Ada
orang kata, kita akan lupakan kesedihan dalam masa 100 hari, ada juga yang berkata
dalam masa setahun (365 hari) dan sesetengahnya dalam masa sebulan (30 hari). Kenyataan tersebut adalah berdasarkan kepada
pengalaman dan penerimaan setiap individu yang tidak sama dan akan memberikan
pendapat yang berbeza. Bergantung juga kepada tahap kesukaran yang dialami.
Kesedihan dan kesukaran untuk menerima kenyataan kepada kehilangan mangsa MH370 kepada keluarga barangkali akan berterusan dan mungkin akan hilang semuanya dalam masa 100 hari. Selagi adanya usaha yang
dibuat untuk mencari sisa-sisa pesawat, selama itulah kenangan akan kekal dan kembali semula
apabila sesuatu perkara disebut walaupun untuk puluhan tahun lagi.
Untuk melupakan sesuatu perkara yang menjadi titik hitam dalam hidup kita adalah terlalu sukar dan tidak semudah yang diucapkan. "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul". Semalam, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah, kenangan lama
tiba-tiba menjelma di mata. Wajahnya
kembali difikiran dan aku sangat merinduinya, secara tidak sengaja dan tanpa aku tahu, air mata ini mengalir dipipi. Rindu tetap ada walau
selama mana dia pergi. Aku sangat merinduinya.
Kadangkala
mimpi yang hadir pada malam hari, memberi peluang kepada aku untuk bertemu dengannya…berbual dan akhirnya aku masih lagi tidak sanggup melepaskannya pergi, sehingga aku menangis dan
terjaga dari tidur. Rupanya masih ada
igauan dan kotak fikiran masih menyimpan kenangan yang tidak mungkin
akan terpadam dengan sendiri. Walaupun mustahil untuk bertemu lagi kerana kita berada disempadan daerah yang sangat berbeza, tetapi ingatan dan kenangan ini masih ada. Dari
jauh, aku kirimkan doa untukmu agar dirimu berada dalam rahmatNya.
Aku sungguh merinduimu Ayah…
Aku sungguh merinduimu Ayah…