Monday, January 6, 2014

Jujurlah

Semalam, aku pulangkan semula wang yang telah didepositkan oleh pelanggan aku kerana barang yang dijual telah rosak dan tidak dapat digunakan. 

Aku faham bahawa prinsip untuk menjalankan perniagaan adalah perlu jujur dan takutkan Allah.

Sedikit kerugian pada kali ini merupakan dugaan dan ujian Allah. 

Namun demikian dan sebenarnya semua modal yang aku peruntukan untuk barangan ini telah digunakan dengan pulangan kosong (kerugian). Ini adalah kerana barang yang dibekalkan oleh seorang hamba Allah tidak dapat digunakan langsung. 

Aku telah memaklumkan kepadanya berkenaan dengan perkara tersebut dan aku harap dia akan sedar betapa kerugian yang ditanggung oleh aku, berkemungkinan juga kerugian yang ditanggung oleh orang lain juga telah berlaku.  Sekiranya sikap berdiam diri dan tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh beliau dalam perkara ini, maka bertambahlah mereka yang akan tertipu dan berterusanlah dosa-dosa daripada setiap sen yang diperolehinya.  Hentikanlah melakukan dosa dengan mengamalkan perniagaan yang tidak jujur.

Perasaan puas bila memulangkan semula duit pelanggan, puas kerana Allah telah menguji aku dengan dua pilihan seperti antara hitam dan putih, antara jahat dan baik, antara mulia dan dusta, antara duka dan suka…pilihlah mana yang kita mahu.  Aku harap apa yang aku telah lakukan merupakan didikan untuk jiwa ini yang masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar.

Allah juga telah memakbulkan doa untuk aku menjalankan perniagaan dengan baik dan mendapat rezeki yang halal. Walaupun kerugian pada hari ini, namun aku mohon agar ada lagi rezeki dan keuntungan pada ketika lainnya. Allah Maha Tahu.


Aku perlu teruskan apa yang telah diusahakan ini, untuk memulakan aktiviti perniagaan secara lebih serius agar sedikit keuntungan ini dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan.  Biarlah untung sedikit tapi berpanjangan dan ada setiap masa, aku bukan inginkan banyak kekayaan wang dan harta, sehingga lupa kepadaNya, tapi berilah aku sedikit kekayaan yang dapat membimbing aku untuk lebih mendekatiMu Ya Allah.

No comments: