Wednesday, November 20, 2013

Doa

Aku sangat yakin dengan makbulnya doa. Selama dua minggu menjalankan tugas luar memilih kakitangan untuk pengisian jawatan, sangat banyak pengajaran yang aku telah perolehi daripada setiap calon yang hadir temu duga. Pelbagai keletah dan perangai yang ditunjukkan oleh setiap individu dengan cara yang tidak sama.

Doa? Kenapa aku tuliskan doa dan pengalaman setiap calon? Barangkali terlampau dekat perkaitannya kerana aku percaya setiap calon yang hadir temu duga pada dua minggu lepas telah berdoa kepada yang Maha Esa, Allah.

Pastinya mereka percaya bahawa doa mereka akan diperkenankan oleh Allah, bezanya hanyalah tahap keyakinan setiap individu tidak sama semasa merintih belas dan berdoa. Dan Allah berikan kepada mereka yang  yakin dengan doa mereka, Allah tunaikan kepada mereka yang telah berdoa dengan penuh miminta dan belas, Allah telah makbulkan doa mereka yang penuh menaruh harapan untuk jawatan yang dimohon.  Aku percaya bahawa Allah telah makbulkan doa setiap calon yang berdoa pada masa tersebut.

Siapa yang Allah telah makbulkan adalah kepada mereka yang bersungguh dalam usaha dan meminta kepadaNya.  Tidak mustahil apa yang dikehendaki oleh Allah.  Kepada siapa yang bersungguh dan berusaha, Allah telah makbulkan doanya.  Usaha yang datang bersekali dengan doa, pasti akan menampakkan kejayaan.

Kepada calon yang telah terpilih untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam, khususnya kepada mereka yang aku telah temu duga pada dua minggu lepas, tahniah kerana anda telah berjaya dan semuanya adalah kehendak Allah kerana doa anda semua telah ditunaikan olehNya. Kepada calon yang gagal, bukan Allah tidak menurut kemahuan anda, bukan anda tidak berusaha dengan bersungguh dan gagal dalam berdoa tetapi Allah tidak tunaikan lagi pada ketika doa anda.  Allah datangkan ujian dengan penuh rahmatNya kepada kita semua.

Allah tetap mendengar setiap doa yang kita minta.


No comments: