Wednesday, November 27, 2013

Janganlah Mendesak

Telah dijelaskan dalam penulisan yang lepas, mengenai perkara yang boleh dimaksudkan sama dengan tajuk pada penulisan ini. Perkataan "mendesak" merupakan perbuatan yang diasaskan kepada kata asas "desak" yang boleh juga difahamkan dengan satu perlakuan yang melampau dalam meminta sesuatu perkara terhadap orang lain.  Dan pastinya lawan kepada perkataan "desak" adalah sederhana dan "desak" itu sendiri menunjukkan ianya memerlukan kawalan dan seseorang perlulahbersikap sederhana (dalam erti perbuatan untuk tidak mendesak) untuk mengelakkan konflik.

Pihak yang mendesak pasti juga tidak menyenangi dengan sebelah pihak yang didesaknya.  Ini barangkali pihak yang mendesak atau pendesak tidak mengetahui bahawa dia sedang melalukan desakan kepada yang didesak. Begitu jugalah, boleh dikatakan bahawa yang didesak akan merasakan satu perasaan rimas dan meluat dengan apa yang diperlakukan terhadapnya.

Kedua-dua pihak semestinya akan merasa tidak selesa semasa berkomunikasi dan situasi ini akan diterjemahkan melalui beberapa perkara seperti pilihan perkataan semasa berkomunikasi, nada suara, minat dan masa yang diperuntukkan serta topik perbualan yang lain daripada kebiasaan. Alasan demi alasan akan diberikan semasa komunikasi tersebut yang boleh disifatkan sedang mengalami konflik.  Pada masa ini juga kedua-dua pihak seboleh-bolehnya tidak akan cuba untuk mengalah dan akan cuba mencari kesalahan sebelah pihak yang lain.  Perkara ini akan menjadi lebih rumit sekiranya komunikasi ini diteruskan.

Semua pihak akan merasakan komunikasi yang tidak dapat difahami atau diselesaikan (mencapai keputusan) Apa yang boleh dilakukan adalah menamatkan perbualan tersebut dengan kadar segera. Walaupun dengan penamatan perbualan tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi, dan penamatan tersebut tidak memenangkan pihak yang menamatkan perbualan tetapi kedua-dua pihak perlu dan boleh berhubung semula dengan cara yang lebih baik.  Jika sekiranya tidak mampu untuk meneruskan komunikasi dengan perbualan atau bersemuka, tulislah surat atau hantarkan emel dan jelaskan perkara sebenar.

Betul ke?



No comments: