Monday, November 25, 2013

KL - JB

"Perjalanan ulang alik yang terakhir antara JB dan KL yang ditempuh selama hampir tiga tahun" itu kata hati, nasib masa hadapan tidak aku tahu sama ada akan terus berulang alik ataupun akan terus tinggal menetap di Johor Bahru.

Jarak 320 kilometer bukan satu jarak yang dekat, memakan masa lebih 3 atau 4 jam untuk perjalanan sehala sahaja. Kalau difikirkan penat, semestinya telah mangli dan bak kata pepatah "alah bisa tegal biasa". Biasanya perjalanan ke KL bermula selepas waktu pejabat dan akan tiba di rumah pada jam 10 malam.  Dari KL pula, aku akan mula bergerak dari rumah pada jam 2 pagi kerana jalan tidak sesak dan pemanduan pun berjalan lancar, cuma perlu lebih berhati-hati kerana pemandangan sebelah malam adalah sangat terhad yang hanya bergantung kepada sumber cahaya lampu kereta dan lampu jalan sahaja.

Hati berkata bahawa perjalanan kali ini adalah yang terakhir untuk aku berulang alik setiap minggu, walaupun kadang-kadang seperti menjadi satu keseronokan untuk memandu dalam jarak yang jauh. Kadang-kadang je yang menjadi seronok tetapi kebanyakan waktu tidak menyenangkan.

Pengalaman sepanjang tiga tahun memandu JB ke KL dan ke JB semula, mencatatkan pelbagai pengalaman dan peristiwa yang tidak dapat dilupakan seperti terlanggar serpihan tayar lori sehingga menyebabkan kereta aku rosak dibahagikan hadapan, tayar pancit pada sebelah malamnya dan terpaksa menukar tayar seorang diri di tepi lebuhraya dalam keadaan gelap, terpaksa juga tidur di tempat RR seorang diri dan terdedah kepada bahaya. Bermacam-macam lagi yang aku alami sepanjang tempoh tersebut.

Semuanya menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak ternilai harganya.

No comments: