.

Wednesday, May 16, 2018

Belum Lagi

Kawan bukan minat atau fanatik sangat dengan DSAI yang baru dibebaskan dari penjara pada hari ini.  Sambutan penyokong beliau masih ramai dan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat.  Semasa sesi media pada awal tengahari ini, DSAI masih seperti dahulu, nampak bersemangat dan ucapan beliau masih tidak berubah.  Itulah DSAI.

Dalam manisfesto Pakatan Harapan, salah satu janji yang hendak dilaksanakan adalah melantik DSAI sebagai PM Malaysia dalam masa terdekat.  Kawan berpendapat, pelantikan DSAI sebagai PM Malaysia masih belum boleh dilaksanakan, maksud kawan, masih belum sesuai.  Tidak semua orang yang menyokong Pakatan Harapan menyukai DSAI dan memberi undi kepada beliau.  Faktor Tun M merupakan faktor utama kepada kemenangan PH dalam PRU 14.  Dalam masa setahun dua ini, tangguhlah dulu dan bersabarlah dahulu.  Menunggu kesesuaian waktu dan peralihan kuasa benar-benar berlaku dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Perubahan yang berlaku adalah kerana Allah telah hadirkan Tun M dalam kumpulan ini, dan merubah segalanya.

Monday, May 14, 2018

PH Menang

Pilihanraya 14 pada 9 Mei 2019 (Rabu) telah berakhir.  Keputusan PRU yang pertama kali menyebelahi pihak pembangkang dan membolehkan mereka membentuk kerajaan.  Bagi kawan, faktor utama adalah matlamat untuk mengalahkan seorang sahaja itu mantan PM Najib yang penuh dengan skandal kewangan, keduanya adalah faktor Tun M sebagai ketua pembangkang.  Kedua-dua faktor ini menyebabkan BN kalah teruk dan hilang semua kepercayaan rakyat untuk menyokong mereka.

Bagi kawan, semasa menanda kertas undi (pangkah), boleh dikatakan pemilih tidak melihat siapa calon, tidak melihat kepada keturunan atau kaum dan tidak melihat kepada lambang apa yang dipakai tetapi turun mengundi untuk membuat pilihan supaya mantan PM Najib dijatuhkan. Bagi kawan, ini adalah cara yang paling baik dan gentleman kepada semua rakyat Malaysia untuk menamatkan tempoh kuasa pemimpin yang tidak disukai mereka.

Kepada yang menang, perubahan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja untuk menang lagi atau kalah selepas ini.  Buat kerja sehabis usaha dan jangan menipu.  Rakyat akan hukum pemimpin yang korup dan tidak telus.

Friday, May 4, 2018

Salah Perkiraan

Semasa hari pendaftaran kemasukan Iman ke program Foundation UTM minggu lepas (26 April 2018), kawan perhatikan bahawa kaum melayu yang berdaftar hanya dalam 30% sahaja.  Dari jumlah keseluruhan dalam kelas Iman, terdapat 49 orang pelajar dan sejumlah 10-13 orang adalah pelajar melayu, peratusan kurang lebih antara 20-25% sahaja. Hampir keseluruhan, 70% adalah pelajar kaum Cina dan India dan selebihnya dari warganegara asing yang turut sama dalam program ini.

Berdasarkan kepada peratusan jumlah pelajar, adakah perlu kita katakan bahawa minat pelajar, khasnya kaum melayu dalam bidang kejuruteraan semakin kurang? jawabnya tidak.  Adakah kelayakan pelajar melayu untuk mengikuti program ini tidak mencapai syarat kelayakan? jawabnya tidak.  Adakah pelajar melayu tidak melihat program ini sebagai program utama dalam pemilihan mereka? jawabnya tidak.  Adakah ibu bapa pelajar melayu sangat berkira-kira dengan sumber wang sehinggakan menunggu peluang lain yang memberikan imbuhan? jawabnya, mungkin ya. Tetapi yang menjanjikan imbuhan ini adalah yang lebih susah dan lebih banyak persaingan, akhirnya peluang kemasukan pada masa hadapan semakin sempit.

Ringkasnya, pelajar-pelajar melayu bertindak seperti syok sendiri;

1. Mengambil kira kelayakan yang minimum, mesti kalah bila yang memohon adalah orang lain yang mempunyai nilai merit yang maksimum.

2. Syok sendiri dengan kejayaan. Sedangkan ada lagi orang lain yang lebih berjaya dan mempunyai keputusan peperiksaan yang sangat-sangat cemerlang.

3. Persaingan mereka yang sangat-sangat cemerlang dalam merit dan kelayakan akademik menghalang mereka yang agak-agak cemerlang dan cemerlang.

4. Tempat yang sangat terhad, mereka yang sangat-sangat cemerlang pun tidak layak kerana ada lagi yang lebih cemerlang dari sangat-sangat cemerlang.

5. Kurang bertanya. Tidak mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan dengan sesuatu program pengajian sehinggakan gagal dan terpaksa mengikuti program yang tidak diminati.

6. Beberapa kesilapan lain yang kawan belum senaraikan ... cuma kawan harap pelajar melayu janganlah salah perkiraan dalam membuat keputusan.