Tuesday, July 22, 2014

Masih Mangli

Kelmarin, seperti biasa, beberapa laporan akan diteliti. Walaupun lebih puluhan laporan diterima dalam seminggu, perasaan masih juga sama seperti membaca laporan yang pertama. Mengapa masih sama dan tidak mangli dengan cerita-cerita ini?.  Genang air mata dan kadangkala mengalir dipipi.  Kita hanyalah manusia yang mampu untuk berdoa.  Mengangkat tangan dan memohon...penderitaan mereka juga akan terasa, kerana kita adalah saudara.

“Anak pertama telah lama tidak ke sekolah, begitu juga dengan empat lagi adiknya, kerana bapa tidak mampu untuk menyara mereka ke sekolah.  Tinggal ditemani nenek, anak-anak dibiarkan bermain dirumah dan kadang-kadang berkeliaran dikawasan flat.  Keadaan dalam rumah tidak terurus kerana nenek yang menemani mereka juga seorang warga emas yang tidak berupaya untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan baik.  Ibu kanak-kanak telah lama menghilang, meninggalkan anak-anak tanpa sebarang berita.  Satu kehidupan yang begitu sukar, dengan pendapatan bapa yang sangat terhad untuk membayar sewaan rumah, makanan, utiliti dan perbelanjaan seharian anak-anak bersama nenek mereka.   Pekerjaan yang tidak tetap memaksa si bapa melakukan apa sahaja kerja yang mendatangkan rezeki kepada keluarga beliau”

“Seorang nenek tua yang berumur 73 tahun tinggal bersama seorang anak OKU di sebuah rumah peninggalan suaminya yang meninggal dunia lebih 10 tahun dahulu.  Nenek tidak banyak bergerak kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, kaki nenek bengkak dan badan nenek dipenuhi dengan kudis-kudis dan luka.  Anak nya yang telah berumur, tidak mampu melakukan apa-apa kerana dia juga memerlukan jagaan.  Kehidupan nenek sangat dhaif dan payah.  Mengharapkan jiran tetangga menghulurkan sesuap nasi.  Kalau sempat, ada seorang sahabat  selalu singgah waktu tengahari membawa bekalan makanan (nasi bungkus) sambil melawat nenek yang sakit.  Sedikit sebanyak rumah nenek dibersihkannya.  Kehadiran sahabat tidak selalu ada untuk membantu nenek kerana kekangan waktu bekerja dan komitmen lain”


No comments: