Friday, July 4, 2014

Puasa

Sebelum Ramadhan, ada seorang kawan lama bertanya tentang puasa.  Aku pun tak pasti kenapa dia ajukan soalan tersebut, mungkin untuk menguji atau sememangnya untuk mencari jawapan.  Mungkin juga untuk mendapatkan pandangan.  Soalannya mudah..."Kenapa kita berpuasa?" Soalan yang sangat ringkas tetapi memerlukan ulasan jawapan yang padat dan menyeluruh.

Jawab aku ringkas sahaja. Kita berpuasa kerana diperintahkan Allah. Ya, perintah Allah.  Semua orang tahu bahawa perintah Allah wajib dibuat dan jatuh berdosa sekiranya kita meninggalkan perintahNya.  Namun, persoalan yang aku katakan tadi memerlukan ulasan yang menyeluruh dan difahami oleh kita semua.  Nak perkuatkan ulasan dengan alQuran dan hadis, aku bukanlah seorang yang mahir dalam bidang agama, tidak aku hafal semuanya ayat-ayat alQuran dan petikan hadis, aku bukan ulama' tersohor atau ustaz yang tahu selok belok agama.

Aku cuma boleh menambah,  bahawa puasa mendidik kita untuk menjadi hamba yang bertakwa. Konsep takwa sangat menyeluruh dan besar.  Takwa merupakan kekuatan dalam diri kita untuk menghambakan diri kepada Allah, menyerahkan segalanya kepada Allah untuk menuruti semua perintahNya. Takwa jua mampu membimbing kita kepada jalan yang benar dan mengelak kita daripada tersesat.  Bagaimana pula untuk mendapat ketakwaan kepada Allah?

Jadi, berpuasa akan melatih kita menguatkan iman dan menambahkan keinsafan serta ketakwaan kepada Allah, justeru bimbingan dan latihan yang dibuat selama sebulan akan membentuk diri kita menghindarkan diri daripada kesalahan dan dosa pada kehidupan seharian.  Iblis dan syaitan dirantai, bermakna, latihan yang dilalui oleh manusia dipermudahkan tanpa adanya godaan dan hasutan jahat. Latihan yang melawan hawa nafsu dan lagha.

Aku memberikan contoh kepada latihan yang dijalankan oleh anggota polis dan tentera, anggota bomba dan PGA, seorang doktor ataupun cikgu, mahupun seorang tukang kayu dan mekanik kereta sekalipun, semuanya memerlukan latihan sebelum mereka benar-benar mahir dalam tugas mereka.  Polis memerlukan latihan kepolisan membanteras jenayah sebelum mereka mampu membanteras jenayah sebenar.  Begitu jugalah tentera yang memerlukan latihan mengendalikan senjata dan penuh berdisiplin untuk menentang pengganas dan mengawal keselamatan negara.

Seorang doktor perlu dilatih dengan kemahiran perubatan untuk merawat pesakit, mekanik serta tukang kayu diberikan latihan dalam bidang kejuruteraan dan ukiran bagi melaksanakan tugasnya.  Jadi kemahiran dan latihan yang kita lalui menerusi puasa adalah bentuk latihan agar kita mahir dan tahu selok belok kehidupan yang sentiasa mengundang dosa.  Puasa mencegah kita dari melakukan dosa.  Puasa membimbing kita kearah yang sebenar dalam mentaati perintah Allah, Puasa mengajar kita segala-galanya.  Puasa sungguh besar penyebabnya untuk kita lebih bertakwa.


No comments: