Friday, February 7, 2014

Milik Allah 1

Pedih dan sangat terkesan dihati apabila kepunyaan kita telah tiada, pergi untuk selamanya. Tangisan yang hadir merupakan satu cara yang akan mengurangkan tekanan dalam jiwa, ianya merupakan kehendak Allah dan kejadian yang ditentukan Allah untuk berlaku. Kehilangan yang berlaku akan mencengkam dalam jiwa, mengheret si pembawa perasaan kepada tekanan jiwa dan lemah. 

Keupayaan pembawa perasaan untuk membentuk kecelaruan yang datang kepada bentuk yang lebih tersusun akan memberikan kelebihan kepada pemikirannya, lantas menyerlahkan sedikit kekenduran kepada tekanan yang dihadapiya, pembawa perasaan akan lebih tenang dan dapat menerima hakikat yang berlaku.

Cara mudah untuk mendapat ketenangan adalah dengan meletakkan keutamaan dalam hidup, iaitu semua adalah milik Allah dan hanya kepada Allah kita berserah. InsyaAllah semua yang berlaku akan menjadi lebih mudah dan membentuk hidup dengan penuh hikmah. Tidak pernah dinafikan bahawa kesan luka akan membawa kepada parut yang menjadi kenangan seumur hidup. Parut sebagai memori dan pengajaran serta pengalaman kepada pembawa perasaan. Jauh disudut hati, luka masih berdarah dan terasa, hanya pembawa perasaan sahaja yang tahu dan menahannya. 

Kadang kala juga, bila diurut kesan parut, sakitnya akan terasa, begitu jugalah dengan perasaan yang kita alami, selagi manusia masih bernyawa, selama itulah kita akan merasainya.  Semua yang berlaku adalah dengan kehendakNya, bukan mempertikai tetapi seharusnya bersyukur kerana Allah memberikan jalan kepada kehilangan yang ada.  Alhamdulillah.

No comments: