Hari ini, 20hb
Januari, genap setahun ayah pergi untuk selamanya. Setahun yang masih
segar dalam ingatan seperti baharu semalam berlaku. Setahun yang berlalu telah memberi kesan
kepada aku. Perasaan dan kerinduan
kepada ayah semakin kuat dan kehilangan ayah sungguh terasa dan berbekas di
hati.
Menguruskan jenazah
ayah bersama dengan abang dan adik serta seorang anak saudara merupakan khidmat
akhir daripada kami untuk ayah didunia ini.
Jenazah ayah dimandi dan dikafankan di Masjid Taman Perumahan Subang
Permai, Shah Alam.
Ayah sememangnya
telah bersedia untuk pergi. Perut ayah telah kosong, tiada najis atau
kotoran yang kami perolehi semasa membersihkannya. Semua kuku tangan dan
kaki serta telinga ayah telah dibersihkannya sebelum itu dan memudahkan kami
untuk memandi dan membersihkan ayah.
Setelah dikafankan
dan disempurnakan jenazah ayah, wajah ayah begitu bercahaya dan ada senyuman dibibirnya. Inilah petanda Allah untuk kami sekeluarga
bahawa ayah telah menyahut seruan Allah dengan penuh kegembiraan. InsyaAllah. Benarlah petanda Allah berikan kepada kami bahawa,
pengurusan jenazah ayah sungguh dipermudahkanNya dan pemergian ayah dihadiri
oleh ramai jemaah yang memenuhi ruang masjid untuk disembahyangkan walaupun
hari ini merupakan hari minggu (cuti) dan solat jenazah dilakukan selepas isyak.
Begitu besar
kurniaan Allah dan peringatan Allah kepada kami semua. Walaupun ayah tidak
berasal dari sini, namun ramai yang datang untuk menziarahi ayah pada ketika
kematiannya.
Aku tahu ayah
seorang yang sangat baik. Orang baik seperti ayah akan dikurniakan Allah
segala bentuk kemudahan semasa kematiannya.
No comments:
Post a Comment