Thursday, October 2, 2014

Naik

Ramai yang melatah dan naik minyak disebabkan subsidi minyak diturunkan, dan secara tidak langsung harga minyak akan naik.  Satu perkiraan matematik mudah dan difahami oleh semua orang yang bersekolah.  Masing-masing berkira-kira kemana duit RM0.20sen itu pergi...membuat tohmahan dan adakalanya seperti fitnah memburukkan pihak lain dalam pengurusan kewangan negara.

Masing-masing menjadi pakar segala minyak disebabkan kenaikan harga sebanyak RM0.20sen, pelbagai hujah dan tuduhan serta kutukan (maaf ye...pujian tiada dalam hal ini) dibuat ke atas pemimpin negara kerana bertanggungjawab terhadap perkara ini, dan disimpulkan bahawa semuanya adalah kesilapan kerajaan yang memerintah. Menimbal semula slogan "rakyat didahulukan...
pencapaian diutamakan..., membuat provokasi dan menjadi viral dalam media sosial.

Ramai orang yang mengambil kesempatan untuk mengeji dan menjadi hero perjuangan politik, atau hero dalam memperjuangan apa yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka hanya berbekalkan ilmu bualan yang diperturunkan melalui media masa, kedai kopi, blog-blog dan sebagainya...tidak kurang juga melalui ruangan chatting seperti WhatsApp, Telegram, Wechat dan pelbagai punca yang boleh dilayari pada masa kini.  Kalau tidak berhati-hati, ruangan ini boleh diterjemahkan kepada ruangan penuh fitnah dan bercampaur baur dengan ruangan yang begitu mudah untuk kita mendapat dosa.

Melihat semula suatu ketika dahulu, harga minyak kenderaan (petrol) pada tahun 1988 adalah sebanyak RM1.30, berbanding kini RM2.30.  Lebih 26 tahun dengan kenaikan sebanyak RM1.00. Adakah kenaikan itu memberikan tekanan kepada kebanyakan mereka yang ada sekarang? Harga rokok juga terus mendadak dan melonjak melebihi 500% sejak 26 tahun lalu...begitu juga dengan harga beras dan makanan asas yang menjadi keperluan masyarakat Malaysia.  Semuanya menaik dan tidak pernah menurun. Secara asas ekonominya, pendapatan rakyat juga semakin meningkat dan ramai ahli perniagaan yang kaya raya... Pemahaman dalam ekonomi sangatlah mudah berkenaan dengan turun naik harga.  Pasaran masa kini lebih global dan memerlukan sumber modal yang besar untuk menggerakkan ekonomi negara.  Kalaulah kita masih berada ditakuk lama dengan berharapkan modal lama...pastinya ekonomi negara kita akan terus tenggelam dalam pasaran semasa.

Apa salahnya kita berkorban untuk menyumbang hanya RM0.20 kepada negara dalam merancakkan lagi ekonomi sedia ada? Kita boleh menganggap, RM0.20 didermakan kepada mereka yang susah dan memerlukan bantuan.  Sekadar mengorbankan RM1.00 dalam tempoh 26 tahun, ianya sesuatu pengorbanan yang terlampau kecil.  Anggaplah RM0.20 tersebut digunakan oleh Tabung Haji untuk menghantar Jemaah Haji ke Mekah setiap tahun yang hampir separuh tambang bagi kos penerbangan mencecah RM20ribu kepada setiap Jemaah, kita hanya membayar separuh sahaja. Banyak lagi anggapan yang boleh kita terjemahkan dalam memberikan persepsi positif dengan kenaikan RM0.20sen ini...sekolah, bantuan kebajikan, modal perniagaan, biasiswa kepada mereka yang berusaha (bukan yang malas nak sekolah dan buat huru hara), pekerjaan, kemudahan internet, bantuan kaum india yang mencecah puluhan juta (khusus)...(org lain ada?) dan sebagainya.

Biasalah, kita semua hendakkan keuntungan yang besar dan banyak dalam masa yang singkat, tapi pengorbanan pun perlulah mengikut jajaran matematik dengan betul.  Berfikirlah secara lebih luas dan makro untuk melihat secara keseluruhan, bukan hanya melihat untuk sebahagian sahaja, atau melihat hanya kepada diri sahaja, sesedap rasa diri kita.  Fikirkanlah..berapa ramai yang menipu dalam menunaikan cukai dan zakat?..ianya merupakan tanggungjawab kita kepada negara, setiap sen yang kita dapat, adakah ianya halal? sekiranya sedikit cukai tidak dilaksanakan?

Molek sangatlah, kita berkorban untuk berikan sedikit kepada mereka yang memerlukan, anggaplah sebagai sedekah selama mana harga itu dinaikkan.  Bagaimana lagi kita untuk membuat kebaikan sesama manusia? andainya sedikit pemberian ini tidak boleh dilakukan.  Tak usahlah bercerita tentang kejayaan dan keuntungan yang telah diperolehi andainya sedikit keperluan kepada yang susah ini tidak dapat kita redhakan. Soal pengurusan negara, kita serahkan kepada mereka yang telah ditentukan Allah untuk memimpin, tugas dan tanggungjawab mereka adalah kepada masyarakat dan Tuhan mereka.  Besar kesilapan mereka, maka besarlah hukuman yang mereka terima, bukan mudah untuk memimpin dan Allah sahajalah yang telah menentukan semuanya.  Dengan sekelip mata sahaja, Allah boleh jatuhkan sesiapa sahaja yang Dia mahukan.  Hentikanlah sengketa sesama agama dan bangsa antara kita, andainya kita masih mempunyai sifat dengki dan hasad, hentikanlah, sedikit kesilapan dan salah masih boleh dimaafkan.

Aku bukan menyokong siapa yang salah jua yang tidak benar.  Cuma kita harus berkata kepada yang benar dan istiqamah dalam berprasangka baik dengan orang lain.

No comments: