Tuesday, September 23, 2014

Keje Sampai Bila PunTak Habis

Membaca "status update" seorang sahabat lama yang menulis "Keje sampai bila pun tak habis :(",  lantas teringat kepada satu peribahasa melayu yang berbunyi " Apa peduli pada kukuran, nyiur juga yang akan habis" atau juga begini "Apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa"

Kedua-dua peribahasa ini mempunyai makna yang sama, amnya tidak berkait dengan sebarang tugas atau kerja secara khusus tetapi maksud yang difahami oleh kita adalah seperti ayat ini : "sememang mudah menyuruh berbuat begini begitu, tetapi yang sukar ialah yang mengerjakannya"


Dalam situasi ini, samada kita berada dalam kategori untuk menyuruh melakukan kerja atau melaksanakan kerja.  Sebahagian besar daripada kita berada dalam tanggungjawab untuk melaksanakan kerja yang diarahkan oleh pihak atasan. Malah, dalam setiap kerja yang dilaksanakan juga terarah kepada arahan dan peraturan yang difahami, samada ianya dicatat sebagai satu dokumen peraturan dan panduan atau difahami sebagai ikatan dalam kehidupan.


Kerja sendiri?, mempunyai syarikat dan kepentingan dalam sesebuah perniagaan?...juga memerlukan kepada arahan dan peraturan.  Andainya menganggap peraturan dan arahan ini menyusahkan, pinda sahaja kepada yang memudahkan, tidak perlulah kita obses, Ianya bukan undang-undang Tuhan yang tidak boleh dipinda, ianya bukanlah sebuah kalam Allah yang tetap kekal dan menjadi pedoman sepanjang masa.  Ianya adalah sebuah peraturan kerdil dan arahan yang dicipta oleh diri kita...pindalah kepada yang memudahkan.


Namun, sebarang perubahan yang dibuat hendaklah mematuhi dan berpegang kepada kepercayaan kita yang berteraskan kepada moral dan pertimbangan agama dalam melaksanakan sebarang bentuk kerja atau amanah yang dilaksanakan.  Waima sekalipun itu adalah hak kita dan perniagaan kita, tetapi rezeki yang diberikan adalah milik Dia. Kita wajib menguruskannya dengan bijaksana dan amanah, mematuhi peraturan dan panduan yang telah ditetapkan.


Jika semuanya kita patuhi dan faham akan kedudukan kita disisiNya, balasan kebaikan itu adalah syurga.  Kerja yang kita buat sememangnya tidak akan habis sampai bila-bila..selagi ada nyawa dan ruh, ada matahari yang memberikan sinarnya, ada malam dan ada siangnya yang berselisih masa, ada hari dan tahun yang dihitung...maka selama itulah kerja yang dilakukan tidak akan habis.  


Senang cakap...."Pergilah bercuti untuk menangguhkan seketika kerja-kerja kita,... InsyaAllah"

No comments: