Membuat perbandingan antara dua perkara bukannya terlalu payah,
dan hanya kadang-kadang ianya menjadi sukar kerana melibatkan perkara lain yang
mempengaruhi. Sebagai contoh, perbandingan
dalam menilai sepohon pokok yang tinggi dengan rumput yang menutupi tanah,
boleh dilihat kepada beberapa perkara.
Pohon yang tinggi seharusnya mempunyai banyak rintangan
dan kepayahan untuk mengukuhkan dirinya agar terus ampuh dan kuat. Pohon tidak akan tumbang dek kerana angin
lalu, melainkan ribut taufan melanda, yang memerlukan satu kuasa yang sungguh
kuat untuk mengangkat sepohon kayu yang utuh.
Pohon juga tidak mati kekeringan kerana kemarau panjang
kerana akar pohon terus menikam tanah hingga ke punca air dibawahnya. Sesungguhnya pohon yang teguh berdiri mampu
mengharungi apa jua kesusahan dan kepayahan yang datang.
Bagaimana pula dengan nasib si rumput yang berdiri cuma
dipermukaan tanah dan tidak pernah cuba untuk meninggi melebihi pohon yang
tinggi. Pastinya rumput tidak pernah
merasai ribut taufan dan angin yang datang.
Pastinya rumput tidak pernah risau akan perkara tersebut, kerana taufan
yang melanda hanyalah kepada pohon besar dan kuat. Rumput tetap teguh tunduk dan memenuhi
permukaan sahaja. Maka tiada cabaran dan
kesusahan kepada rumput.
Namun begitu, keringlah rumput dan matilah ia kerana
kemarau panjang. Akar rumput terlalu
pendek dan tidak tercapai terus ke punca air tanah. Apa yang mampu hanyalah menghirup air
dipermukaan sahaja. Rumput akan kering
dan mati dalam suasana itu. Kesusahan rumput
bukan seperti kepayahan pohon yang tinggi, kerana hidup rumput hanyalah dibawah
dan tidak pernah memikirkan kepada kesusahan, kerana semuanya mudah bagi
rumput. Rumput juga sanggup membiarkan dirinya dipijak untuk terus hidup.
Kita semuanya berbeza, yang pandai memilih jalan dengan
baik akan terus berjaya dan yang terkandas akan terus terjunam sekiranya masih
memikirkan jalan mudah. Bukan senang
hendakkan kekayaan dan kejayaan, dan bukan susah kalau hendakkan
kegagalan. Cerminlah diri kerana “jika
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”
No comments:
Post a Comment