Friday, February 28, 2014

Pendaki dan Talinya

Semalam, terbaca satu artikel yang sangat kreatif dalam mengalihkan pemikiran kita kepada perkara yang berbeza, salah satunya adalah, memberi kehidupan kepada benda yang tidak bernyawa.  Dan, apa yang boleh aku garapkan adalah seperti berikut...

"Dia berpegang pada tali untuk berpaut dari terjatuh ke jurang yang begitu dalam.  Dalam hatinya ada perasaan curiga terhadap kemampuan tali tersebut, fikirannya masih keliru dan berbisik tentang keampuhan tali untuk menjamin dirinya dari terjatuh.  Dalam fikirannya juga berkata, sekiranya terjatuh pada kali ini, pasti dirinya akan mati kerana jurang terlalu dalam dan dibawahnya penuh dengan batu-batu keras dan tajam.

Dia memegang tali dengan erat dan kemas, seolah tiada akan putus.  Cuma dalam hatinya masih tidak pasti dengan simpulan tali tersebut.  Seterusnya dia mengambil langkah berhati-hati dan penuh persediaan dengan menyiapkan tali lama sebagai penahan dan pemegang yang diikatkan pada pinggangnya, agar tidak terus terjunam sekiranya tali pertama putus, malah masih boleh berpaut kepada tali kedua yang kuat diikat pada badan.

Tetapi…tali pun sudah pandai berkata-kata dan mula mempersoalkan tindakan dia yang begitu.  Kenapa dijadikan ikatan pendua sekiranya tali pertama masih dipegang olehmu?, bukankah kamu telah mengkhianati tali pertamamu?, bukankah itu juga menunjukkan dirimu seorang yang tidak ikhlas dengan tali pertama dan bertindak atas kepentingan dirimu?.  Apa pula perasaan tali pertama sekiranya mengetahui tindakan mu ini? Kamu bergantung penuh dengan tali pertama tapi masih menyimpan tali kedua sebagai ikatan?, kalaulah begini, andainya tali kedua menjadi tali pertama, tali kedua sanggup putuskan diri sendiri agar dirimu jatuh terjunam dan mati menghempas kerasnya dan tajamnya batu. 

Namun begitu, hasrat tali kedua bukan begitu, ia tidak menjadi tali pertama dan tidak akan menjadi jua walaupun bentuknya sama.  Tali kedua ikhlas membantu mu sehingga kamu berjaya berpaut dan menyimpul ikatan yang kukuh dan ampuh. Kelamaan kamu juga akan melupakan tali kedua kerana tali kedua telah lama putus dek ikatannya sungguh lemah dan lama…lepaskanlah tali dipinggang mu agar dia jatuh ke bawah dan menghempas batu yang keras dan tajam”

Walau bagaimanapun, tali bukan seperti manusia yang boleh berkata-kata dan mempunyai perasaan. Tali adalah tali. 

Wednesday, February 26, 2014

Rindu



“Abah!.. Calif rindu mama (sambil menangis)”

“Calif kena sabar dan jangan nangis...budak laki mana biasa nangis, semua orang rindukan mama, Riad dan Iman pun rindukan mama, abah pun rindukan mama...semua orang rindukan mama, abah tak boleh buat apa-apa…abah harap Calif kuat dan tak nangis dah. Calif kena pergi sekolah dan belajar pandai-pandai macam kakak dan abang, Calif kena rajin tunaikan solat dan selalu doakan untuk mama…Calif jangan risau, abah ada utk jaga calif sampai calif besar. OK…dah… jangan nangis lagi”

“OK abah…tapi… calif rindu mama lagi (masih teresak-esak)

Aku diam. Hanya Allah aku berserah.

Kawan

Bukan semua orang suka mendengar kejayaan kita.  Setiap kebaikan yang dibuat akan dikata, umpat dan kutuk.  Bila berdepan, mulut manis macam gula..dibelakang, difitnah dan berterusan menikam dari belakang, kerana ramai yang suka melihat orang lain gagal.

Ramai kawan tapi ramai jugak yang menipu kawan, semuanya kita telah buat sehabis baik untuk menjaga dan menyenangkan hati kawan…dibalasnya dengan tuba dan kata nista, didepan kita penuh dengan tipu daya. Itulah resam dunia, ada yang tertipu dan ramai juga yang menipu.

Bagaimanapun, senyumlah dan berbahagialah, lupakan kawan yang sedemikian. Kesakitan sekarang tidak setara dgn kenikmatan yg bakal diperolehi disana kelak. Insyaallah.

Berilah Lagi

Kita selalu mengalah dalam semua perkara sehingga ada pihak lain yang mengambil kesempatan atas peluang dan kebaikan yang kita berikan.Terlalu banyak memberi menyebabkan orang lain akan “naik lemak” dan terus meminta-minta sehingga kita sendiri tidak tahu sejauh mana bekalan yang ada. 

Yang telah diberi betapa susah hendak ditarik balik, waima sekalipun bukan hak mereka, yang haram sekalipun masih mahu dimiliki, inikan pula yang percuma, semakin lama, semakin berkehendak dan melampau.

Pihak yang ramai mendapat sedikit habuan daripada kekayaan yang ada, kerana yang sedikit sangat berani dalam memperjuangkan kehendaknya walaupun bukan hak mereka.  Kenapa yang ramai masih takut dengan sedikit sedangkan hak sebenar adalah kepada mereka yang ramai? 

Dek kerana kuasa yang belum tentu dapat menjamin masa depan, maka banyaklah pemberian yang hanya melepaskan tekanan untuk sementara sahaja dan pastinya belum jelas memberikan impak kepada pembangunan negara.  Apa yang pasti pembangunan negara mesti diteruskan sehingga sampai bila-bila pun dan bukan sekadar memenuhi kuasa politik sahaja.

Kita perlu bertegas dalam tindakan kerana kesan yang dijelmakan melalui perbezaan politik sangat menghampakan dan meruntuhkan negara itu sendiri.  Tegas dengan identiti yang kita ada dan bukan terperangkap dan menjerat diri sendiri dengan konsep politik yang diuar-uarkan kepada semua.

Tuesday, February 25, 2014

Apa Yang Ada

Apa yang ada, itulah yang kita berikan.  Sekiranya tiada, tiada kita berikan.  Satu kenyataan yang sungguh mudah difahami dan boleh berlaku kepada semua orang.  Walaupun seseorang tanpa niat untuk memberi, namun jika pemberian yang dimaksudkan itu adalah melalui tutur kata, sikap, sifat, pelakuan, tingkahlaku, perangai dan seumpamanya yang ditonjolkan dalam diri, maka itulah yang kita akan berikan.

Berkata dengan sopan dan rendah diri atau sebaliknya adalah satu pemberian.  Senyuman juga satu pemberian, marah, menghina, menghukum, mengumpat, kejian, tohmahan, fitnah dan pelbagai yang buruk dan baik jua adalah pemberian.  Jika buruk pemberian tersebut, maka dalam diri kita penuh dengan keburukan tersebut.  Jika baik pemberian, maka baiklah yang ada dalam diri kita.



Doa juga adalah pemberian. Mendoakan seseorang merupakan sebaik-baik pemberian. Untukmu, aku doakan dengan diiringi Alfatihah, dan aku letakkan tangan kananku  didada agar dirimu mengingatiku selalu... Brasilia 19.2-2.3

Sunday, February 23, 2014

Brasilia 19.2-2.3

Sebahagian ruang dalam diri ini menjadi kosong bila engkau tiada. Rindu menikam jiwa, menusuk ke dalam dada dan mencengkam setiap saraf tubuh ini.  Tubuh menjadi lemah, tidak berupaya tanpa tenaga, senyap tanpa bicara dan kata, menjadi bisu dan berdiam diri. 

Tidak mendengar apa jua kemerduan suaramu lagi, malah aku sengaja pekakkan telinga ini untuk tidak mendengar suara siapapun, hanya dirimu.

Sebelum engkau pergi, matamu bergenang dengan airmata, mencium tanganku dan aku membalas dengan mengucup dahimu.  Dalam hati ini memohon kemaafan darimu, malah aku juga telah lama memaafkan mu.  Aku sangat menyayangimu kerana kasih sayang dan cinta kita adalah kerana untuk mendapat keredhaan Allah.

Aku jua redha atas apa yang berlaku.

Jika engkau pergi untuk selamanya, engkaulah yang pertama yang akan memegang erat tanganku memimpin ke syurga Allah kerana kerendahan hati dan kemuliaan dirimu.  

Aku sangat merinduimu.

                                      

Friday, February 21, 2014

Sempurna

Tiada siapa yang sempurna.  Menilai sesuatu perkara kepada kesempurnaan adalah penting supaya pilihan menjadi tepat dan tidak tersalah pilih.  Namun, kesempurnaan yang dilihat akan mengakibatkan pilihan tidak dapat dibuat kerana kesempurnaan akan terhad dengan ciri-ciri dan faktor-faktor yang hanya diingini sahaja.

Kesempurnaan menyebabkan perkara lain akan tertangguh dan terlewat dilaksanakan.  Kesempurnaan menyebabkan perbezaan antara dua perkara menjadi lebih besar dan akan menyukarkan persamaan. 

Sifat yang terdapat dalam perbezaan dan penangguhan adalah berlawanan dengan ciri yang dimaksudkan dalam kesempurnaan kerana ciri tersebut adalah ketidaksempurnaan.  Maka, dalam membuat pilihan atau apa sahaja yang melibatkan penilaian, pastinya tiada kesempurnaan.

Dimana kesempurnaan?.  Jelasnya, kesempurnaan hanyalah satu keputusan yang dinyatakan oleh individu sahaja, ianya seperti satu perasaan dalaman individu terhadap perkara yang dilihatnya dan tidak menjangkau individu lain. Ianya juga berbeza antara satu sama lain. Jadi, tiadalah kesempurnaan kerana individu A akan berbeza tahap kesempurnaan berbanding dengan individu B, C ataupun D.

Bagaimana untuk menyatakan kesempurnaan sesuatu perkara dalam menggambarkannya sebagai satu penerimaan kepada komuniti yang lebih besar?  Maksudnya, bagaimanakah untuk menilai kesempurnaan dan boleh diterima oleh semua orang?  Untuk itu, ianya boleh  diolahkan dengan kaedah mengukur kesempurnaan dengan meletakkan nilai atau nombor kepada kesempurnaan.
 
Namun begitu, sekali lagi, pilihan meletakkan nombor atau nilai bergantung juga kepada individu yang pastinya berbeza pendapat dan nilai yang dilalui melalui pengalamannya yang akan membezakan nilai kesempurnaan yang dianutinya.


Yang sempurna melengkapi semuanya hanyalah Allah.

Wednesday, February 19, 2014

Bertaubatlah

Adakah kehadiran ujian Allah pada kali ini menyedarkan kita lebih dari semalam? Atau kehadiran ujian Allah pada kali ini lebih menyesatkan kita? Astaghfirullah…

Untuk mengukur kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan, adalah terletak kepada kesedaran dan keinsafan jiwa yang dianugerahkan oleh Allah kepada setiap hambanya iaitu nilai dalam diri yang dinamakan “Hidayah”.

Adakah kita mendapat hidayah Allah dan sedar bahawa ujian ini  banyak memberikan kebaikan kepada memperbanyakkan sujudnya kita kepada Allah atau ujian ini mengheret kita kepada kesesatan? sehingga kita lupa sujud dan terus melakukan dosa?

Allah memberikan peluang kepada hambanya untuk memiliki apa sahaja.  Hambanya memilikinya dengan mengatakan bahawa tidak apa..ini aku punya.  Aku nak buat apa sahaja yang aku suka.  Nanti aku bertaubatlah. Tidak solat..tidak apa sebab aku akan bertaubat nanti. Tak perlu menutup aurat, sebab aku nak ikut zaman, sebab aku tak nak ketinggalan dan dikata orang, sebab aku tengah bersukan yang memerlukan kesesuaian pakaian..ala tak apalah.. sikit sahaja, nanti aku bertaubatlah.

Hai orang muda…jangan ingat mati mu tua. 
Hai orang tua…jangan ingat kau akan hidup selamanya.

Ingatlah teman, mati itu tidak mengira masa, tidak mengenal siapa, tidak memilih rasa, tidak pernah tertangguh, mati itu nyata tiba.

Bertaubatlah.

Saturday, February 15, 2014

Janji

Lembu dipegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Pepatah ini merupakan satu bentuk ikatan yang menyatakan hubungan dan kepercayaan sesama makhluk.  Andainya tali pada lembu dibiarkan tidak bertambat, maka terlepaslah lembu tersebut, meragut rumput ke mana sahaja yang disukai, tanaman dan pucuk muda menjadi habuan. 

Maka menjadi kemarahan kepada petani dan hak yang empunya tanaman dan pokok pucuk muda kerana dimakan lembu, boleh jua menyebabkan jiran tetangga naik angin dan berbalah.  Semuanya kerana lembu tidak dipegang pada talinya.

Begitu jugalah manusia yang memegang amanah dengan janji. Ianya merupakan satu bentuk ikatan kontrak antara manusia lainnya.  Jika dalam perundangan sekalipun, sesuatu akta boleh dijelaskan untuk menggambarkan kontrak tersebut yang dikhilafkan sebagai ikatan lisan antara manusia dan manusia lainnya.  Manusia yang berpegang pada janji dipertanggungjawabkan untuk memegang amanah dan mengikut apa yang dipersetujui.  Sekiranya ingkar pada amanah, buruk akibatnya, merosakkan segalanya dan menghampakan perasaan orang lain yang tetap teguh berpegang pada janji.

Betapa kuatnya ikatan berbentuk janji yang tidak dinampakkan secara bersurat tetapi dicatatkan sebagai yang tersirat.  Semuanya dalam bentuk persetujuan bersama yang diilhamkan dalam kotak fikiran dan ketetapan hati dan dijaga rapi dengan iman dan moral.  Dan kekuatan ini adalah tunjang kepada kejujuran dan sifat amanah dalam diri manusia itu sendiri.  Kawalan dan kebertanggungjawaban diri membentuk ikatan tersebut menjadi kukuh dan tidak dapat dipatahkan.



Sekiranya tiada ikatan janji atau ikatan ini diperolokkan oleh manusia, maka terurailah segala kata dan amanah yang dipersetujui, akan membuka peluang kepada perbalahan.  Menimbulkan fitnah dan menghancurkan ikatan silaturrahim sesama manusia.  Menyebabkan jiwa yang sakit dan menghidupkan sifat amarah dalam diri.  Mempengaruhi hati dan membuka peluang syaitan membisikkan godaan yang mungkar dan mengheret ke jahanam.  Auzubillahhiminzalik.