Wednesday, July 23, 2014

Dari Jauh Ku Pohon Maaf



Layan...khas untuk semua sahabat yang mengenali. Aku maafkan semuanya dan dari jauh ku pohonkan ampun maaf..

Palestine

Dalam perjalanan menuju ke pejabat pada pagi ini, berita di radio menyatakan bahawa jumlah kematian di Gaza, Palestine meningkat kepada lebih 600 orang, manakala jumlah yang telah tercedera lebih 3000 orang. Peristiwa yang berlaku sejak dua minggu lalu dalam bulan ramadhan ini.

Astaghfirullahalaazim...perkara yang terjadi hanya mampu ditahan oleh rakyat dan anak-anak Palestine sejak berdekad yang lalu.  Maha Suci Allah yang menyediakan lapangan syahid dan jihad perang kepada rakyat Palestine yang jelas dan nyata.  Maha Suci Allah yang sedang menguji seluruh umat islam agar berfikir dan mengambil pedoman, menyuruh umat islam sedar dan mengambil teladan dalam setiap perkara yang berlaku.  Maha Suci Allah, ujian ini telah lama berlaku dan didepan mata kepala kita semua, beberapa keturunan terdahulu turut merasainya, namun semuanya masih sama.

Doa dipihak kami bersama mu wahai Palestine...

Tuesday, July 22, 2014

Masih Mangli

Kelmarin, seperti biasa, beberapa laporan akan diteliti. Walaupun lebih puluhan laporan diterima dalam seminggu, perasaan masih juga sama seperti membaca laporan yang pertama. Mengapa masih sama dan tidak mangli dengan cerita-cerita ini?.  Genang air mata dan kadangkala mengalir dipipi.  Kita hanyalah manusia yang mampu untuk berdoa.  Mengangkat tangan dan memohon...penderitaan mereka juga akan terasa, kerana kita adalah saudara.

“Anak pertama telah lama tidak ke sekolah, begitu juga dengan empat lagi adiknya, kerana bapa tidak mampu untuk menyara mereka ke sekolah.  Tinggal ditemani nenek, anak-anak dibiarkan bermain dirumah dan kadang-kadang berkeliaran dikawasan flat.  Keadaan dalam rumah tidak terurus kerana nenek yang menemani mereka juga seorang warga emas yang tidak berupaya untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan baik.  Ibu kanak-kanak telah lama menghilang, meninggalkan anak-anak tanpa sebarang berita.  Satu kehidupan yang begitu sukar, dengan pendapatan bapa yang sangat terhad untuk membayar sewaan rumah, makanan, utiliti dan perbelanjaan seharian anak-anak bersama nenek mereka.   Pekerjaan yang tidak tetap memaksa si bapa melakukan apa sahaja kerja yang mendatangkan rezeki kepada keluarga beliau”

“Seorang nenek tua yang berumur 73 tahun tinggal bersama seorang anak OKU di sebuah rumah peninggalan suaminya yang meninggal dunia lebih 10 tahun dahulu.  Nenek tidak banyak bergerak kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, kaki nenek bengkak dan badan nenek dipenuhi dengan kudis-kudis dan luka.  Anak nya yang telah berumur, tidak mampu melakukan apa-apa kerana dia juga memerlukan jagaan.  Kehidupan nenek sangat dhaif dan payah.  Mengharapkan jiran tetangga menghulurkan sesuap nasi.  Kalau sempat, ada seorang sahabat  selalu singgah waktu tengahari membawa bekalan makanan (nasi bungkus) sambil melawat nenek yang sakit.  Sedikit sebanyak rumah nenek dibersihkannya.  Kehadiran sahabat tidak selalu ada untuk membantu nenek kerana kekangan waktu bekerja dan komitmen lain”


Sunday, July 20, 2014

MH17 dan Derita Rakyat Palestin

Dua peristiwa yang berlaku disebalik kebesaran dan perancangan Allah yang tidak kita ketahui. Derita rakyat dan anak-anak Palestin memakan puluhan dekad, mati mereka dalam syahid dan perjuangan yang tidak pernah putus. MH17 (17 Julai 2014) membuka mata banyak pihak dan Allah sedang menguji kita.  Muhasabah diri dan mengingati setiap perbuatan, tilik pandang mana yang kurang.

Wednesday, July 16, 2014

Nampak Bodoh

WM :  "Macamana bos?...saya rasa tak patut kita minta perkara yang kita pun dah tahu, dia pun dah tahu yang kita tahu, lagipun jelas dinyatakan pada geran tanah tersebut" "Takkan kita nak minta pengesahan lagi"...
B : "Ya... kalau kita mintak, nampak sangat kita ni bodoh, nanti dia kata kita ni tak tahu nak baca ke?"
WM/B: (krik..krikk...krikk..krik...)
B : "Macamnilah...awak tuliskan surat minta pengesahan bertulis dengan alasan tanah tu nak dibangunkan, tapi jelaskan dalam surat tersebut bahawa, kita sedia maklum dengan pengesahan awal seperti yang tercatat...walaubagaimanapun, pengesahan bertulis pihak tuan diperlukan kerana...dot...dot...pandai-pandai awak susun ayat"
WM : "Ha ha ha...(gelak panjang)
B : "Nampak bodoh ke tak bodoh?"
WM : "Nampak bijak boss..., nanti saya siapkan suratnya..."
B : " Bagi Dato' sign surat tu, saya tak nak sign...hehehe"
WM : " Ha ha ha...Terima Kasih boss"

Maafkan Saya... Dato'



Maaflah Dato' kerana terlalu teruja untuk mengemukakan cadangan dalam program yang dicadangkan oleh pihak Dato'.  Saya bukan bertujuan untuk memalukan Dato' atau pihak Universiti di tempat pihak Dato' bertugas tetapi saya harus berkata apa telah dilaksanakan oleh pihak kami.  Saya hanya mewakili jabatan dan semua yang hadir dalam mesyuarat semalam juga adalah mereka yang berminat dengan program Dato', kami ingin membantu supaya ianya dapat dilaksanakan dengan baik.

Pada hemat ambo yang lemah ini, seharusnya perincian setiap program telah ada dalam fikiran dan dengan mudah dilafazkan semasa pembentangan. Tidaklah pula berlaku untuk meletakkan kesalahan kepada student Dato' yang telah membuat proposal tersebut.  Proposal itu terlalu besar cita-citanya dan tiada arah tujuan dan pelaksanaan, seperti sebuah cerita yang digambarkan dengan sesuka hati dan berada dalam fikiran Angan Mat Jenin. Takkan Dato' tak perasan.  Kenapa asyik menyatakan "student saya berada dalam awang-awangan", sepatutnya semaklah dulu apa yang dicadangkan oleh mereka.  Takkan kat sini baru sedar mereka sedang bermimpi dan meletakkan sasaran yang diluar kemampuan dan ada juga sasarannya adalah milik orang lain. Kalau saya katakan student Dato' menceduk sepenuhnya salah dua atau tiga atau empat program yang dicadangkan itu, ianya benar belaka kerana apa yang kami bangkitkan adalah projek yang sama dan telah dilaksanakan oleh pihak kami.


Saya berulang kali menyatakan..."Kami sedia membantu mana yang perlu", "kami tiada halangan dan bersedia memberikan sokongan dalam pelaksanaan program" "saya bersetuju dan sangat berminat dengan proposal yang dikemukakan". Namun demikian, usahlah mengambil hak orang lain dan meletakkannya dihadapan pihak tuan, malah dengan selamba boleh tersenyum bangga menyatakan "ini projek kami" "kami telah mengadakan bengkel melibatkan 200 orang mahasiswa dari semua IPTA untuk mencetus idea dalam strategi ini". Seolah-olah pecah kepala memikirkan projek yang hendak dibuat, student semua mencari idea dan memerah buah fikiran untuk merangka strategi. Aduhhh...


Persoalannya, kenapa Dato' "gebang" sebegitu?, sepatutnya panggillah kami untuk berbincang dalam menyusun strategi, kami yang seadanya dalam golongan kebiasaan dan bukan bijak pandai juga cuba seboleh kami untuk membantu orang yang bijak dan pandai seperti Dato'.  Apa yang kami ada mungkin tiada pada pihak Dato dan apa yang Dato' ada mungkin tiada pada sebelah kami.  Kan lebih elok dan baik sekiranya dua kepala berkongsi cerita, pelbagai maklumat mungkin diperolehi.  Dua lebih baik dari satu dan tiga lebih baik dari dua dan seterusnya...tetapi kalau 200 mempunyai kepala yang satu, ianya tiadalah lebih baik dari 2 orang yang berbeza.


Maaf kan saya Dato' kerana menyuarakan ... bukan untuk memalukan atau menjatukan tetapi untuk membantu dan menjayakan...saya tidak rugi apa-apa, projek ini bukan projek saya, saya cuma hendak berkongsi pengalaman yang sedikit ini...nak kata saya tidak pandai, katalah apa sahaja, cuma saya nak maklum, saya juga ada pengalaman belajar seperti orang -orang Dato', nak kata ada degree...lepas jugaklah saya menamatkan pelajaran "selepas degree"...serba sedikit saya belajar jugaklah, pengalaman kerja tak banyak cuma lebih 18 tahun sahaja...tak apalah Dato'...apapun saya mohon maaf sekali lagi, insyaAllah berkat bulan puasa dan dah dekat nak raya...semuanya seikhlas mungkin.  Saya mendoakan Dato' dan crew Dato' dapat melaksanakan projek ini dengan baik dan sempurna, memenuhi KPI dan menampakkan impaknya kepada semua.


"....saya cuma hendak bercakap sahaja"

Tuesday, July 15, 2014

5S

Ada kakitangan merungut untuk pulang awal pada bulan Ramadhan bagi membuat persiapan berbuka puasa. Emmmm...merungut lagi kerana...bulan puasa...

Peluang telah diberikan kepada semua agar menukar jadual waktu bekerja dan dengan itu bolehlah mereka pulang awal sedikit dari hari-hari biasa.  Peluang telah diberi tetapi masih ada rungutan dan sengaja melanggar peraturan, mereka seharusnya berfikir dan merenung kembali kepada punca rezeki yang diperolehi kerana setiap saat yang diperuntukkan untuk bekerja, adakah telah digunakan sepenuhnya untuk bekerja? Jika tidak, berusahalah untuk menambah atau gantikan waktu tersebut dengan penambahan waktu kerja.

Semua kita faham bahawa, untuk mendapat lebih keberkatan dan mengambil peluang mengumpul pahala yang berganda disediakan Allah pada Ramadhan ini, mereka boleh menyusun masa yang ada dengan memperbanyakkan jumlah masa untuk bekerja, dengan cara...pendekkan masa rehat dan datang bekerja lebih awal daripada biasa. Kebiasaannya pada waktu rehat (jika sebelum Ramadhan) digunakan untuk makan dan berehat, kini, pada masa tersebut, boleh digunakan untuk terus bekerja, secara tidak langsung, amalan ini akan meningkatkan produktiviti Jabatan. (Ye ke boleh meningkatkan produktiviti?, saya kerja susun fail je Bos, macamana tu?)

"Aku nak tanya ko yang tanya soklan tadi...adakah awak dah siapkan semua kerja menyusun fail tu?, sekurang-kurangnya sempurnakanlah kerja yang belum sempurna. Menyusun fail satu tugas tetapi adakah awak telah susun dengan tertib dan betul?, nombor fail dan kedudukan di rak fail, tidak termasuk fail-fail lama yang perlu ditutup dan dibuka semula...banyak lagi fail yang perlu disempurnakan...belum lagi kerja-kerja lain yang sepatutnya dilaksanakan oleh awak...semak senarai tugas"

Sebahagian masa rehat juga bolehlah digunakan untuk berehat dan banyakkanlah zikir, tadarus dan sebagainya.  

Sekurang-kurangnya mereka telah menambah waktu bekerja sebanyak 30 minit dengan adanya penyusunan jadual  bekerja seperti ini.  Tambahan pula, datang awal ke pejabat boleh dilaksanakan kerana mereka tidak bersusah payah untuk menyediakan sarapan kerana telah bersahur sebelumnya, dan tambahan 30 minit lagi untuk waktu bekerja, semuanya dah ada satu jam tambahan waktu bekerja walaupun datang awal dan pulang tepat pada waktunya di Ramadhan ini.

InsyaAllah ada ganjaran dan pahala yang dijanjikan Allah kepada mereka yang sabar dan menyusun cara hidup dengan baik demi untuk mendapat Rahmat Allah. Allah telah janjikan rahmat yang besar pada bulan ini, rebutlah semuanya dan sedaya upaya berusaha kearah itu.

Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Hanya kita sebagai individu yang tahu dan mampu merubah cara hidup kita, apa yang kita kata adalah doa, jadi berkatalah dengan baik dan positif, berdoalah dengan penuh tawaduk dan berserah kepadaNya.

Monday, July 14, 2014

Tahniah Germany!!!

Akhirnya Germany menjuarai Piala Dunia (Bolasepak) yang berakhir awal pagi tadi. Tahniah Germany!!. Permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan sama rata dan sama kuat.  Kelebihan yang dipunyai oleh German adalah kesilapan pasukan lawan mereka, Argentina.  Siapa yang melakukan kesilapan akan kalah dalam perlawanan seimbang ini. Tahniah kepada Argentina yang telah menunjukkan persembahan yang sangat baik sepanjang musim Piala Dunia ini. Tahniah juga kepada pemain Argentina, iaitu Messi yang telah menjadi Pemain Terbaik sepanjang Piala Dunia.  Kita nantikan Piala Dunia tahun 2018…

Wednesday, July 9, 2014

IPO

Seorang kawan lama merujuk satu kes berkenaan dengan kacau ganggu suami kepada isteri. Arahan Mahkamah Syariah kepada suami telah tamat seiring dengan selesainya fasakh (itu yang dinyatakan dan aku cuba memahami proses Mahkamah Syariah dalam pelaksanaan perintah dan tempoh fasakh tersebut).  Berkemungkinan arahan Mahkamah Syariah tidak seperti perintah yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil, iaitu satu bentuk Perintah Interim atau IPO kepada suami agar tidak mengganggu atau mendekati isterinya, disebabkan peluang untuk berlakunya jenayah, kecederaan dan sebagainya.

Dalam hal ini, buatlah satu laporan polis agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan memohon IPO daripada Mahkamah.  Pihak isteri seharusnya bertindak cepat sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka yang menagih dadah sanggup melakukan apa sahaja...apa-apa sahaja (seperti bunuh) asalkan boleh memuaskan nafsu ketagih mereka.  Pihak isteri juga boleh mempertimbangkan tempat perlindungan sementara yang tidak diketahui oleh bekas suaminya untuk menyembunyikan diri.  Dapatkan pertolongan saudara-mara dan ibu bapa (sekiranya masih ada). Menyelamatkan diri dan nyawa anak-anak menjadi perkara utama apabila melibatkan jenayah oleh orang yang kita kenal.

Satu 7

Emmm...baru menonton perlawanan bolasepak separuh akhir piala dunia antara Brazil dan German pada awal pagi tadi. Brazil kalah dengan jaringan 7 oleh German dan berbalas satu.  Satu keputusan yang sungguh mengejutkan, apatah lagi pasti mengecewakan penyokong Brazil dan negara Brazil sendiri kerana mereka bermain ditempat sendiri.

Dan yang pasti selepas ini, kekalahan Brazil akan lebih hebat diperkatakan oleh media sosial dan media massa.  Ulasan Berita TV dan Akhbar juga akan mengulas perkara yang sama berbanding dengan kemenangan German.  Kenapa begitu? kerana faktor kemenangan yang diharapkan oleh semua peminat Brazil berbanding German. Walaupun begitu, nak disalahkan pemain Brazil secara keseluruhannya...tidak juga kerana mereka dapat menunjukkan permainan yang baik selepas separuh masa.  Berkemungkinan tekanan awal dan gol pertama yang dijaringkan oleh German menyebabkan mereka kaget seketika, menyebabkan gol-gol seterusnya.

Namun demikian, German bermain dengan baik dan mempunyai skill permainan individu yang tinggi dan satu pasukan yang telah dijangka akan memberikan saingan kuat kepada pasukan-pasukan lain. Begitu juga Brazil, mereka mempunyai skill dan kemahiran yang sama, malah semua yang layak ke Piala Dunia adalah pasukan yang begitu teguh dalam permainan mereka dan mempunyai pemain yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi.

Tahniah kepada German kerana menunjukkan kemahiran yang tinggi, bukan sahaja dalam bidang sukan blasepak tetapi dalam sukan-sukan lain seperti permotoran, teknologi, research, perkhidmatan sosial, pertanian dan pelbagai bidang lain yang perlu dicontohi. Kepada penyokong Brazil, usahlah kecewa, kerana Brazil sememangnya dikenali dengan sukan bolasepak, sebuah negara yang melahirkan ramai bintang-bintang bolasepak bertaraf dunia.  Apa nak risau, main bola...mesti ada yang kalah.

p.s Sebenarnya aku penyokong Argentina...esok lawan Belanda.


Sunday, July 6, 2014

Sure Heboh Gilerr

Masing-masing semuanya seperti tidak cukup tangan untuk membuat kebajikan. Seolah-olah satu keseronokan yang datang dengan mengejut.  Selama ini, diam, sepi dan tak disebutpun tentang perkara itu. Maka, macam-macam perkara dirancang seperti majlis penyampaian sumbangan, majlis pembahagian bungkusan sempena ramadhan dan hari raya, majlis bersama rakyat, majlis mesra rakyat, majlis penyampaian bantuan dan sebagainya. Dalam majlisnya pula mesti ada mereka yang menerima dan mereka yang memberi. 

Semuanya ingin ditonjolkan dan ingin di hebohkan, kalau boleh seheboh-hebohnya bahawa dialah yang memberikan sumbangan tersebut, bahawa dialah yang mengusahakan semuanya untuk diberikan.  Semuanya pasal nama dan kuasa, semua berkenaan dengan nilai kebajikan yang boleh ditunjukkan kepada semua orang...ya kepada semua orang. Tidak cukup dengan surat menyurat, malah menggunakan TV dan Radio untuk dihebohkan.  Tidak dikira lagi mereka yang "mengupload" menerusi FB dan Twitter dan berapa ramai yang "ditagnya" dalam laman tersebut...kerana semuanya ingin dihebohkan, agar semua orang tahu.

Kononnya mengambil kesempatan atas rahmat bulan Ramadhan yang penuh dengan ganjaran dan gandaan pahala dalam melaksanakan kebajikan.  Maka mereka menyusun program heboh mengheboh dalam memberi sedekah, tidak akan disorokkan, kerana semuanya hendaklah diberitahu kepada semua. Banyak juga belanja yang dikeluarkan atas perkara-perkara "sedekah" yang mesti dihebohkan. 

Kalau tak ditunjuk? ehhhh...tak boleh, nanti orang tak tahu siapa yang sebenarnya bantu diaorang selama ini, siapa yang menolong mereka selama ini.  Tak boleh sebab, itu duit kita, kita yang usahakan dalam mesyuarat tersebut, lagipun duit yang diusahakan oleh parti kami.  Tak boleh...tak boleh..kena diberitahu agar mereka tahu bahawa kami ini menunaikan janji dan menunjukkan kami menghargai semua orang yang mengundi kami. Tak boleh oooii...tak boleh..sebab kami nak memenuhkan KPI kami. 

Tak boleh ooii..sebab kami ini perihatin dan mengutamakan rakyat.  Kami kena kotakan janji kami...

Wallahuallam...sendiri mau ingat...

Saturday, July 5, 2014

oberr holl

Nak mulakan yang baru...mula dari kosong, rasanya lebih mudah daripada bermula di tengah-tengah.  Yang baru, belum kenal dan tidak tahu selok belok keadaannya, kalau yang dah ada, rumit sikit sebab dah tahu dan menjadi biasa.  Yang lama, kalau nak betulkan semula, kena buat kerja "overhaul" dan mula dari kosong... itupun kalau bernasib baik, maka baiklah dan macam baru, tapi kalau tidak baik, maka tidak eloklah jadinya nanti.

Ironinya...seperti sebuah enjin kereta lama...untuk membaiki kerosakan memerlukan pemeriksaan menyeluruh dan penggantian "part" yang banyak disebabkan umur enjin yang sudah tua dan penggunaan bagi tempoh yang lama. Bermaksud, kerja-kerja penukaran dan pembaikan "overhauling" secara keseluruhan dengan melibatkan kos yang agak tinggi, tetapi kurang sedikit daripada kos pembelian baru sesebuah kereta.

Perlu kita ingat, walaupun kos untuk kereta baru adalah tinggi daripada kerja pembaikan kereta lama, ianya berbaloi kerana kita mendapat sebuah kereta yang baru, segalanya baru...tayar baru, enjin baru, lampu baru, badan kereta yang baru, "seat" baru (bau kedai lagi), "steering" baru dan berkuasa (power steering), kelajuan baru dan berkemungkinan juga sebuah model kereta yang baru, lebih cantik dan menawan, lebih kemas dan menarik serta mengikut peredaran masa...lebih aerodinamik dan tidak kurang juga dengan teknologi baru seperti "hybrid".  Boleh pilih yang mana suka..tepuk dada tanya selera, asalkan berduit, beli ajelah.

Namun begitu, kereta lama setelah dibaiki dengan kos yang agak tinggi dan "overhauling" secara keseluruhan, ianya memberikan hasil yang agak baik (dalam standardnya), ada nilai antik dan nilai sentimental pemilik.  Barangkali akan berlaku peningkatan harga kerana kereta lama kebanyakannya telah rosak dan tidak disenaraikan dalam pengeluaran lagi.  Maka, ianya menjadi satu harta antik dan sangat bernilai dan ingin dimiliki oleh semua orang berbanding dengan kereta baru yang semakin banyak dengan pilihan yang pelbagai.

Nampak mudah untuk memulakan yang baru daripada bermula dengan yang lama...tetapi nampak mudah juga menjaga yang lama dengan semangat yang baru...timbang-timbanglah mana yang nak...

p.s. kalau aku, buang yang lama..beli kereta baru.

"Wa Khettah...Telago"

Masa kecik-kecik dulu, masa tu baru berumur 5 tahun, aku pernah terjatuh ke dalam perigi. Pengalaman kepada seorang budak kecil seusia itu memang susah nak cerita.  Semua berlaku dengan cepat dan perasaan takut semasa berdepan dengan maut menjadikan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Sakit?...sememangnya sakit sangat, sakit kerana lemas, dan sakit kerana lutut dan siku berdarah, kerana luka.  Apa yang aku nampak?...gelap dan dipenuhi air. Badan aku berpusing-pusing melihat dinding / lubang perigi. Tangan meronta-ronta seperti mengepak-ngepak, cuba untuk timbul tetapi terus tenggelam.  Nasiblah diri aku pada usia ini, tidak tahu berenang atau mengapungkan diri.  Nama aje budak kampung, curi-curi mandi di sungai belakang rumah (selepas balik sekolah- kena marah dengan ayah...lagi takut kena sound dengan atuk aku), tetapi tenggelam dalam perigi.

Tidak sedarkan diri?...mungkin juga tidak sedarkan diri untuk seketika kerana apa yang aku ingat, Ayah Mat mendukung aku keluar dari perigi. Hutang nyawa dengan Ayah Mat (jiran sebelah depan rumah aku di kampung dulu, anaknya sama sekolah dan sama kelas dengan aku...dan abangnya sama dengan abang aku).

Kenapa jatuh perigi?...haaaa...sebab jatuh perigi ni, malu nak cerita...kalau sebabnya aku mengambil air untuk menolong mak aku...OK lah jugak kan...ada jugaklah jihad untuk ibu bapa...ha ha ha...sebab seorang budak yang suka sangat bermain...sebabnya aku asyik sangat memandang ke atas sambil berlari....menarik layang-layang kertas (aku koyak buku sekolah untuk buat layang-layang)...diikat dengan benang menjahit mak aku...

Kini, perigi itu telah tiada...tapak rumah lama ayah dan atuk aku telah lama ditinggalkan, lebih 37 tahun berlalu.  Ayah Mat dah tua dan dah lama aku tak jumpa dia.  Aku harap Ayah Mat masih sihat, kerana dia jugalah ayah angkat aku...selepas peristiwa itu.  

Namun, semuanya masih dalam ingatan dan tidak pernah dilupakan.

Friday, July 4, 2014

Puasa

Sebelum Ramadhan, ada seorang kawan lama bertanya tentang puasa.  Aku pun tak pasti kenapa dia ajukan soalan tersebut, mungkin untuk menguji atau sememangnya untuk mencari jawapan.  Mungkin juga untuk mendapatkan pandangan.  Soalannya mudah..."Kenapa kita berpuasa?" Soalan yang sangat ringkas tetapi memerlukan ulasan jawapan yang padat dan menyeluruh.

Jawab aku ringkas sahaja. Kita berpuasa kerana diperintahkan Allah. Ya, perintah Allah.  Semua orang tahu bahawa perintah Allah wajib dibuat dan jatuh berdosa sekiranya kita meninggalkan perintahNya.  Namun, persoalan yang aku katakan tadi memerlukan ulasan yang menyeluruh dan difahami oleh kita semua.  Nak perkuatkan ulasan dengan alQuran dan hadis, aku bukanlah seorang yang mahir dalam bidang agama, tidak aku hafal semuanya ayat-ayat alQuran dan petikan hadis, aku bukan ulama' tersohor atau ustaz yang tahu selok belok agama.

Aku cuma boleh menambah,  bahawa puasa mendidik kita untuk menjadi hamba yang bertakwa. Konsep takwa sangat menyeluruh dan besar.  Takwa merupakan kekuatan dalam diri kita untuk menghambakan diri kepada Allah, menyerahkan segalanya kepada Allah untuk menuruti semua perintahNya. Takwa jua mampu membimbing kita kepada jalan yang benar dan mengelak kita daripada tersesat.  Bagaimana pula untuk mendapat ketakwaan kepada Allah?

Jadi, berpuasa akan melatih kita menguatkan iman dan menambahkan keinsafan serta ketakwaan kepada Allah, justeru bimbingan dan latihan yang dibuat selama sebulan akan membentuk diri kita menghindarkan diri daripada kesalahan dan dosa pada kehidupan seharian.  Iblis dan syaitan dirantai, bermakna, latihan yang dilalui oleh manusia dipermudahkan tanpa adanya godaan dan hasutan jahat. Latihan yang melawan hawa nafsu dan lagha.

Aku memberikan contoh kepada latihan yang dijalankan oleh anggota polis dan tentera, anggota bomba dan PGA, seorang doktor ataupun cikgu, mahupun seorang tukang kayu dan mekanik kereta sekalipun, semuanya memerlukan latihan sebelum mereka benar-benar mahir dalam tugas mereka.  Polis memerlukan latihan kepolisan membanteras jenayah sebelum mereka mampu membanteras jenayah sebenar.  Begitu jugalah tentera yang memerlukan latihan mengendalikan senjata dan penuh berdisiplin untuk menentang pengganas dan mengawal keselamatan negara.

Seorang doktor perlu dilatih dengan kemahiran perubatan untuk merawat pesakit, mekanik serta tukang kayu diberikan latihan dalam bidang kejuruteraan dan ukiran bagi melaksanakan tugasnya.  Jadi kemahiran dan latihan yang kita lalui menerusi puasa adalah bentuk latihan agar kita mahir dan tahu selok belok kehidupan yang sentiasa mengundang dosa.  Puasa mencegah kita dari melakukan dosa.  Puasa membimbing kita kearah yang sebenar dalam mentaati perintah Allah, Puasa mengajar kita segala-galanya.  Puasa sungguh besar penyebabnya untuk kita lebih bertakwa.


Thursday, July 3, 2014

Kota Suci

Sungguh dan benar bahawa kita akan merindukan tanah suci Mekah dan Madinah. Walaupun keadaannya gersang dan kasar, dipenuhi dengan tanah berpasir dan gurun, debu dan kepanasan, gunung yang ditegakkan binaan dengan batu keras dan tajam, tanpa ada pepohon hijau dan sungai yang mengalir, namun begitu itulah tanah yang kita rindu. 

Pasti kita akan terkenangkan kedamaian Kota Madinah dan Masjid Nabi, keinsafan dan keberkatan Masjidilharam. Suatu suasana yang cukup menyenangkan jiwa dan menyusun perasaan menjadi satu tanda kepada satu tujuan, iaitu mencari redha Allah.  Kita berada dekat dengan Rasulullah S.A.W, Nabi Muhammad, kita berhadapan dengan Ka'abah yang diwarisi seawal umur dunia. Kita akan menjadi apa yang dijadikan Allah sebagai hambaNya.  

Kunjungan kepada Kota Suci yang didambakan oleh semua ummat manusia, kunjungan yang menetapkan jiwa dan hati, membasuh cemaran dosa dan membentuk jati diri, kunjungan yang penuh barkah dan tiada bandingannya dengan percutian lainnya walau dimana kita berada. 

tetap merinduimu wahai Mekah dan Madinah.