Mengingat kembali
pada hari ini, setahun yang lalu...suatu pagi yang cukup indah dan nyaman.
Ayah telah kemaskan
semua pakaian dan dokumen-dokumen pentingnya dalam sebuah beg yang agak besar,
seperti bekalan untuk pergi berjalan jauh dan lama. Wajah ayah nampak
lesu dan tidak bermaya, matanya bundar memandang jauh tanpa arah, walaupun ayah
demam sejak seminggu lalu dan wajahnya yang kepenatan di pagi ini, tetapi ayah
tetap mengukir senyuman kepada semua.
Ayah sempat membuat
beberapa kiraan dalam menguruskan bayaran kepada tukang rumah yang sedang
menyiapkan rumah aku di kampung (bersebelahan dengan rumah ayah). Ayah
masih kuat untuk berfikir dengan waras dan membuat kiraan matematiknya tentang
bayaran tersebut. Ayah juga masih mampu untuk menandatangani cek.
Ayah sempat bertemu
dengan ibunya (nenek kami) sebelum bertolak. Mereka saling bermaaf-maafan
antara satu sama lain. Mereka saling berbalas ciuman antara anak dan
ibu. Ayah ada berkata sesuatu kepada nenek bahawa beliau pergi dan tak
akan kembali lagi. Ayah memandang sayu rumahnya dengan penuh harapan,
mungkin ayah berkata bahawa beliau pergi dan tak akan kembali juga kepada
rumahnya. Rumah yang dibina hasil titik peluhnya untuk memberikan
perlindungan kepada anak dan isterinya.
Perjalanan menuju
ke Shah Alam memakan masa hampir 7 jam. Selama masa itu jugalah ayah
tidak putus-putus menyebut nama Allah dan melafazkan “ Laailaa hailla anta,
subhanakainni kuntum minazzaliminn”. Perangai ayah juga tidak seperti
biasa, ayah seperti tidak sabar untuk sampai ke destinasi dan seringkali
menyuruh aku memandu dengan laju dan cepat agar cepat sampai ke Shah Alam (rumah
abang aku). Aku layan kerenah ayah. Dalam suasana ini, Allah masih
tidak memberikan aku sebarang tanda dan membutakan mata hati ini untuk
mengetahui apakah sedang berlaku??..Selepas kematian ayah, barulah aku tahu
bahawa ayah sedang nazak. Ayah sedang sakit menghadapi maut, tetapi ayah mampu
untuk melafazkan kalimah Allah dan memohon keampunan sepanjang perjalanan ini.
Ayah ada mengadu
sakit perut dan kakinya sangat sejuk. Isteri aku sempat menyatakan kepada
ayah untuk belikan ubat kepadanya setelah tiba di Shah Alam. Setibanya
kami di Shah Alam, aku memapah ayah masuk ke dalam rumah. Rupanya itulah
khidmat aku yang terakhir semasa ayah hidup untuk aku berbakti kepadanya.
Isteri aku berkali-kali mengingatkan aku untuk mendapatkan ubat ayah, aku
terpaksa juga melawan keletihan memandu untuk keluar dari rumah semula menuju
ke mana-mana farmasi yang masih dibuka walaupun hari ini merupakan hujung
minggu (Ahad) kerana kebanyakan kedai atau perniagaan tidak dibuka pada hari
ini. Sukar sekali hendak mencari farmasi yang dibuka pada hari ini. Aku
terpaksa ke tempat yang agak jauh dan hampir sejam setengah mencari barulah aku
dapat membeli ubat ayah.
Setibanya aku di
rumah. Aku terus ke bilik yang disediakan untuk ayah tetapi ayah
terbaring kaku dan aku lihat isteri aku, adik dan abang aku masing-masing
mengalirkan airmata. Aku tahu bahawa ayah telah pergi untuk selamanya dan
pastinya aku tidak dapat menahan sedih dan tangis.
Pengurusan jenazah
ayah bermula dan kami mendapat kerjasama yang sangat baik dengan kariah masjid
disini. Pihak Polis juga memberikan kerjasama yang sangat baik dalam
meluluskan permit mengubur dan melakukan siasatan di rumah. Semuanya
begitu mudah walaupun hari semakin gelap dan kebanyakan orang bercuti pada hari
ini. Itulah Kehendak Allah.
Anak cucu ayah
membaca ayat-ayat alQuran sepanjang petang ini. Selepas maghrib, jenazah
ayah dibawa ke Masjid untuk dimandi dan disempurnakan.
No comments:
Post a Comment